Patutkah Seorang Muslim Itu Anti-Vaksin?

Umat manusia kini telah menjadi mangsa kepada kejayaan yang mereka kecapi. Kita mudah lupa bahawa tidak berapa lama dahulu penyakit-penyakit seperti cacar (smallpox) membunuh 1 daripada 3 orang yang dijangkiti dan polio mengakibatkkan kanak-kanak tidak boleh bernafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan dan yang pulih menjadi lumpuh anggota fizikalnya.

Lebih kurang 8 juta kanak-kanak di bawah 5 tahun mati setiap tahun. Ini merupakan suatu tragedi kemanusiaan yang harus diatasi dengan segera dan bersungguh-sungguh.

Badan Kesihatan Se-Dunia (WHO) dan Tabung Kesihatan Kanak-kanak SeDunia (UNICEF) yakin bahawa program imunisasi sedunia dengan memperluaskan penggunaan vaksin yang rutin dan memperkenalkan vaksin-vaksin yang baru boleh mengurangkan kematian sebanyak 25%.

Penyakit cacar (smallpox) menurun secara drastik sejak kempen vaksinisasi seluruh dunia.
Penyakit cacar (smallpox) menurun secara drastik sejak kempen vaksinisasi di seluruh dunia.

Namun, usaha murni ini kini mendapat tentangan daripaga golongan anti-vaksin. Hanya segelintir pengamal perubatan yang menentang imunisasi kanak-kanak. Tetapi bilangan kecil yang menentang imunisasi ini amat lantang di blog dan laman media sosial. 70-80% daripada laman web merupakan individu atau kumpulan yang anti-vaksin.

Terdapat beberapa sebab mengapa mereka memilih untuk tidak memberi vaksin kepada anak-anak mereka. Di kalangan ibu-bapa Muslim ada yang menyangka bahwa terdapat kandungan yang tidak halal di dalam vaksin. Dan segolongan kecil pula berpegang kepada teori konspirasi bahawa imunisasi merupakan komplot Zionist untuk melemahkan umat Islam.

Hujah dan Maqasid Syar'iyyah

Kedua-dua tanggapan ini tidak benar, tidak berasaskan fakta perubatan dan hujah Syar’iyyah. Agama Islam amat menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan umat manusia seperti yang termaktub di dalam Maqasid Syar’iyyah (keutamaan undang-undang Islam).

Menurut fuqaha’, sebarang penyakit perlu dihindari, dirawat dan diubati. Dalam konteks ini pencegahan daripada sebarang bentuk gejala yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawa adalah menjadi pegangan dan keutamaan ajaran Islam. Ini terkandung didalam seruan Allah s.w.t yang bermaksud:

“Barang siapa menghidupkan seorang manusia, seolah-olah ia telah menghidupkan seluruh manusia” (Al-Maidah: 32)

Dari aspek pandangan syarak pula, imunisasi merupakan satu jalan pencegahan. Pencegahan adalah perkara yang amat dituntut dalam Islam sesuai dengan kaedah Usul Fiqh, Saddu Zara'ik yang bermaksud “menutup pintu-pintu kerosakan dan kebinasaan.”

Kesemua vaksin yang terdapat didalam jadual imunisasi kebangsaan adalah halal dan telah pun disahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Imunisasi menguatkan keupayaan badan seorang kanak-kanak untuk melawan penyakit bukan sebaliknya seperti yang didakwa oleh mereka yang percaya dengan teori konspirasi.

Cacar (small pox) yang dahulunya membunuh 1 daripada 3 orang yang dijangkiti kini telah dibasmikan daripada muka bumi semenjak tahun 1979 dengan pelalian cacar. Kes cacar yang terakhir merupakan daripada negara Islam Bangladesh dan Somalia.

Melalui program imunisasi polio sedunia, polio yang dulu membunuh dan melumpuhkan tubuh badan kanak-kanak kini telah lenyap dari muka bumi melainkan hanya diempat negara Islam sahaja di Afghanistan, Pakistan, Somalia dan Nigeria.

Ini amat mengaibkan status negara-negara Islam di kaca mata Badan Kesihatan Se-Dunia kerana kerap menentang suatu program kesihatan global yang jelas terbutkti menyelamatakn nyawa kanak-kanak dan mengurangkan risiko kerencatan fizikal dan akal.

Kajian Dr Wakefield Tiada Asas Fakta

Kebanyakan hujah golongan anti-vaksin ini rapuh dan tidak berasaskan fakta. Kajian Dr Wakefield dan rakan-rakan yang diterbitkan didalam Jurnal The Lancet pada tahun 1998 merupakan suatu pembohongan golongan anti-vaksin yang amat luar biasa.

Jurnal The Lancet telah menarik balik artikelnya dan 10 daripada 12 rakan-rakannya telah menarik diri daripada kajian itu. Dr Wakefield dan Prof Walker Smith telah dilucut lesen perubatan mereka oleh Majlis Perubatan United Kingdom.

Angkara mereka ini telah menakutkan segolongan ibu bapa di United Kingdom dan di dunia am. Mereka telah memilih untuk tidak memberikan pelalian MMR (Campak, Benguk dan Rubella) kepada anak mereka kerana kemungkinan kaitan MMR dengan penyakit autisme.

Penularan semula Wabak

Liputan MMR di UK telah menurun daripada 90-95% ke 60-70%. Ini telah mengakibatkan wabak campak dan benguk berleluasa di UK. Campak boleh menyebabkan komplikasi-komplikasi seperti radang paru-paru, radang telinga, radang usus, sawan panas, radang otak (subacute sclerosing encephalitis) dan kematian (0.1-1.0 kematian bagi setiap 1,000 jangkitan).

Benguk pula merupakan penyebab utama meningitis (radang selaput otak dan tunjang saraf) dan pekak. Di kalangan kanak-kanak lelaki boleh meyebabkan kemandulan (sub-fertility) dan keguguran dikalangan kanak-kanak perempuan apabila besar kelak.

Badan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan & Pencegahan Penyakit US (CDC) telah secara rasmi menekankan bahawa vaksin MMR, malahan tiada satu vaksin pun boleh menyebabkan autisme. Maka semua ibu bapa harus rasa yakin dengan kenyataan ini dan tidak terpengaruh dengan khabar angin di media sosial yang tidak berasaskan fakta perubatan.

Tidak mudah terpengaruh

Setiap ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan vaksin yang sempurna. Kita mesti sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan berita-berita yang disebarkan dalam pelbagai saluran media oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kita harus pastikan liputan imunisasi negara kita tetap tinggi supaya penyakit-penyakit yang merbahaya dan mengancan nyawa dan boleh menatijahkan kerencatan akal dan fizikal boleh dihindari dan tidak muncul semula.

sfit_rmimmune_rm_4

Saya menyanjung tinggi usaha saudara-saudara kita di Islamic Medical Association and Network of Indonesia (IMANI) yang menghasilkan karya yang amat bermakna ini di dalam rangka untuk menyedarkan ibu bapa dan orang umum betapa penting nya kita mempastikan anak-anak kecil kita dan golongan risiko tinggi diberi perlindungan vaksin yang sewajarnya.

Dengan matlumat perubatan yang berasaskan hujah (evidence based medicine) ibu bapa tidak mudah terpedaya dengan golongan anti-vaksin di alam maya.

Selaku pengamal perubatan kita bertanggung-jawab bukan hanya menyampaikan maklumat tetapi juga berusaha menjelaskan dan meleraikan kontroversi dan syak wasangka yang ditimbulkan bukan hanya daripada perspektif perubatan tetatpi juga dari sudut hukum Syar’iyyah.

Dan ini telah dilakukan dengan begitu komprehensif, berasaskan fakta perubatan, selari dengan roh Maqasid Syar’iyyah dan penuh tertib dan beradab.

Semuga usaha dan kesungguhan saudara-saudara kita di IMANI dilimpahkan ganjaran duniawi dan ukhrawi oleh Allah (SWT) yang Maha Agung, lagi Maha Pengasih dan Penyayang dan Maha Penyembuh.

“Dan apabila aku sakit, Allah yang menyembukan aku.” (As-Shu’ara: 80)

Salam Ukhuwah.

Dato’ Dr Musa Mohd Nordin Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi

*artikel ini dimuatnaikkan semula dengan izin Dr Harith Fakhrudin 

Ruang IKLAN

Sila hubungi kami untuk pengiklanan anda.
About admin 33 Articles
IKRAM Health merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*