BELANJAWAN 2026: LANGKAH BERANI PERKUKUH KOMITMEN KESIHATAN NEGARA

11 OKTOBER 2025 | 19 RABIUL AKHIR 1447


Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, atas pembentangan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat 2026 semalam.

Belanjawan ini memperlihatkan komitmen yang jelas dan keberanian moral Kerajaan Madani untuk memperkukuh sistem kesihatan negara selepas fasa pemulihan tiga tahun pasca pandemik. Peruntukan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM46.5 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memulih, memartabatkan dan memastikan kelestarian sistem kesihatan awam yang adil kepada semua.
IKRAM Health menyambut baik teras-teras utama Belanjawan 2026 yang selaras dengan Kertas Putih Kesihatan dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Antara inisiatif yang amat dihargai termasuk:

  1. Penyelesaian Holistik Isu Penjawatan Kontrak:
    Langkah menawarkan 4,500 jawatan tetap kepada doktor kontrak dan 935 jawatan tetap kepada graduan jururawat Institut Latihan KKM pada tahun 2026 adalah kemajuan besar yang wajar dipuji. Ia melengkapkan usaha penyerapan sejak 2023 dan menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI menangani isu tenaga kerja kesihatan secara menyeluruh. IKRAM Health berharap pelan ini disertai strategi jangka panjang untuk latihan kepakaran, penempatan luar bandar, dan keseimbangan sektor awam–swasta agar tenaga kerja kesihatan kekal berdaya tahan.
    Seiring itu, IKRAM Health menyarankan agar KKM turut menilai keperluan penjawatan tetap dan pengukuhan kapasiti bagi kumpulan bersekutu yang kritikal seperti Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Pegawai Farmasi, Ahli Teknologi Makmal Perubatan (MLT), Fisioterapi, Terapi Carakerja (OT) dan Inspektor Kesihatan, memandangkan perkhidmatan mereka juga adalah tulang belakang kesinambungan rawatan di fasiliti primer dan sekunder.
  1. Pengiktirafan Kebajikan Petugas: Kenaikan Elaun On-Call (ETAP)
    IKRAM Health menyokong dan menyambut baik kenaikan kadar Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sebagai bukti komitmen Kerajaan dalam menjaga kebajikan petugas kesihatan yang bertugas di barisan hadapan.
    Langkah ini bukan sahaja memberi pengiktirafan moral, malah membantu mengekalkan motivasi dalam kalangan pegawai perubatan, pakar dan pegawai pergigian.
    Kami mengesyorkan agar semakan dijalankan secara berkala dan penyeragaman pelaksanaan elaun dilaksanakan secara telus, dengan keutamaan kepada perkhidmatan kritikal dan fasiliti yang berkapasiti tinggi, supaya manfaatnya dirasai secara adil di seluruh negara.
  1. Insentif Untuk Keterjangkauan Penjagaan Kesihatan:
    Langkah memperkenal insurans asas mampu milik, meluaskan pelepasan cukai bagi insurans kesihatan, dan meneruskan program mySalam bakal meringankan beban kewangan rakyat serta menggalakkan akses kesihatan yang lebih inklusif.
    Pelaksanaan insurans asas mampu milik dan sistem Diagnosis Related Group (DRG), mestilah dijalankan secara berfasa dengan pemantauan hasil (outcomes-based) serta perlindungan data pesakit yang rapi. Mekanisme kawal selia bayaran dan kualiti perlu memastikan tiada ‘under-servicing’ atau ‘over-billing’, dan mengekalkan akses adil kepada kumpulan rentan.
  1. Langkah Berani Kawalan Produk Tembakau dan Alkohol:
    Kenaikan cukai ke atas rokok, produk tembakau dan alkohol adalah langkah berprinsip dan berpandukan bukti global dalam mengurangkan tabiat merokok, khususnya dalam kalangan remaja.
    Meskipun kenaikan harga ini sangat kecil selepas lebih sedekad dan tiada kenaikan cukai atas produk vape diumumkan, ia tetap langkah simbolik ke arah perlindungan kesihatan awam dan pencegahan penyakit tidak berjangkit.
    IKRAM Health ingin turut menegaskan bahawa hasil kutipan cukai ini pentingnya untuk disalurkan terus kepada program inisiatif kesihatan paru-paru, rawatan penyakit jantung dan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta program-program advokasi dan kesedaran kesihatan.
  1. Penambahbaikan Infrastruktur dan Peralatan:
    Peruntukan besar untuk penyelenggaraan, naik taraf hospital dan klinik, serta penggantian peralatan lapuk adalah penting bagi memastikan keselamatan, kualiti dan kelangsungan perkhidmatan kesihatan awam. Langkah ini juga akan memperkukuh kesiapsiagaan hospital menghadapi peningkatan kes penyakit kronik dan semasa berlakunya bencana.
  1. Fokus Kesihatan Pencegahan:
    Peluasan pelepasan cukai untuk vaksinasi dan galakan terhadap gaya hidup sihat menandakan peralihan dasar yang sihat — daripada sick care kepada health care. Pendekatan ini sejajar dengan prinsip kesihatan komuniti dan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).
    Sebagai sebuah pertubuhan masyarakat yang prihatin terhadap kesejahteraan kesihatan rakyat, IKRAM Health menganggap Belanjawan 2026 sebagai satu langkah besar ke hadapan. Pelaksanaan reformasi kesihatan kini tidak lagi sekadar wacana, tetapi disokong oleh peruntukan dan dasar konkrit.
    IKRAM Health menyeru agar semua inisiatif ini dilaksanakan dengan pantas, telus dan berkesan, tanpa ada karenah lapisan birokrasi serta berpaksikan keperluan sebenar rakyat di akar umbi.
    IKRAM Health beriltizam untuk terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan setiap ringgit peruntukan membawa impak nyata kepada kesihatan komuniti dan ke arah pembentukan sistem kesihatan negara yang mampan, berdaya tahan, dan berjiwa rahmah.

‘Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah’

Yang Dipertua
IKRAM Health Malaysia

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.