- Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas peruntukan yang lebih besar diberikan kepada bidang kesihatan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, selaras dengan usaha untuk mereformasikan sistem kesihatan negara.
- Peruntukan sebanyak RM36.33 bilion yang disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini adalah bersamaan dengan 2% daripada unjuran KDNK tahun 2023, meningkat berbanding tahun lalu iaitu 1.89%. Peruntukan ini juga lebih tinggi sebanyak 12.10% (RM 3.92 billion) berbanding tahun 2022.
- Meskipun ia masih jauh daripada sasaran 5% yang ingin dicapai sepertimana termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional semasa kempen PRU-15 yang lepas, langkah ini memberikan perkembangan positif dalam usaha kerajaan pimpinan YAB untuk mencapainya dalam masa lima tahun mendatang.
- Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada YB Dr Zaliha Mustafa dan pasukannya atas usaha berterusan YB dalam memastikan peruntukan yang terbaik disalurkan untuk bidang kesihatan.
- IKRAM Health mengalu-alukan langkah-langkah serta inisiatif yang dirangka melalui peruntukan ini yang nampak jelas mengutamakan kepentingan rakyat umum, terutamanya kepada golongan B40 tanpa mengabaikan kebajikan warga kerja kesihatan sendiri.
- RM 200 juta yang diperuntukan melalui Skim Perubatan Madani dan Skim Peduli Kesihatan PEKA B40 sangat membantu golongan B40 dalam menjalani pemeriksaan atau saringan dan rawatan-rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta tatkala hidup dalam suasana ekonomi yang mencabar ini.
- Manakala peruntukan khas RM 3 billion untuk pengambilan warga kerja melalui lantikan baharu dan beberapa peruntukan besar untuk menaik taraf fasiliti kesihatan memberikan kelegaan kepada seluruh kakitangan kerajaan untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada rakyat.
- IKRAM Health juga meraikan pengumuman YAB Perdana Menteri berkenaan sokongan kerajaan terhadap ikhtiar untuk menyokong Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG). Sokongan ini bertepatan dengan misi besar negara untuk melindungi golongan generasi akan datang daripada terjebak dengan kegiatan buruk merokok ini khususnya produk merokok alaf baru seperti rokok elektronik dan vape.
- Walaupun kerajaan akan mula mengenakan duti eksais ke atas produk atau cecair bagi rokok elektronik dan vape sebagai cara tidak menggalakkan penggunaanya, kami ingin sarankan yang percukaian ini mestilah hanya diimplementasikan selepas Rang Undang-Undang Akta Kawalan Produk Merokok dan Tembakau berjaya digubal oleh parlimen.
- IKRAM Health juga menyambut baik cadangan pihak kerajaan bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.
- Namun begitu, kebenaran penjualan rokok elektronik dan vape ini mestilah mempunyai fasal tamat tempoh (‘Sunset Clause’), kerana secara saintifiknya produk ini telah terbukti berbahaya kepada para penggunanya serta bukan jalan penyelesaian kepada masalah ketagihan rokok konvensional. Kebanyakan perokok dikenalpasti sebagai dwi pengguna di mana mereka merupakan pengguna rokok konvensional dan juga pengguna rokok elektronik atau vape.
- Sehubungan dengan itu, IKRAM Health Malaysia komited untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha merealisasikan reformasi negara sejajar dengan visi kami iaitu, Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah.
- Akhir sekali, kami mendoakan agar YB Menteri Kesihatan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, diberi petunjuk hidayahNya serta kekuatan dalam menjalankan tugas dan amanah yang besar ini.
DR. MOHD AFIQ MOHD NOR
Yang Dipertua
IKRAM Health Malaysia