PrEP – SUATU DISKUSI DAN PANDANGAN

Berikut merupakan perkongsian pengalaman daripada kami yang berada dalam pelbagai
sektor dan divisi kesihatan. Pekerjaan seharian menemukan kami dengan pesakit-pesakit
HIV. Dewasa ini kebanyakan kes adalah berpunca daripada hubungan seksual sejenis (MSM
– men who have sex with men). Bahkan statistik Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian
Kesihatan Malaysia menunjukkan terdapat perubahan landskap yang ketara bagi penghidap
penyakit HIV dalam kalangan MSM antara tahun 2010 ke 2018, iaitu meningkat daripada 8%
ke 57%.

Ada beberapa perkara yang menjadi kontroversi baru-baru ini. Izinkan kami memberi
pandangan dalam bentuk soalan dan jawapan dalam perkongsian kali ini. Semoga sedikit
sebanyak perkongsian pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada semua.


SOALAN: APA ITU HIV dan AIDS?

Dr. Afeera: HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan
sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS. AIDS pula adalah singkatan
bagi ‘Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit’ dan merupakan peringkat terakhir
jangkitan HIV. Penyakit ini boleh mengakibatkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman,
kanser dan pelbagai masalah kesihatan yang lain.


ADAKAH KINI TERDAPAT RAWATAN BAGI PENYAKIT HIV?

Dr. Aiza: Ya, kini sudah ada rawatan bagi penyakit HIV, iaitu ubat HAART (Highly Active
Antiretroviral Therapy). Dengan rawatan HAART, virus HIV boleh berada pada tahap yang
tidak dapat dikesan atau rendah. Sekiranya virus ini tidak dapat dikesan (viral load
undetected), pesakit HIV tidak akan menjangkiti pesakit lain (U=U: Undetected =
Untransmitted).

Dengan rawatan HAART, mereka boleh berkahwin, serta melahirkan anak
tanpa menjangkiti pasangan dan anak.


APAKAH ITU PrEP?

Dr. Aiza: Profilaksis pra-pendedahan atau Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) adalah kaedah
apabila seseorang individu yang tiada jangkitan HIV, tetapi berisiko tinggi mendapat jangkitan
(kebiasaannya adalah berpunca daripada hubungan seksual terlarang) mengambil ubat HIV
untuk mengurangkan peluang mereka mendapat jangkitan dan menularkan penyakit ini pada
orang lain pula. Ubat PrEP ini sebenarnya sudah pun wujud sebelum ini, tetapi
penggunaannya adalah tidak begitu meluas. Namun, ia akan diperluaskan lagi
penggunaannya di fasiliti kerajaan khususnya klinik-klinik kesihatan kerajaan.


ADAKAH PERBUATAN MEMBERIKAN PrEP ADALAH SAMA DENGAN MENYOKONG
LGBT?

Dr. Afeera: Tidak sama sekali. Kita masih hidup dengan memahami norma agama dan
budaya yang tinggi. Pemberian PrEP tidak sama sekali bermaksud menyokong norma LGBT.


KOS PrEP AKAN MENGGUNAKAN DUIT RAKYAT. APA PANDANGAN DOKTOR?

Dr. Afeera: Apa yang tidak disedari oleh kebanyakan kita adalah seandainya pesakit HIV atau
AIDS dimasukkan ke hospital, kos merawat mereka juga adalah menggunakan subsidi
kerajaan, bantuan zakat dan lainnya. Apabila sistem imuniti pesakit rendah, mereka lebih
mudah mendapat jangkitan yang tidak selalunya dilihat dalam golongan pesakit normal lain.
Misalnya, jangkitan CMV retinitis. Sebiji kos ubat Valganciclovir 450mg untuk rawatan bagi
jangkitan ini boleh mencecah RM 115. Kebanyakan pesakit memerlukan 4 biji sehari, yang
bersamaan dengan RM310 sehari. Bukan itu sahaja, pesakit perlu mengambil rawatan ini
berbulan lamanya yang menelan kos yang sangat besar. Itu hanyalah satu contoh daripada
pelbagai jangkitan opportunistik lain.

Bukan hanya itu sahaja, pesakit HIV/AIDS juga berisiko tinggi mendapat kanser yang
memerlukan rawatan yang boleh menelan ratusan ribu ringgit, yang juga menggunakan
subsidi kerajaan. Malah kajian Centre of Excellence for Research in AIDS (CERIA) juga
menunjukkan bahawa penggunaan PrEP sebagai langkah pencegahan transmisi HIV
membantu penurunan kos kesihatan merawat HIV pada tahun 2006-2013 sebanyak RM47
million.

Di samping itu, apabila golongan berisiko tinggi ini dijangkiti dengan HIV, mereka juga perlu
mengambil rawatan HAART seumur hidup mereka. Risiko untuk kegagalan rawatan adalah
tinggi sekiranya mereka tidak mengambil ubatan secara betul. Dan rawatan seterusnya juga
boleh dibebankan dengan kos yang sangat tinggi dan seandainya gagal, tiada banyak pilihan
yang ada di Malaysia. Dan ramai di antara mereka yang mendapat jangkitan opportunistik
yang membahayakan. Malah mereka juga menjangkiti yang lain.
Di dalam kaedah fiqh, terdapat pandangan seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Nujaim:

إذَا تَعَارَضَ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًا بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya : Apabila bertembungnya dua mafsadah (kemudaratan), maka dipelihara (ditolak)
mudarat yang paling besar dengan melakukan mudarat yang lebih ringan.
Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Ibn Nujaim (Hlm. 76)

Memberikan PrEP adalah selari dengan konsep ini. Kita mahu mengelakkan mudarat yang
lebih berat dan besar. Kita perlu faham rawatan bagi golongan yang berisiko tinggi ini
memerlukan rawatan holistik jangka pendek dan panjang. PrEP adalah sebahagian daripada
rawatan, di samping pendidikan seksualiti dan juga bantuan psikologi.

Dr Aiza: Harga PrEP termurah yang boleh didapati di pasaran adalah serendah RM 30 bagi
penggunaan selama sebulan. Seseorang yang mempunyai pendedahan yang lebih kerap
adalah berisiko tinggi, maka dia disarankan untuk mengambil pill PrEP ini sehari sekali.

Sebaliknya, mereka yang kurang terdedah pula boleh menggunakan metod bila perlu (on-
demand PrEP). Oleh hal yang demikian, langkah yang dilakukan oleh kerajaan ini lebih dapat menyelamatkan duit rakyat kerana kos ubat yang disubsidikan adalah jauh lebih rendah
berbanding dengan kos merawat seseorang yang telah menghidap penyakit HIV dan juga
mendapat komplikasi daripadanya.


APA PENGALAMAN DOKTOR SEPANJANG MEMBERIKAN PrEP?

Dr. Ramdan: PrEP ini apabila dimulakan bukan untuk seumur hidup. Saya pernah berjumpa
dengan mereka yang mengambil PrEP, yang akhirnya membuat keputusan untuk berhenti
kerana mereka juga akhirnya dengan ada kesedaran yang baik berniat untuk berhenti
daripada terus terlibat dengan aktiviti berisiko tinggi. Ada pelbagai sebab di sebalik keputusan
mereka itu.

Namun, tidak dinafikan yang sedikit sebanyak faktor pegawai perubatan itu sendiri juga
memainkan peranan yang besar dalam membantu mereka. Pada saat kita cuba membantu
mereka dan membina kepercayaan mereka terhadap kita, kita juga dapat menyelamatkan
mereka daripada mudarat yang besar dengan memberikan PrEP.

Dr. Afeera: Di samping itu, semasa kita mengenalkan rawatan PrEP, pesakit juga
memerlukan rawatan berkala. Pada awal permulaan dan juga seterusnya. Semua ini adalah
ruang dan peluang untuk mendidik golongan berisiko tinggi ini.


APAKAH PENDAPAT DOKTOR BERKENAAN ABSTINEN. BUKANKAH INI YANG
SEHARUSNYA DIPROMOSI DALAM RAWATAN HIV?

Dr. Afeera: Abstinen adalah penghindaran perbuatan seks itu sendiri. Ya, kita sangat
bersetuju dengan perkara ini. Malah majoriti doktor perubatan juga sentiasa akan
menggalakkan abstinen bagi mereka yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Ia selaras dengan tuntutan budaya, agama, perubatan dan syariah itu sendiri. Namun, kajian
terbaru membuktikan bahawa kaedah abstinen sahaja (abstinence only method) gagal
menurunkan transmisi HIV. MSM dan LGBT ini perlu difahami dalam konteks yang lebih luas.
Ianya memerlukan usaha bersepadu semua pihak daripada sudut jangka masa pendek dan
panjang.

PADA PENDAPAT DOKTOR, MENGAPA ABSTINENS SAHAJA GAGAL?

Dr. Nadzirah: Sepertimana pornografi, aktiviti seksual sejenis dan juga di luar perkahwinan
adalah sejenis ketagihan dan masalah kesihatan. Satu sesi di klinik bersama pesakit tidak
akan mampu mengubah atau mendidik pesakit mengenai abstinen. Proses islah, mendidik
dan membantu mereka mengambil masa yang lama. Ia memerlukan kerjasama kolektif yang
tuntas bersama dengan semua pihak. Rawatan juga perlu melibatkan terapi psikologi
(psikoterapi dan kaunseling).

Dr Aiza: Hasil temuramah bersama dengan penghidap HIV yang juga MSM, mereka
mengakui amat sukar untuk abstinen meskipun telah mendapat didikan agama yang
sepatutnya dari badan tertentu. Segala usaha perlu berjalan seiring. Kita perlu memimpin
mereka untuk berubah namun pada masa yang sama membantu pencegahan dan rawatan
dengan PrEP.

Contoh lain untuk kita lebih mudah memahami PrEP ini adalah seperti rawatan terapi gantian
nikotin kepada perokok. Kita beri gantian dalam bentuk gam/tampalan bagi perokok tegar,
dan mereka juga dalam masa yang sama dibantu untuk berhenti merokok sepenuhnya.
Adakah itu bermaksud kita menggalakkan mereka untuk terus merokok dan hidup dengan
nikotin selama-lamanya?

Dr. Afeera: Ya, dan semasa proses membantu pemulihan yang melibatkan pelbagai pihak
ini, kita memerlukan rawatan sokongan PrEP untuk membantu menurunkan jangkitan dan
transmisi HIV.


MENGAPA MSM TERJADI?

Dr. Aiza: Ramai yang berpendapat golongan ini telah memilih jalan hidup mereka sendiri dan
perlu berhadapan dengan risiko akibat daripada pilihan mereka. Malaysia merupakan sebuah
negara yang mempunyai pengaruh agama dan budaya yang kuat amat sukar menerima
golongan ini atas sebab ia sering dikaitkan dengan dosa. Penularan HIV pula berkait rapat
dengan aktiviti MSM. Kita maklum ia bukan satu perkara yang mudah untuk masyarakat
umum berasa empati kepada kecelaruan hidup mereka. Namun di luar sana, ada ramai di
antara mereka yang diantun (groom) dan dieksploitasi secara seksual hasil daripada
pengalaman buruk pada masa lampau.

Dr. Afeera: Ya, berdasarkan pengalaman peribadi berdepan dengan pesakit-pesakit HIV, ada
di antara mereka yang pernah didera dan diliwat semasa kecil, tiada figur ayah dalam
keluarga. Ada yang dibuli di sekolah asrama. Ada yang diliwat di asrama, maahad tahfiz dan
sekolah agama. Kes ini adalah natijah daripada apa yang berlaku puluhan tahun dahulu yang
cuba didiamkan. Di samping itu, ada yang mengalami pengantunan seksual (sexual
grooming) melalui laman sosial dan permainan games. Kini dengan penggunaan chemsex
(aktiviti seksual di bawah pengaruh dadah) yang membarah, remaja adalah golongan yang
menjadi sasaran.

Puan Hajah Azlina: LGBT adalah masalah sosial sebelum menjadi masalah perubatan. Ianya
adalah masalah kecelaruan minda, emosi dan tingkahlaku dan didiagnos sebagai disforia
gender dan kecelaruan orientasi seksual (sexual orientation disorder). Kebanyakan penderita
LGBT telahpun mengalami kecelaruan ini sepanjang tempoh perkembangan mereka iaitu
sejak awal remaja malah ada yang seawal umur 4 tahun.

Faktor risiko kecelaruan ini termasuklah pendedahan seks awal secara tidak wajar samada
melalui pornografi, pencabulan, sumbang mahram, penderaan seksual dari persekitaran
mereka samada di rumah, di tempat awam dan di sekolah. Tidak sedikit kes kanak-kanak
tadika yang sudah terdedah dengan pornografi dan penderaan seksual dari ahli keluarga
sendiri mahupun rakan-rakan. Penderaan seksual ini telah mengganggu dan merosakkan
perkembangan seksual yang sihat pada individu tersebut serta merampas masa depannya
untuk mendapatkan hubungan seksual yang sihat dan selamat.

Kecelaruan psikologi dan stigma yang mereka alami serta ketiadaan rawatan psikologi
menyebabkan golongan ini menderita di dalam diam selama bertahun-tahun dan akhirnya
terjebak dalam kegiatan songsang yang berisiko tinggi. Oleh itu, gejala LGBT ini sebenarnya
merupakan masalah kesihatan mental yang sudah pun kronik sebelum ia menjadi masalah
penyakit berjangkit.

Secara tuntas, adalah wajib merawat golongan ini dari sudut perubatan untuk mengelakkan
jangkitan lanjut dan mengurangkan beban rawatan, serta sokongan dan rawatan psikologi
untuk membantu mereka mengubah kecelaruan tingkahlaku mereka dan mengamalkan gaya
hidup sihat. Kehidupan mereka adalah getir dan memerlukan sokongan bersepadu. Kita perlu
mengambil kira secara keseluruhan rawatan jangka masa pendek dan panjang untuk
membantu mereka kerana gejala ini turut meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat.
Pendidikan awal kanak-kanak perlu diberi perhatian seperti pengasingan bilik tidur,
pendidikan kesihatan seksual daripada sudut agama dan perubatan, ketagihan internet, isu
pornografi, membanteras kes-kes seksual di sekolah-sekolah dan madrasah dan lainnya.
Menuding jari menyalahkan golongan ini tidak menyelesaikan sebarang masalah kerana ia
turut berpunca daripada kebejatan akhlak keluarga dan masyarakat.


APA PERANAN DOKTOR MUSLIM DALAM ISU INI?

Dr. Afeera: Setiap pertemuan adalah relung dan peluang amal bagi pengamal perubatan
Muslim untuk memahami golongan berisiko tinggi ini dengan baik. Pemberian PrEP adalah
peluang baik untuk mendekati golongan ini. Golongan MSM adalah mereka yang amat sukar
didekati. Mendekati golongan ini adalah salah satu tuntutan fardhu ain dan PrEP adalah satu
di antara ruang dan peluang yang wajar digunakan untuk membina jambatan hubungan
dengan mereka.

Di samping itu, kita juga berperanan untuk terus mendidik masyarakat memahami bahaya
penyakit HIV dan penyakit kelamin lainnya. Usaha mendidik masyarakat ini perlu dari segenap
arah. Kita perlu bekerja dengan lebih keras dalam proses mengislah masyarakat, mendekati
dan mendidik anak remaja dari awal lagi. Setiap dari kita berperanan dalam membantu
membina masyarakat yang baik.


BAGAIMANA MENANGANI ISU INI SECARA HOLISTIK?

Dr. Nadzirah: Ya, permasalahan ini memerlukan sokongan semua pihak. Semua doktor
daripada pelbagai kepakaran wajar duduk berbincang dan menelusuri permasalahan ini
secara holistik. Pandangan doktor pakar perubatan dalam bidang penyakit berjangkit, pakar
psikiatri dan psikologi, kesihatan awam, pakar perubatan keluarga, para aktivis NGO yang
bergerak aktif mendekati golongan ini dan lain-lain perlu diambil kira.

Malah kita memerlukan pandangan para asatizah untuk membantu kita untuk
membincangkan perkara ini dari perspektif fiqh dengan lebih mendalam. Segala kepincangan
yang berlaku di sekolah-sekolah perlu mendapat perhatian pihak berkuasa juga kerana
terdapat kes penularan yang berlaku di sekolah-sekolah yang cuba didiamkan. Ibu bapa juga
perlu berperanan besar dalam mendidik anak-anak. Setiap dari kita perlu mengambil
tanggungjawab ini dengan baik.

Penulisan bersama oleh Pakar-Pakar dan Doktor Perubatan yang juga merupakan ahli-ahli
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health):

  1. Dr. Ummu Afeera Zainulabid – Pakar Perubatan Dalaman dan Pensyarah Perubatan di Universiti
    Islam Antarabangsa dan kini sedang menyambung latihan subkepakaran dalam bidang penyakit
    berjangkit
  2. Dr. Nadzirah Ahmad Basri – Pakar Psikologi Klinikal di Univesiti Islam Antarabangsa, Kuantan
  3. Dr. Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin – Pakar Perubatan Keluarga dan Pensyarah Perubatan di Fakulti
    Perubatan, Universiti Teknologi Mara, Sungai Buloh, Selangor
  4. Puan Hajah Azlina @ Roszy Mohamad Ghaffar – Pakar Psikologi Klinikal di Hospital Pakar Annur
  5. Dr. Ahmad Ramdan Zainordin – Doktor Perubatan di U.N.I Klinik, Taman Tun Dr Ismail, Kuala
    Lumpur


Khamis, 15 Disember 2022

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.