Gabungan NGO Membantah Penglibatan YB Timbalan Menteri Dalam Majlis Perasmian Kilang Vape Of Malaysia

KENYATAAN MEDIA:

MAKLUM BALAS ISLAMIC MEDICAL ASSOCIATION OF MALAYSIA (IMAM) BERSAMA GABUNGAN NGO MEMBANTAH PENGLIBATAN YB TIMBALAN MENTERI DALAM MAJLIS PERASMIAN KILANG VAPE OF MALAYSIA

Merujuk kepada perkara di atas, kami, daripada Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan dan Persatuan-persatuan yang berkait kesihatan di Malaysia menyuarakan bantahan secara terbuka kepada YB Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Henry Sum Agong atas penglibatan YB Dato’ dalam perasmian Kilang Vape of Malaysia di Nilai pada 12 Mei 2017 nanti.

2. Kami berpendapat bahawa penglibatan YB Dato’ ini akan memberi tamparan hebat kepada kerajaan kerana ia jelas bertentangan dengan dasar dan polisi kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok dan vape. Penglibatan YB Dato’ juga sebenarnya akan membuka ruang yang lebih besar terhadap perkembangan industri vape di negara kita ini.

3. Pengambilan Vape walaupun tanpa nikotin, bukanlah langkah sebenar atau alternatif untuk berhenti merokok sebaliknya mempunyai kesan-kesan sampingan yang jelas terbukti berbahaya kepada paru-paru melalui kajian-kajian yang telah dijalankan. Penggunaan Vape juga bukan sahaja meningkatkan kecenderungan kanak- kanak dan golongan remaja untuk merokok pada peringkat muda lagi bahkan terdedah kepada pengambilan dadah yang terlarang dengan pelbagai cara yang mengaburi mata pihak berkuasa.

4. IMAM bersama rakan-rakan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan dan Persatuan-persatuan yang berkait kesihatan di Malaysia berasa amat dukacita jika benar penglibatan YB Dato’ dalam upacara perasmian ini nanti. Adalah diharapkan agar semua pihak dapat menolak daripada terlibat dan memberi sebarang sokongan serta promosi kepada industri Vape ini.

5. Penarikan diri YB Dato daripada majlis perasmian ini amatlah dihargai dan kami yakin ia akan membantu dalam meningkatkan sokongan terhadap usaha kerajaan dalam menjayakan perjanjian WHO Framework Convention On Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005.

Sekian, terima kasih.

Cantas Vape Daripada Muda, Hidup Sihat Tanpa Vape.

Yang benar,
Dr Jeffrey Abu Hassan
Presiden
Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) 2016-2018

Bantahan bersama oleh:

1. Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM)

2. Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)

3. Green Crescent Malaysia (GCM)

4. Medical Mythbusters Malaysia (M3)

5. Persatuan Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)

6. Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM)

7. Malaysian Integrated Medical Professionals Association (MIMPA)

8. Malaysian Doctors Club

9. Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.