HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA 2023: SEGERAKAN RUU GEG. “KITA PERLUKAN MAKANAN, BUKANNYA ROKOK”

RABU 31 MEI 2023 / 11 ZULKAEDAH 1444H

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada hari ini 31 Mei 2023,
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) menggesa agar semua pihak
terus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memberikan kesedaran terhadap
penggunaan produk-produk merokok yang diketahui umum telah mengakibatkan
banyak kemudaratan kepada kehidupan manusia.
Tema sambutan pada tahun ini adalah “Kita memerlukan Makanan, bukannya
Tembakau”. Tema yang sangat tepat dalam menggambarkan situasi dunia pada hari
ini yang komited untuk menamatkan produk yang telah hampir seabad umurnya
membunuh lebih 8 juta manusia pada setiap tahun. Kita perlukan bekalan makanan
yang cukup dan sihat, bukannya produk tembakau dan merokok serta nikotin yang
memudaratkan.


Berkesempatan ini, IKRAM Health:
1) Mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang
(RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok serta pelaksanaan Generasi
Penamat Rokok (GEG) dalam Sidang Parlimen kali ini selaras dengan
sokongan yang telah diberikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim
dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas.


2) Menyelar tindakan mana-mana pihak yang ingin menangguhkan lagi
pembentangan dan kelulusan RUU ini sehingga ke sidang Parlimen yang
berikutnya. Penangguhan ini akan menyebabkan ‘lacuna’ (kelompongan
undang-undang) yang sedia ada ini akan terus berlaku sepanjang tempoh itu
lantaran tiada kawalan terhadap produk rokok elektronik atau vape selepas
nikotin untuk produk tersebut telah dikecualikan daripada Akta Racun
baru-baru ini.


3) Mengingatkan ahli-ahli Parlimen agar tidak mudah ditipu dan diperdayakan lagi
oleh industri tembakau serta vape dalam usaha kerajaan untuk
membentangkan RUU ini. Selama ini mereka telah berdekad lamanya
memunggah kekayaan atas kemudaratan kesihatan awam sehingga telah
membunuh lebih 29,000 orang setiap tahun angkara tabiat merokok tersebut.
Kesihatan rakyat mestilah diutamakan, bukannya keuntungan konglomerat
yang rakus, apatah lagi undi kecil mereka.

Justeru, sambutan hari ini akan menjadi lebih bersejarah andainya undang-undang ini
berjaya diwartakan oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini.
Demi Malaysia Madani dan generasi yang akan datang, RUU dan GEG ini sangat
penting untuk negara bagi melestarikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat secara
umumnya.


Sekian.

“Kita perlukan makanan, bukannya Tembakau”
“We need food, not Tobacco”

DR. MOHD AFIQ MOHD NOR
Yang Dipertua
IKRAM Health Malaysia

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.