Seringkali suami yang mempunyai isteri yang bekerja sebagai doktor atau staff kesihatan akan berhadapan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali sebulan dengan situasi di mana pasangan mereka ini akan ditugaskan untuk oncall atau bekerja shift malam dan mereka pula akan tinggal di rumah bersama anak-anak dan juga pembantu rumah.
Jadi, apakah hukum suami tinggal bersama-sama di dalam satu rumah dengan pembantu rumah ketika ketiadaan isteri?
Oleh itu, wakil kami pernah mendapatkan pandangan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebagai rujukan kepada semua yang memerlukannya.
SOALAN:
Assalamualaikum wrt. Dato’ Mufti
Ana ingin bertanya tentang isu pembantu rumah. Apakah panduan terbaik dalam situasi di mana pembantu rumah berada sekali di dalam sebuah rumah bersama lelaki dan anak-anak kecil sekitar 2-5 tahun ketika isteri keluar bekerja (eg oncall, shift malam)? Bolehkah lelaki tersebut tinggal bersama anak2 di tingkat atas rumahnya manakala pembantu di tingkat bawah.
Apakah panduan terbaik untuk situasi sebegini?
Mohon jawapan pencerahan Dato Mufti. Jazakallah khayr.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt.
Pertama sekali, pastikan bilik antara pembantu rumah dan tuan rumah agak jauh, tidak berdekatan supaya terjaga batasan aurat dan pergaulan. Islam amat menitikberatkan piawaian aurat sekalipun antara pembantu rumah dengan tuan rumah kerana mereka ialah ajnabi.
Selain itu, walaupun mereka sebagai pembantu rumah tetapi mesti juga kita raikan hak-hak mereka agar sifat keihsanan dizahirkan. Benarlah nasihat Nabi SAW dalam hadis Abu Dzar al-Ghifari RA:
نَعَمْ، هُمْ إِخْوَانُكُمْ، جَعَلَهُمُ اللَّهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ جَعَلَ اللَّهُ أَخَاهُ تَحْتَ يَدِهِ، فَلْيُطْعِمْهُ مِمَّا يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلاَ يُكَلِّفُهُ مِنَ العَمَلِ مَا يَغْلِبُهُ، فَإِنْ كَلَّفَهُ مَا يَغْلِبُهُ فَلْيُعِنْهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: Ya, mereka itu saudara-saudara kalian, Allah menjadikan mereka di bawah kekuasaan kalian, dan barangsiapa yang Allah jadikan saudaranya di bawah kekuasaan seseorang itu, maka berilah saudaranya makanan daripada apa yang dia makan, dan berikan saudaranya pakaian seperti apa yang dia pakai, janganlah beri dia tugasan yang dia tidak mampu laksanakan, jika seseorang itu memberikan pembantu itu tugas yang dia tidak mampu laksanakan, maka tolonglah pembantu itu.”
Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6050) dalam Sahih-nya.
Penting juga bagi suami untuk menjarakkan lagi hubungan dengan pembantu rumah wanita khususnya apabila jika isteri tidak ada di rumah. Kita tidak mahu didosakan akibat cuai menjaga batasan. Selain itu, setiap pihak perlu sentiasa menjaga solat, bersabar, dan hubungan dengan keluarga.
Wallahua`lam.
Sumber Rujukan Laman Mufti WP