Merokok, Vaping – Satu Krisis Sahsiah

Sejak kebelakangan ini vapors atau nama lainnya dikenali sebagai e-cigarette (rokok elektronik) menjadi semakin popular bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

E-cigarette pada awalnya bermula hambar ketika ia mula diperkenalkan, namun kini telah menjadi tumpuan ramai apabila syarikat-syarikat pengeluarnya mulai menuntut yang e-cigarette ini lebih selamat daripada rokok dan ia boleh menjadi salah satu langkah untuk seseorang berhenti merokok.

Sehingga kini pelbagai kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar belum lagi dapat membuktikan sepenuhnya yang e-cigarette ini sama ada berbahaya ataupun selamat untuk digunakan kerana mereka menghadapi banyak cabaran dalam mengumpul data.

Public Health England (PHE) telah mengeluarkan kenyataan pada Ogos lepas bahawa vaping atau e-cigarette ini adalah 95% lebih selamat daripada rokok. Namun, ia telah dibidas oleh British Medical Association yang menuntut mereka supaya berhati-hati dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan ketika kajian masih banyak sedang dijalankan.

Hakikat sebenarnya adalah ia tetap berbahaya, cuma kajian awal sahaja mendapati ia lebih selamat daripada rokok. Walau bagaimanapun, kajian yang mendalam masih perlu banyak dilakukan untuk memastikan status sebenarnya.

Dalam pada itu, terdapat kajian-kajian terkini yang membuktikan wap yang terhasil ketika seseorang sedang menghisap vape adalah lebih berbahaya kerana kandungan-kandungannya. Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa vaping sebenarnya tidak membantu pun seseorang itu untuk berhenti merokok.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada bulan Ogos yang lepas juga telah memfatwakan bahawa pengunaan rokok elektronik atau vapors ini sebagai HARAM dan seperti yang dijangkakan, ramai yang ‘meroyan’ dan memperlekehkan fatwa ini.

Takkanlah seseorang Mufti itu hendak mengeluarkan fatwa halal atau sekurang-kurangnya harus dengan vapors ini sedangkan padanya terdapat elemen yang merbahaya, merosakkan kesihatan tubuh badan dan pembaziran.

Saya berpendapat langkah Datuk Mufti ini benar dan tepat pada waktunya dalam usaha mencegah mafsadah (kerosakan) ini daripada terus berleluasa dalam kalangan umat Islam dan bukannya kerana ingin menghukum seseorang semata-mata.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam telah bersabda:
Di antara baiknya keislaman seseorang itu adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat.” (HR At-Tirmidzi)

Meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat bermaksud menjauhkan diri daripada pelbagai kesibukan dan kegiatan yang tidak penting dan tidak bermanfaat bagi dunia dan akhiratnya. Apakah ada manfaat daripada merokok atau menghisap vape? Bukan sahaja tiada manfaat, malah boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.

Pada hujung minggu yang lalu, telah berlangsung satu festival yang dipanggil Festival Vape di SACC Shah Alam. Kehadiran yang agak memberangsangkan itu sebenarnya membimbangkan dan menakutkan kerana terbukti vape kini bukan sahaja digemari oleh kaum lelaki tetapi turut menular dalam kalangan wanita.

Populariti vape yang meningkat mendadak dari semasa ke semasa adalah kerana trend dan pengiklanannya, tambahan pula ia mudah dibeli di mana-mana, baik secara langsung mahupun secara online (dalam talian).

Bahkan penularan yang merisaukan ini sudah mula nampak berjangkit kepada golongan belasan tahun yang masih bersekolah kerana alasan yang diberikan adalah mereka tidak merokok tetapi hanya ber’vaping’.

Pada bulan Disember nanti pula akan diadakan satu lagi acara vape di Kuala Lumpur, yang dinamakan Vape Fair 2015. Dikatakan syarikat-syarikat yang terlibat akan memperkenalkan dan mempromosi jenama dan jenis vapors masing-masing. Penganjur seolah-oleh telah mendapat lesen daripada pihak berkuasa untuk mengetengahkan ‘rokok baik’ ini secara terbuka.

Krisis Sahsiah

Rokok, Vaping dan Shisha sebenarnya ‘adik-beradik’ yang tidak jauh beza antara satu sama lain meskipun ada di antaranya nampak ‘baik’ sedikit. Tabiat merokok sentiasa menjadi salah satu soalan ‘bad habit’ dalam borang-borang rasmi selain daripada minum alkohol atau arak. Bahkan doktor juga sering bertanya soalan ini ketika mendapatkan latar belakang pesakit dalam isu sosial diri.

Masalah ini bukan sahaja masalah ia selamat, sihat atau tidak. Tetapi juga masalah dan krisis kepada sahsiah, akhlak dan keperibadian seseorang.

Amatlah memalukan untuk seorang Muslim mengabaikan aspek ini sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam diturunkan untuk menyempurnakan akhlak. Saya yakin agama-agama lain juga bersetuju bahawa tabiat seperti ini tidak dianjurkan oleh ajaran mereka.

Bahkan tanpa menggunakan kaca mata agama pun, kita dapat menilai yang perbuatan ini bukanlah perangai yang baik, cantik dan molek meskipun tidaklah pula dipanggil jahat. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh wanita. Ya, ia bukan jenayah, tetapi adakah ia mencerminkan keperibadian atau sahsiah seorang wanita?

Oleh hal yang demikian, kesungguhan ahli masyarakat termasuk diri dan keluarga serta kerajaan sangat penting untuk berperanan dalam menangani isu ini. Selepas vape ini, mungkin akan muncul lagi produk sejenisnya yang kononnya nampak baik di mata.

Kita tidak nafikan untuk seseorang itu berhenti merokok bukanlah begitu senang. Tetapi usaha yang tidak sekadar batuk di tepi tangga mestilah dilaksanakan bersungguh-sungguh. Ketika negara ‘bukan Islam’ komited ke arah negara bebas rokok, bagaimana pula dengan tahap kita?

Saya mempunyai beberapa cadangan yang mungkin membantu dan boleh dipertimbangkan oleh pihak berkuasa yang terlibat:

1. Melarang kegiatan penjualan rokok, vapors dan shisha secara terbuka dan hanya boleh dijual di kedai yang diberikan lesen sahaja. Oleh itu, tidak dibenarkan lagi dijual di stesyen minyak, restoran dan kedai-kedai runcit.

2. Meningkatkan lagi harga rokok dan 5% daripada harga jualannya dikembalikan kepada Kementerian Kesihatan untuk kempen anti-merokok/vaping.

3. Menguatkuasakan larangan vaping dan penjualan vapors kepada masyarakat bawah umur 18 tahun dan melarang daripada merokok dan vaping di hadapan mereka.

4. Menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan majlis agama negeri untuk memanfatkaan hari Jumaat sebagai hari untuk memberi kempen kesedaran kepada masyarakat Muslim. Begitu juga dengan organisasi agama lain.

5. Meningkatkan lagi usaha kempen kesedaran dan klinik berhenti merokok.

Tabiat merokok ringkasnya boleh turun daripada generasi ke genarasi dengan hanya ayah merokok atau vaping di hadapan anak-anaknya. Jika kita tidak mahu anak-anak kita terlibat, kita boleh memulakannya daripada sekarang untuk membentuk satu generasi baru tanpa rokok, tanpa vaping dan tanpa shisha.

Dr Mohd Afiq Mohd Nor
Ahli Exco IKRAM Health

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.