Penjagaan Mata bagi Pesakit Kencing Manis

Penyakit kencing manis adalah penyakit sistemik yang boleh memberi kesan kepada pelbagai organ di dalam badan. Mata adalah salah satu organ yang boleh mengalami komplikasi akibat penyakit kencing manis.

Struktur mata terdiri dari bola mata, otot-otot ekstraokular, tisu-tisu sekitar bola mata seperti lemak dan dan tisu perantara, kelopak mata, kelenjar-kelenjar kecil dan segala saraf serta salur darah yang berkaitan mata. Kesemua struktur ini boleh mendapat kesan dari penyakit kencing manis.

Bagaimana kencing manis boleh mengganggu organ dan struktur mata?

Pertamanya, seseorang yang menghidap kencing manis tetapi tidak mengawal penyakit kencing manis dengan baik akan sentiasa terdedah kepada jangkitan kuman disebabkan imuniti yang rendah. Jangkitan kuman pada mata dan strukturnya seperti ketumbit pada kelopak mata atau abses pada kelopak mata yang akhirnya boleh merebak ke seluruh tisu di sekeliling mata, boleh melarat hingga ke otak dan seterusnya boleh membahayakan nyawa manusia. Infeksi juga boleh melarat hingga ke dalam bola mata dan menyebabkan kerosakan saraf atau lebih teruk lagi buta.

Infeksi kelopak mata

Penyakit kecing manis yang tidak dikawal dengan baik boleh menyebabkan kanta mata berselaput lebih awal dari masanya. Akibatnya pesakit kencing manis terpaksa menjalani rawatan pembedahan katarak lebih awal. Pesakit kencing manis juga lebih berisiko mendapat masalah saraf iaitu glaucoma yang boleh membawa kepada kebutaan jika tidak dikesan dan dirawat di peringkat awal.

Masalah mata yang sering berkaitan dengan penyakit kencing manis yang banyak berlaku adalah pada struktur retina mata iaitu ‘Diabetic Retinopathy’. Pemantauan awal amat penting bagi ‘Diabetic Retinopathy’ untuk mengelakkan saraf mata rosak sehingga menyebabkan buta. Di peringkat awal atau tahap minimum ‘Diabetic Retinopathy’, pemantauan yang berkala adalah penting sebelum mencapai tahap serius yang memerlukan rawatan laser atau pembedahan.

Diabetic Retinopathy

Dalam menangani komplikasi penyakit kencing manis di mata, faktor yang penting adalah bagaimana seseorang individu mengawal penyakit kencing manis itu sendiri. Maka rawatan bersama pakar mata dan pakar endokrin memainkan peranan yang utama. Pesakit dinasihatkan untuk tidak mengambil ringan temujanji bersama pakar mata dan juga pakar endokrin untuk mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan.

Oleh kerana pesakit kencing manis cenderung untuk mendapat jangkitan kuman, penjagaan kebersihan mata sangat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman berlaku. Amalan selalu menggosok-gosok mata juga perlu dikurang atau diberhentikan sama sekali. Ini kerana amalan ini boleh menyebabkan struktur kornea pada bola mata luka dan mengundang jangkitan kuman. Seperti kecederaan pada anggota lain, sekiranya pesakit kencing manis mendapat mata merah, segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang sesuai. Harus diingat tidak semua penyakit mata merah itu konjunktivitis, terdapat pelbagai lagi masalah mata yang manifestasinya adalah mata merah.

Hasil tulisan,

Dr Norlaili Mustafa

MD(UKM), MMed(Ophthal)(USM)

Consultant Ophthalmologist

Hospital Pakar AnNur Bangi

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.