Kesihatan dan Ekonomi Negara: Perkaitan yang Tidak Dapat Dipisahkan

Menjelang pembentangan bajet yang bakal menjelang tiba, pastinya kita menanti apakah bahagiannya untuk kita. Tak ketinggalan juga dari aspek kesihatan.

Ramai tidak mengetahui kesihatan bukan sahaja menyumbang dari segi kebajikan dan kelansungan hidup. Namun ia turut berkait rapat dengan ekonomi negara.

Meskipun begitu, untuk mengaitkan kesihatan dan ekonomi bukan dengan bertanya ‘berapakah pulangan pelaburan yang dapat diberikan dengan setiap wang yang dibelanjakan (return of investment). Bukan juga dengan bertanya ‘berapakah keuntungan atau kerugian dalam setiap sen yang dilaburkan. Kesihatan dan ekonomi mempunyai hubung kait yang kompleks yang nampak seperti tidak jelas namun besar impaknya.

1. Kesihatan meningkatkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK). Angka yang dikeluarkan oleh World Bank mengatakan dalam setiap kenaikan 10% pada jangka hayat sesebuah negara dapat memberikan unjuran pertambahan KDNK sebanyak 0.7% setiap tahun pada sesebuah negara.

2. Rakyat yang sihat adalah rakyat yang produktif. Hakikatnya hanya rakyat yang sihat dan produktif mampu untuk menyumbang untuk ekonomi negara. Rakyat yang tidak dijaga kesihatannya akan hadir dengan masalah lambakan cuti sakit, ketidakhadiran, kurangnya tumpuan pada kerja seterusnya mengurangkan hasil pada ekonomi negara. Satu kajian telah dilakukan mendapati bahawa mereka yang mempunyai penyakit kronik kehilangan 450 juta hari bekerja lebih daripada mereka yang tidak sihat hingga boleh mengakibatkan kerugian lebih daripada 153 billion USD setiap tahun.

3. Kuasa membeli ada pada rakyat yang sihat. Tanpa sistem kesihatan yang baik juga perlindungan kesihatan yang baik (subsidi, pembiayaan kesihatan, insurans) rakyat terdedah kepada risiko untuk jatuh miskin apabila jatuh sakit lebih-lebih lagi dengan kos perubatan yang semakin meningkat. WHO memberi anggaran hampir 100 juta orang menjadi miskin setiap tahun untuk menampung kos perubatan. Malah di Amerika Syarikat, belanja perubatan menjadi antara punca utama menjadi muflis. Setelah semua wang dibelanjakan untuk berubat, keinginan untuk membeli barangan lain tidak dapat dipenuhi meskipun ia merupakan barang keperluan.

4. Masa depan negara juga bergantung kepada kesihatan kanak-kanaknya yang masih bersekolah. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang sihat dan lengkap nutrisinya akan lebih kerap hadir ke sekolah. Di Ghana misalnya, intervensi yang dilakukan untuk meningkat tahap nutrisi kanak-kanak sekolah meningkatkan kehadiran sebanyak 90 hingga 95% dan peningkatan skor pencapaian pada subjek Matematik dan Bahasa Inggeris.

Justeru itu, langkah-langkah proaktif perlu dipastikan untuk memastikan kesihatan rakyat tidak dipandang sepi dalam kita sibuk mengejar pembangunan ekonomi. Belanjawan dan dasar fiskal negara perlulah berupaya memberi manfaat kepada kesihatan rakyat. Misalnya, cukai eksais kepada komoditi-komoditi seperti minuman beralkohol, minuman bergula, rokok dapat mengurangkan rakyat yang mengambil barangan ini.

Pada masa yang sama pelepasan cukai mahupun subsidi untuk aktiviti sukan, pemeriksaan kesihatan, pengambilan vaksin mahupun pembayaran ubat dapat mengalakkan rakyat untuk menjaga kesihatan dan memudahkan rakyat untuk mendapatkan rawatan.

Kesihatan juga berkait rapat dengan pembangunan sektor-sektor lain. Pemerkasaan wanita misalnya memberikan lebih hak kepada wanita sekaligus membantu mengurangkan kematian ibu mengandung mahupun kematian kanak-kanak. Manakala peningkatan taraf hidup golongan miskin dapat menlindungi mereka daripada mendapat penyakit-penyakit kronik dan penyakit-penyakit berjangkit.

Memetik intipati mantan Director General WHO dalam salah satu ucapannya bahawa Kesihatan memang tidak dinafikan boleh memaju ekonomi negara namun ekonomi yang membangun pesat tanpa perhatian dan tumpuan kepada sektor kesihatan belum tentu menjanjikan tahap kesihatan yang baik untuk rakyatnya.

Perkongsian oleh,

Dr Mohamad Fadli Khairie

Sharing is caring!

About admin 73 Articles
IKRAM Health Malaysia merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.