Apa itu Autisma ? – Dr Hajar

Tahukah anda bahawa 2 April yang lalu merupakan Hari Kesedaran Autisma Sedunia?

Masih ramai yang tidak mengetahui tentang Autisma, dan terdapat banyak salah faham mengenai kondisi ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab soalan-soalan yang lazim ditanya tentang Autisma.

Soalan Lazim mengenai Autisma atau Autism Spectrum Disorder (ASD)

1. Apa itu Autisma?
Autisma atau Autism Spectrum Disorder (ASD) ialah satu penyakit perkembangan otak yang berkekalan. Kanak-kanak Autisma mempunyai cabaran dalam berkomunikasi, bersosial dan juga cabaran tingkah laku. Daripada aspek jantina, terdapat lebih ramai penghidap Autisma di kalangan lelaki berbanding perempuan. Selain itu, risiko untuk seseorang menghidap Autisma meningkat sekiranya terdapat ahli keluarga yang menghidap Autisma.

2. Bagaimana diagnosis Autisma diberi?
Seorang kanak-kanak yang disyaki mempunyai penyakit Autisma boleh diperiksa secara terperinci oleh pakar psikiatri, pakar perkembangan kanak-kanak atau ahli psikologi. Kanak-kanak itu perlulah memenuhi kriteria yang terdapat dalam ‘Diagnostic and Statistical Manual V (DSM V).’

3. Apakah ciri-ciri Autisma?
Ciri-ciri Autisma terbahagi kepada 2 bahagian:

A. Cabaran komunikasi sosial and interaksi sosial:
i- Cabaran dalam Timbal Balik Sosial-Emosi: contohnya seperti perbualan satu pihak sahaja, tidak berkongsi minat dengan orang lain atau tidak membalas dalam interaksi bersama orang lain.
ii- Cabaran dalam komunikasi non-verbal (komunikasi bukan lisan): contohnya seperti tiada hubungan mata dengan orang lain, serta kekurangan ekspresi muka dan bahasa badan.
iii- Cabaran dalam hubungan dengan orang lain: contohnya seperti sukar untuk berkawan, dan tidak bermain olok-olok

B. Tingkah laku, minat dan aktiviti yang terhad, dan berulang-ulang:
i- Tingkah laku yang berulang: contohnya seperti suka memutar objek atau suka mengibaskan tangan
ii- Tidak suka perubahan: contohnya seperti tidak suka rutin harian ditukar
iii- Mempunyai minat yang mendalam dan berlebihan dalam sesuatu perkara
iv- Terlalu sensitif, atau kurang sensitif dengan input sensori

4. Adakah Autisma sama seperti ADHD?
Autisma dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) adalah dua kondisi yang berlainan, kadangkala terdapat kanak-kanak yang mempunyai Autisma yang juga mempunyai ADHD pada masa yang sama. Ciri- ciri utama ADHD ialah kurang tumpuan, hyperaktif dan impulsif.

5. Apakah cara merawat Autisma?
Pada waktu ini, tiada ubatan untuk menyembuhkan seseorang itu sepenuhnya daripada Autisma, tetapi terdapat terapi yang boleh digunakan untuk membantu seseorang itu dalam kehidupan sehariannya.
i- Terapi Carakerja- membantu kanak-kanak dalam aktiviti seharian supaya boleh berdikari. Contohnya seperti kemahiran menjaga kebersihan diri, makan, masak, membeli barang dan lain-lain.
ii- Terapi Pertuturan – kebanyakan individu Autisma mempunyai cabaran untuk bertutur dengan baik. Terapi pertuturan membantu individu tersebut dalam kemahiran komunikasi seperti menggunakan gerak isyarat/ kad bergambar dan lain-lain.
iii- Terapi Tingkah laku- Membantu individu memperbaiki masalah tingkah laku. Contohnya:

6. Adakah benar suntikan vaksinasi menyebabkan Autisma?
Ini ialah satu teori yang tidak benar. Tiada data yang dapat menyokong teori ini. Suntikan vaksinasi adalah selamat dan penting untuk mengawal jangkitan yang merbahaya daripada merebak.

7. Saya baru mendapat tahu anak saya mempunyai penyakit Autisma, apa yang perlu saya lakukan?
Jika anak anda telah disahkan mempunyai Autism Spectrum Disorder, berikut adalah cadangan saya mengenai apa yang perlu anda lakukan seterusnya.

1. Beri sedikit masa untuk diri anda dan pasangan untuk terima hakikat ini. Tetapi jangan mengambil masa yang terlalu lama, kerana anda perlu bertindak cepat untuk membantu anak anda.

2. Banyakkan membaca mengenai Autism. Buatlah pembacaan sebanyak mungkin secara online atau melalui buku-buku.

3. Berdisiplin dalam menghadiri temu janji dengan Pakar Psikiatri / Ahli Terapi.

4. Sentiasa berbincang dan belajar daripada Ahli Terapi mengenai cara mengendalikan tingkah laku anak anda.

5. Peka dan rekod perubahan anak anda. Seperti perkara-perkara yang selalu mencetuskan tantrum anak anda. Ini dinamakan Analisis Tingkahlaku menggunakan model ABC atau ABC Behaviour Recording. (Antecedent- Behaviour- Consequences). Antecendent ialah apa yang berlaku sejurus sebelum tantrum. Behaviour pula merujuk kepada tingkahlaku yang menunjukkan tantrum; contohnya menjerit dan bertegas tidak mahu berganjak dari tempat duduk. Consequence merujuk kepada tingkahlaku atau respon yang menyusul selepas tingkahlaku tersebut. Contohnya ibu bapa mula mengira hingga 10 dan meminta anak berganjak dari tempat duduknya sekarang.

6. Hubungi organisasi-organisasi bukan kerajaan yang terlibat dalam bidang ini di Malaysia. Melalui organisasi-organisasi ini, anda akan memperoleh banyak maklumat dan berjumpa ramai ibu bapa yang memahami.

7. Berjumpa dan berbincanglah dengan ibu bapa kepada individu Autism. Sokongan ibu bapa ini adalah aspek yang paling penting.

8. Pastikan anak anda dimasukkan ke Early Intervention Program (EIP) secepat mungkin. Kajian mengesahkan kanak-kanak yang memasuki program sebegini menunjukkan peningkatan yang lebih cepat.

8. Saya mengajar di kelas yang mempunyai kanak-kanak Autisma, bagaimana cara saya mengawal mereka?
Ramai anak-anak Autism (pada tahap mild – moderate) mampu juga untuk belajar di sekolah aliran perdana (mainstream school). Tetapi anak-anak ini perlukan sokongan dan kefahaman yang lebih daripada guru mereka.

Cara-cara untuk mengendalikan kanak-kanak autisma di kelas:
1. Kenali anak istimewa itu sedalamnya. Setiap anak Autism adalah unik. Berbincanglah dengan ibu bapanya mengenai perkara atau situasi yang tidak disukainya, tingkah lakunya, dan cara mengatasinya.

2. Gunakan rutin harian yang tetap. Anak-anak Autisma tidak selesa dengan perubahan rutin harian mereka.

3. Sekiranya terdapat perubahan pada rutin, perlulah sediakan mereka dari segi mental. Contoh: pindah kelas. Guru perlulah berulang kali beritahu anak tentang perpindahan itu beberapa bulan terlebih awal.

4. Sediakan sokongan visual seperti gambar kartun dalam jadual waktu berserta waktu. Ini dapat membantu anak memahami rutinnya.

5. Gunakan ayat-ayat komunikasi yang mudah.

6. Anak-anak Autism mempunyai kesukaran memahami situasi sosial. Anda boleh menggunakan teknik ‘social stories’ iaitu cerita-cerita tentang situasi sosial dan cara melalui situasi itu.

7. Pastikan kawasan sekitar sesuai dengan keadaan anak-anak Autism dan tidak terlalu ‘overwhelming’. Anak-anak Autism kadang-kadang amat sensitif derianya (Sensory Sensitivity). Contohnya tidak suka bunyi yang bising. Mungkin guru atau ibu bapa boleh membantu dengan menyediakan penutup telinga ketika anak melakukan kerja individu.

8. Jika anak itu mempunyai cabaran tingkah laku yang kerap, sila rekod perubahan tingkah laku mereka menggunakan cara A-B-C (Antedecent- Behaviour- Consequences)

9. Terangkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru lain tentang Autism Spectrum Disorder. Ini dapat mengelak stigma dan pembulian di sekolah. Sokongan rakan-rakan juga dapat membantu anak ini belajar dengan gembira di sekolah!

Semoga tulisan ini dapat memberi pencerahan sedikit sebanyak kepada semua dalam mengenali dan memahami Autisma.

Tulisan oleh:
Dr Hajar Bt Mohd Salleh Sahimi
Doktor Psikiatri, M.R.C.Psych (UK)
MBBS Trinity College Dublin
Bekerja di National University Hospital (NUH) (2010),
Khoo Teck Puat Hospital Singapore (2011-2012),
Changi General Hospital Singapore (2012-2013),
Institute of Mental Health (IMH) Singapore 2013-2017.

Sharing is caring!

About admin 63 Articles
IKRAM Health Malaysia merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*