“Cuti sekolah.. bosannya!”

Photo by mentatdgt on Pexels.com

Cuti sekolah datang lagi. Pastinya ramai ibu bapa pening memikirkan aktiviti yang sesuai dan bermanfaat untuk anak-anak. Saya selalu berdebar-debar menanti cuti sekolah, dan dalam diam lega bercampur gembira bila sekolah bermula! (Tapi ni rahsia, jangan bagitahu anak-anak saya!)

Dulu, saya selalu menjadi orang pertama mahu daftar aktiviti cuti sekolah, kelas skil tambahan dan pening kepala nak ‘hiburkan’ anak-anak. Pantang sungguh kalau dengar mereka kata bosan. Tetapi kini saya belajar, sebenarnya ada satu rahsia untuk mengisi masa lapang dan mengembangkan potensi anak-anak, sama ada dari segi mental, fizikal, mahupun emosi.

BIARKAN MEREKA BERMAIN!

Hah? Main? Tak ke membazir masa tu? Main-main je, bila nak belajarnya? Zaman sekarang kan dah susah nak cari kerja? Susah nak masuk universiti?

Kajian menunjukkan bahawa bermain secara bebas mengasah kebolehan fungsi eksekutif anak-anak; contohnya kemahiran menyelesaikan masalah, mempertimbangkan baik buruk sesuatu perkara dan membuat keputusan, mengawal dan menzahirkan emosi dengan sihat, mengurus stres dan mengembangkan daya kreativiti. Jangan lupa, paling penting, ia sangatlah MENGGEMBIRAKAN!

Kita tengok satu per satu kebaikan ini ya!

  1. Kemahiran menyelesaikan masalah

Apabila anak-anak dibiarkan bermain sendirian secara bebas, mereka akan menemui masalah demi masalah. Nak main lawan-lawan tapi tiada pedang? Jom kita buat pedang! Nak main ramai-ramai tapi ada seorang asyik buli yang lain, macam mana nak redakan suasana supaya semua boleh kekal bermain bersama?

  1. Kemahiran membuat keputusan

Untuk menyelesaikan masalah, anak-anak haruslah membuat keputusan. Buat keputusan untuk berdamai, keputusan untuk cari bahan rekacipta, keputusan untuk ubahsuai mainan yang ada, atau keputusan untuk gunakan daya imaginasi sahaja. Ini adalah latihan yang penting untuk membina keyakinan diri dan jati diri anak-anak.

  1. Kemahiran mengawal dan menzahirkan emosi

Apabila bermain bersama rakan-rakan, kanak-kanak cepat belajar bahawa mereka perlu mampu bermain bersama. Kalau ada yang tak suka dan pergi, berakhirlah sesi bermain tersebut! Jadi mereka belajar bagaimana mengurus konflik, mengawal emosi dan menzahirkannya dengan baik.

  1. Mengurus stres

Pernah tengok anak-anak berlakon menjadi doktor, dan memberi suntikan kepada anak patung mereka? Atau menjadi mak/ayah/cikgu dan berlakon memarahi teddy bear kesayangan mereka? Melakonkan semula adegan-adegan yang memberi tekanan merupakan cara anak-anak mengatasi ketakutan dan pengalaman negatif mereka.

  1. Mengembangkan daya kreativiti

Bukan senang untuk bermain tanpa stimulasi. Apatah lagi untuk anak-anak yang terlalu biasa disogokkan dengan gajet. Untuk bermain secara bebas, mereka perlu berfikir di luar kotak, mencuba pelbagai perkara baru, dan menyelesaikan masalah dengan keterbatasan yang mereka ada. Bukankah itu mirip kehidupan sebenar, yang mereka akan lalui sebagai orang dewasa?

Jadi… bagaimana mengalakkan anak-anak ini untuk bermain?

  1. Tetapkan had screen time, dan bertegas dengan had masa ini.
  1. Kurangkan aktiviti berstruktur, seperti kelas ko-kurikulum dan skil tambahan. Jangan sibukkan jadual mereka.
  1. Main di luar. Bawa ke padang atau taman permainan.
  1. Biarkan mereka mencipta. Sediakan bahan-bahan recycle, gunting, gam, kertas, kotak… dan biarkan mereka menggubah sesuka hati mereka.
  1. Biarkan mereka rasa bosan. Jangan cepat melatah dengan rungutan bosan. Percayalah, mereka akan cari sesuatu untuk dibuat bagi mengisi kebosanan tersebut, jika kita tidak masuk campur.
  1. Jangan takut dengan rumah yang bersepah. Selepas main, boleh kita buat aktiviti mengemas bersama pula! Itu juga aktiviti yang mendidik displin, memupuk kerjasama.. dan menggunakan masa dan tenaga!

Selamat mencuba!

Dr Aliyyah Mohammad Khuzaini

MBChB (Bristol) MRCPCH (UK) IBCLC

(Dr Aliyyah merupakan ibu kepada tiga orang anak, dan dalam latihan kepakaran untuk menjadi pakar kanak-kanak. Beliau kini merupakan suri rumah sementara kerana mengikuti suami bertugas di Boston, USA, dan gemar menulis isu-isu anak-anak dan keibubapaan).

Sharing is caring!

About admin 81 Articles
IKRAM Health Malaysia merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.