Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016 : Manfaatkan Ramadhan untuk Berhenti Merokok

Kenyataan Media Persatuan Kesihatan IKRAM (IKRAM Health)

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016

31 Mei 2016 / 24 Syabaan 1437 Hijrah

Semenjak tahun 1988, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menganjurkan Hari Tanpa Tembakau Sedunia bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan bebas daripada penyakit yang berpunca daripada produk tembakau. Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini telah ditetapkan pada 31 Mei pada setiap tahun dengan tema-tema tertentu yang berlainan.

Pada tahun ini, tema yang dipilih oleh WHO adalah “Get Ready for Plain Packaging” manakala di Malaysia pula tema sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Kebangsaan adalah “Elak Dari Terpedaya; Merokok Membahayakan Kesihatan”.

IKRAM Health sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut aktif berdakwah dan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan hal-hal kesihatan umum juga menyokong penganjuran Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini.

Malah IKRAM Health melalui kempennya “Generasi Bebas Rokok & Vape (Gen-BRV)” telah melancarkan pelbagai inisiatif semenjak akhir tahun lepas untuk membantu pihak kerajaan dan swasta yang sedia ada dalam usaha mempromosikan gaya hidup yang sihat tanpa merokok dan juga vaping.

IKRAM Health pada hari ini ingin menyeru seluruh masyarakat terutamanya dikalangan orang Muslim yang masih merokok supaya mengambil kesempatan pada bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan ini sebagai ‘Bulan Azam’ untuk berhenti merokok selama-lamanya.

Merokok bukan sahaja telah terbukti memberi banyak kesan buruk kepada kesihatan diri malah juga kepada perokok sekunder dan kanak-kanak melalui asap rokok tersebut.

Disamping itu, IKRAM Health juga ingin mengingatkan bahawa Muzakarah ke-37 Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa tabiat merokok ini adalah haram mengikut pandangan Islam.

Oleh hal yang demikian, IKRAM Health menyeru agar para perokok dapat mengambil manfaat daripada keberkatan Ramadhan ini dengan menyibukkan diri dan memperbanyakkan ibadah serta cuba menghindari suasana-suasana yang boleh mendedahkan diri kepada kegiatan merokok.

Manakala pasangan, ahli keluarga, saudara mara serta sahabat handai pula digalakkan untuk memberi sokongan dan bimbingan yang rapat kepada para perokok ini supaya mereka boleh berjaya dalam usaha yang murni ini.

Semoga kita bersama-sama dapat membantu usaha seperti ini ke arah membentuk negara Malaysia menjadi sebuah negara Rahmah yang rakyatnya bebas daripada kegiatan merokok.

“Selamat Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2016”
“Azam 1 Ramadhan: Bebas Rokok Selama-lamanya…”
Layari www.facebook.com/GenBRV

Associate Professor Dr. Oteh Bin Maskon
Yang DiPertua
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.