Perlukah Doktor Berbahasa Melayu?

Sharing is caring!

Riuh sesama kita membincangkan tentang syarat minima Bahasa Melayu untuk bekerja sebagai pegawai perubatan.
Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Pada pendapat saya, komunikasi dalam Bahasa Melayu amatlah penting bagi mana-mana pengamal perubatan untuk menjalankan fungsinya dengan baik di Malaysia.

Sebagai seorang doktor, kita bukanlah merawat robot ataupun mesin. Tugas kita bukanlah setakat menulis ubat dan memberikan rawatan tetapi menasihati pesakit supaya komplikasi penyakit yang lebih serius dapat dielakkan dan memastikan pesakit terus kekal dalam rancangan rawatan kita.

Laras bahasa yang kita gunakan juga berbeza bergantung dengan siapa kita berkomunikasi samada sesama doktor, staf kesihatan sehinggalah kepada orang awam.

Bertugas sebagai doktor kesihatan awam, saya pernah bekerja dengan ramai pakar perubatan dengan kemahiran berbahasa yang amat baik.

Saya pernah bekerja dengan pakar perunding penyakit berjangkit kanak-kanak berbangsa India yang tahu membezakan gaya berbahasa apabila bercakap dengan orang awam biasa atau dengan orang asli. Beliaulah yang kami selalu jemput apabila ada intervensi dengan masyarakat pendalaman.

Saya pernah bekerja dengan pakar perunding fertiliti berbangsa Cina yang mahir berbicara dalam 3 bahasa. Beliau tahu berseloroh dan berjenaka dalam 3 bahasa dengan pasangan ibu bapa menyentuh isu paling peribadi dan sensitif.

Saya pernah bekerja dengan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri berbangsa Punjabi yang sentiasa membetulkan struktur dan ayat surat rasmi kami supaya arahan pentadbiran yang sampai ke peringkat daerah dalam Bahasa Melayu yang jelas dan sampai maksudnya.

Saya juga pernah bekerja dengan yang berhormat Exco Kesihatan Negeri berbangsa Cina yang juga merupakan pakar jantung, duduk di pejabatnya berjam-jam bersama-sama meneliti dan memperbetulkan ucapan pengulungannya yang saya sediakan untuk sidang Dewan Undangan Negeri.

Sengaja saya bawakan contoh pakar-pakar perubatan yang bukan berbangsa Melayu untuk membuktikan bukanlah mustahil untuk menguasai Bahasa Melayu. Mereka ini bukan sekadar dijemput memberi syarahan di persidangan antarabangsa malah disayangi pesakit dan banyak menyumbang ke arah penjagaan kesihatan masyarakat.

Maka, jika anda ingin menjadi doktor berjiwa besar, kuasailah kemahiran berbahasa dan berkomunikasi. Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Dr Mohamad Fadli Khairie,
Doktor Kesihatan Awam,
Medical Mythbusters Malaysia

Sharing is caring!

About admin 44 Articles
IKRAM Health merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*