Vaksin dan Imunisasi: Usaha Sebelum Tawakal

Sharing is caring!

Kenyataan Media Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)

Vaksin dan Imunisasi: Usaha Sebelum Tawakal

23 Jun 2016 / 18 Ramadhan 1437H

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia ingin meluahkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa pesakit difteria di Melaka yang disahkan meninggal pada 18 Jun 2016 yang lepas. Begitu juga seorang mangsa yang disyaki menghidap sakit difteria turut meninggal di Kedah pada 22 Jun 2016. Kedua pesakit ini disahkan tidak menerima imunisasi yang lengkap dan meninggal akibat komplikasi jangkitan.

Kami juga ingin menyatakan kerisauan terhadap kes difteria yang sudah makin menular di Melaka dan juga Kedah menjadikan jumlah bilangan pesakit disyaki adalah 12 orang. Hanya tiga dari mereka pernah menerima imunisasi difteria secara lengkap sejak lahir.

Keadaan ini amat membimbangkan kerana:

i) Masih ada ibubapa yang menolak kepentingan vaksin atas alasan yang tidak kukuh.

ii) Risiko penularan penyakit berleluasa sehingga memberi kesan kepada orang ramai.

Kenapa pentingnya vaksin dan imunisasi?

Memetik kenyataan Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah:

“Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b). Ia diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan. Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity)dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.”

Perlu disedari, dengan memberikan vaksin kepada anak-anak kita itu bermakna kita sedang melindungi imuniti kesihatan seluruh rakyat Malaysia khususnya.

Islam sendiri sangat memandang tinggi nyawa seorang individu Muslim. Nyawa seorang individu adalah ibarat sebuah umat!

“Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain , atau bukan kerana membuat kerusakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yangmemelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. “ ( Surah Maidah: 32)

‘Arrogance’ dan ‘ignorance’ mampu membunuh

Menjadi kebimbingan bagi kami bahawa sikap ‘arrogance’ dan ‘ignorance’ inilah yang mampu membunuh lebih ramai lagi nyawa yang tidak bersalah. Sikap kesombongan inilah yang perlu diubati terlebih dahulu.

Di bulan Ramadhan ini, kami menyeru ibubapa serta masyarakat untuk membuka mata dan lapangkan minda untuk menyedari kepentingan berusaha sebelum bertawakal.

Benar, kematian itu berlaku di tangan Allah. Tetapi sebagai seorang Muslim, kita harus berusaha sebelum menyerahkan segalanya kepada Allah.

Program imunisasi yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia ini adalah salah satu USAHA sebelum bertawakal bagi melindungi anak-anak kita dan rakyat Malaysia dari penularan penyakit berjangkit ini.

Perbuatan tawakal tanpa Usaha adalah salah di sisi syariat Islam.

Oleh itu pihak IKRAM Health menyeru masyarakat untuk menjalankan tiga langkah berikut:

a) Membawa kanak-kanak yang belum diimunisasi untuk segera divaksinkan.

b) Segera ke klinik atau hospital berdekatan jika ada tanda dihinggapi kuman difteria ( demam, sakit tekak, suara serak, bengkak kalenjar dan susah menelan)

c) Menasihati tetangga dan keluarga yang masih bersikap ‘ignorance’ dan ‘arrogance’ dalam mengimunisasi anak mereka.

Sama-sama kita banteras penularan penyakit difteria ini serta menjaga sistem imunisasi masyarakat Malaysia secara umumnya.

Tanggungjawab menjaga ‘herd immunity’ ini adalah tanggungjawab kita semua!

Sekian.

Associate Professor Dr. Oteh Bin Maskon
Yang Dipertua
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia

Sharing is caring!

About admin 44 Articles
IKRAM Health merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*