5 Harapan Malaysia Bebas Asap Rokok

Pada musim pra Pilihan Raya ke-14 baru-baru ini, kita tidak mendengar mana-mana parti politik atau sesiapa calon parti yang berani berkempen dalam manifesto mereka untuk menyentuh isu berkaitan rokok secara khusus.

Meskipun bilangan perokok yang menjadi pengundi mungkin sahaja kurang 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, segmen sekecil ini dalam masyarakat nampaknya masih perlu disantuni oleh parti-parti yang bertanding demi meraih undi mereka.

Mujur juga tiada calon yang berjanji untuk menurunkan harga rokok pula. Kalau ada pun, mungkin calon tersebut dah tahu akan kalah awal.

Menjelang Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang bakal disambut di seluruh dunia pada setiap tahun esok 31 Mei 2018, apakah harapan kita sebagai rakyat Malaysia kepada kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH) terhadap usaha untuk mengurangkan prevalen merokok di negara kita?

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada tahun 2015 menunjukkan bahawa prevalen merokok di kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas adalah sebanyak 22.8% bersamaan dengan lima juta rakyat Malaysia.

Bilangan ini menyusut daripada 23.1% atau seramai 4.7 juta orang melalui kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia yang dijalankan pada tahun 2011. Penurunan ini walaubagaimanapun hanya kepada peratusan sahaja kerana hakikat sebenar adalah bertambahnya bilangan mereka yang merokok.

Negara kita Malaysia, dalam Pelan Strategik Kebangsaan Bagi Kawalan Tembakau 2015-2020 telah meletakkan tiga objektif jelas yang mesti diraih bagi mencapai visi sebagai sebuah negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2045.


Pertama, mengekalkan prevalen merokok kurang daripada 5% di kalangan wanita berumur 15 tahun dan ke atas.

Kedua, menurunkan prevalen merokok kepada 15% menjelang tahun 2025.

Dan ketiga, mensasarkan penurunan sehingga kurang daripada 5% prevalen merokok menjelang tahun 2045.

Harapan kita

Jadi, apakah harapan kita kepada pimpinan negara yang kini diterajui oleh dua orang doktor perubatan, yang pastinya tidak asing lagi akan keburukan merokok dan asap rokok terhadap orang lain?

Harapan pertama : Menaikkan harga rokok daripada RM 17 kepada RM 30 sekotak

Harapan kedua : Larangan merokok di semua jenis premis makan

Harapan ketiga : Menguatkuasakan perlesenan untuk penjualan rokok

Harapan keempat : Larangan pameran rokok di kaunter jualan (Point-of-sale display ban)

Harapan kelima : Kekal dengan larangan kiddie-pack

Langkah menaikkan harga rokok ini mungkin langkah yang tidak populis, lagi-lagi ketika rakyat masih belum pulih sepenuhnya daripada isu cukai GST, bayaran tol, harga petrol, hutang, bayaran PTPTN dan lain-lain. Bahkan ia juga tidak dinyatakan dalam manifesto secara terang-terangan.

Sebaliknya, apa yang dinyatakan dalam Janji 9: Mempertingkat Akses dan Kualiti Perkhidmatan Kesihatan adalah Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit dimana sebenanrnya kawalan kepada hal-hal yang berkaitan tembakau dan merokok adalah termasuk dalam perkara ini.

Walaupun tidak popular, langkah ini adalah antara langkah yang terbukti berkesan, bukan sahaja ia boleh mengurangkan bilangan pembelian rokok oleh para perokok dalam seharian atau sebulan, bahkan ia juga boleh mengurangkan bilangan perokok di kalangan remaja di bawah umur 18 tahun. Ia menjadikan rokok sebagai produk mahal untuk dimiliki terutamanya oleh kanak-kanak.

Duit yang dibazirkan selama ini untuk pembelian rokok boleh dijimatkan jauh lebih banyak dan sebaliknya ia digunakan untuk pembiayaan sara hidup diri dan sekeluarga. Malah, duit kerajaan juga dapat diselamatkan daripada membiayai kos tinggi untuk rawatan penyakit-penyakit yang disebabkan oleh rokok.

Rokok Seludup

Kerisauan sesetengah pihak terhadap peningkatan rokok-rokok seludup di pasaran akibat kenaikan harga dan larangan jualan pek kiddie sepatutnya kini boleh ditangani jika agensi-agensi penguatkuasaan baik di peringkat kastam mahupun juga di bahagian kepenggunaan ditingkatkan keupayaan mereka serta diberi kepercayaan penuh untuk membanteras habis-habisan aktiviti haram ini.

Pelesenan atas tembakau dan hasil tembakau sebenarnya telah diluluskan dan diwartakan melalui Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara 2009 (Akta 692) sejak 1 April 2010. Malangnya, peruntukan bagi pelesenan hasil tembakau (rokok) belum dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Melalui pelesenan khas, bukan sahaja isu rokok seludup atau haram yang akan dapat diatasi, bahkan juga dapat menangani isu penjualan rokok dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja.

Kita yakin impian Malaysia Baru adalah slogan kepada usaha anti rasuah, korupsi serta penyelewengan dan ia juga adalah slogan kepada tadbir urus yang beramanah dan berintegriti. Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama dalam merealisasikan slogan dan impian ini.

Premis Makan Bebas Rokok

Langkah larangan merokok di tempat makan mungkin juga satu langkah yang tidak popular di kalangan para perokok. Bahkan pengusaha premis tempat makan khususnya akan juga membantah habis-habisan langkah seperti ini kerana kemungkinan mereka akan kehilangan pelanggan.

Tapi mereka tidak sedar bahawa jika semua restoran dan premis tempat makan sudah dikuatkuasakan larangan ini, tarikan pelanggan bukan lagi kepada boleh atau tidak merokok, tetapi kepada makanan itu sendiri atau kelebihan lain yang ada pada mereka.

Langkah seperti ini sebenarnya lebih popular kerana ia akan disokong oleh 75% rakyat yang bukan perokok, yang juga sebenarnya adalah perokok pasif sekunder dan tertier kerana tiap-tiap hari telah terdedah dengan asap rokok ketika berada di restoran, kafetaria dan kedai makan.

Perokok pasif ini tanpa bersalah mendapat risiko yang besar menghidap penyakit paru-paru dan kanser kerana pendedahan berterusan ini. Namun, sampai bila mereka terpaksa hirup asap rokok orang?

Premis tempat makan sepatutnya menjadi premis yang bukan sahaja tempat dan makanannya yang bersih dan sihat, malah udara dan persekitarannya juga. Bagaimana selama ini kita boleh membiarkan asap rokok berkepul-kepul mengelilingi ruang tempat makan kita dan menusuk hidung dan paru-paru anak-anak kita?

Kita harapkan dalam Malaysia Baru ini, masyarakat akan dapat mengubah budaya merokok mereka di premis makan apabila larangan seperti ini dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.

Hari Tanpa Tembakau Sedunia

Hari Tanpa Tembakau Sedunia ini adalah sambutan yang dijalankan seiring dengan kandungan di dalam perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sambutan ini adalah bertujuan untuk memastikan masyarakat dunia mendapat kesedaran dan melakukan tindakan dalam menangani dan meningkatkan kesedaran dalam isu tembakau. Tema yang diangkat pada tahun ini adalah: Tembakau dan Penyakit Jantung.

Kita mengharapkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Kesihatan yang baru ini YB Dr Dzulkefly Ahmad, akan terus memberi komitmen terhadap usaha-usaha dan langkah untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara bebas daripada asap rokok pada tahun 2045 atau lebih awal.

Walaupun mungkin perkara ini bukan priorti bagi kerajaan baru, tapi diharapkan ia tidak dipandang sepi apatah lagi diabaikan. Sekurang-kurangnya salah satu langkah daripada 5 harapan dinyatakan di atas dapat diumumkan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

#SmokeFreeNewMalaysia

Dr Mohd Afiq Bin Mohd Nor,
Aktivis Kempen Bebas Asap Rokok,
IKRAM Health Malaysia

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.