Kenapa Membaca Bersama Anak Penting?

Photo by Lina Kivaka on Pexels.com

Rata-rata, masyarakat kita sering mengagumi kanak-kanak kecil yang pandai membaca, dan mengejar agar anak kecil seawal umur bayi mempelajari huruf dan nombor.

Sebenarnya, kajian dari pakar psikologi dari University of Otago, New Zealand menemui tiada perbezaan dalam kemahiran membaca kanak-kanak berumur 11 tahun (pada tahun terakhir sekolah rendah), tak kira yang membaca awal (sejak umur 5 tahun) atau membaca ‘lewat’ (selepas umur 7 tahun).

Mengapa begitu? Dr Sebastian Suggate, penyelidik utama kajian ini, menjelaskan bahawa ini kerana faktor yang paling penting yang mempengaruhi kemahiran membaca kanak-kanak bukannya kejayaan membaca pada usia awal. Sebaliknya, faktor yang paling penting adalah pengalaman bahasa dan pembelajaran yang diperolehi melalui bermain secara informal.

Jadi, mereka yang kerap bermain dan berinteraksi dengan orang dewasa akan menguasai kemahiran membaca dengan baik, walaupun hanya belajar membaca pada usia lewat.

Kalau begitu, adakah kita tak perlu membaca bersama anak-anak? Adakah membaca bersama anak-anak tidak penting?

  1. Perkembangan otak anak-anak

Membaca bersama anak-anak merupakan aktiviti berfokus di mana ibu bapa memberikan sepenuh tumpuan dan menunjukkan kasih sayang kepada anak.

Tumpuan ibu bapa atau seorang ‘caring adult’ adalah sangat penting untuk perkembangan otak anak kecil dari usia 0-3 tahun. Apabila diabaikan, perkembangan fungsi eksekutif, emosi dan kemahiran berfikir secara kompleks akan turut terjejas.

  1. Hubungan kekeluargaan yang erat

Ia memupuk hubungan kekeluargaan yang erat dan membina memori yang manis tentang zaman kanak-kanak mereka. Hubungan erat ini akan melahirkan rasa percaya yang tinggi anak-anak kepada ibubapa, dan kepercayaan ini sangat mustahak dalam mengemudi zaman remaja dan dewasa mereka.

  1. Memupuk nilai-nilai murni

Membaca cerita mengenai orang lain, sama ada kisah benar atau fiksyen, memberi peluang anak-anak untuk membayangkan diri mereka dalam situasi tersebut. Ini mendidik mereka untuk empati, dan bersikap rahmah kepada pelbagai masalah dan situasi.

Membaca cerita juga merupakan cara tidak langsung untuk kita didik apa yang boleh dan tak boleh buat, pilihan yang baik dan tidak baik, dan sikap yang perlu kita teladani.

Anak-anak tak suka disyarah. Menggunakan cerita untuk menyampaikan mesej adalah jauh lebih berkesan!

  1. Persiapan untuk membaca

‘Reading readiness’ adalah kemahiran yang diperoleh seorang anak kecil melalui pembelajaran semula jadi dan santai, yang memudahkan untuk mereka menggarap kemahiran membaca di kemudian hari.

  1. Pengayaan kosa kata dan tatabahasa yang betul

Bahasa pertuturan kita adalah bahasa malas, selalunya. Bahasa pertuturan kita banyak melanggar tatabahasa dan menggunakan kosa kata yang terhad sebenarnya. Cuba kita tuliskan setiap perkataan yang kita sebut dalam pertuturan kita untuk 24 jam, pasti kita terkejut melihat jumlah yang sedikit itu… Tetapi, cuba fikir bila kali terakhir kita menggunakan perkataan seperti ‘sangsi’, ‘kosa kata’, ‘pertuturan’… Ha susah kan!

  1. Memupuk budaya membaca dan cintakan buku

Membaca memberikan seribu satu manfaat kepada kita dalam kehidupan. Membaca bersama anak-anak memberikan teladan, dan merupakan latihan, untuk anak-anak memupuk budaya ini sepanjang hidup mereka.

  1. Alternatif kepada gajet

Dibandingkan dengan gajet, buku tidak merosakkan mata, tidak mengganggu tidur (Selain dari kemahuan yang kuat untuk menghabiskan buku yang mencuri tumpuan), tidak menyebabkan masalah tingkah laku, dan juga…………… TIDAK MAHAL!

Maka marilah kita sama-sama membudayakan amalan membaca bersama anak-anak, dan tidak memaksa mereka untuk membaca awal!

Selamat membaca, anak Malaysia!

Dr Aliyyah Mohammad Khuzaini

MBChB (Bristol) MRCPCH (UK) IBCLC

(Dr Aliyyah merupakan ibu kepada tiga orang anak, dan dalam latihan kepakaran untuk menjadi pakar kanak-kanak. Beliau kini merupakan suri rumah sementara kerana mengikuti suami bertugas di Boston, USA, dan gemar menulis isu-isu anak-anak dan keibubapaan).

Rujukan:

  1. https://www.otago.ac.nz/news/news/otago006408.html?fbclid=IwAR1GtSuPDzn0iLKFPy6DXlT8-sooEiHpuJ-kX-MPmiZbbKLrPsPp_GIQBNc
  2. https://www.reachoutandread.org/why-we-matter/child-development/
  3. https://www.artofmanliness.com/articles/the-benefits-of-reading-out-loud-to-your-kids/

Sharing is caring!

About admin 81 Articles
IKRAM Health Malaysia merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.