“Gusi saya kerap berdarah semasa memberus gigi, mulut pun jadi berbau….”
“…gusi saya selalu bengkak dan bernanah, gigi pula longgar dan semakin jarang; rupa-rupanya saya ada diabetes yang tidak dikesan….”
Ini antara senario gejala yang mungkin berlaku kepada sembilan dari sepuluh orang dewasa di Malaysia. Kebanyakannya mengalami pelbagai tahap penyakit periodontium, malangnya sebahagian besar tidak menyedarinya kerana keadaan ini TIDAK MENYAKITKAN.
Apakah penyakit periodontium?
Ia adalah penyakit kronik pada tisu penyokong gigi, disebabkan oleh jangkitan kuman dalam selaput plak dipermukaan gigi dan pinggir gusi.
Pendarahan gusi adalah tanda paling awal keradangan gusi (Gingivitis), samada ketika memberus gigi atau makan. Gingivitis masih boleh disembuhkan dengan rawatan segera dan penjagaan kebersihan mulut yang baik.
Jika diabaikan, kemungkinan kerosakan lebih parah berlaku kepada gusi, tulang penyokong gigi dan serat periodontal, mengakibatkan terjadinya poket periodontium dan kemusnahan tulang sekitar gigi (Periodontitis). Gigi akhirnya menjadi longgar dan terpaksa dicabut.
Penyebab utama penyakit Periodontium/gusi adalah kuman dalam selaput plak, serta tindak balas ketahanan badan individu. Faktor lain menyumbang terjadinya penyakit ini adalah:
- Diabetes: risiko mengalami penyakit periodontitis yang teruk jika diabetes tidak terkawal. Gusi kerap bernanah dan gigi menjadi longgar.
- Merokok/penggunaan tembakau: faktor risiko paling signifikan penyebab periodontitis, disamping merencatkan keberhasilan rawatan.
- Perubahan hormon/wanita hamil: membuat gusi lebih sensitif dan gingivitis lebih mudah berlaku.
- Ubat-ubatan: seperti Amlodipine (Hipertensi), Phenytoin (Sawan) atau Cyclosporin (penindas imun): Kesan sampingannya menyebabkan gusi membengkak (gingival hyperplasia), jika kawalan plak kurang berkesan.
PENCEGAHAN LEBIH BAIK DARI RAWATAN.
Amalkan 3-D
- DIRT:
Pastikan kebersihan mulut yang optimum dengan cara memberus gigi dengan berkesan. Kawalan plak yang baik akan mengurangkan pendarahan gusi dan kejadian karies gigi. Jangan MEROKOK kerana ia mengganggu penjagaan kebersihan mulut.
- DIET :
Makan makanan seimbang, halalan toiyyiba, yang menyihatkan tubuh dan meningkatkan ketahanan terhadap jangkitan. Kawal makanan bergula untuk mengelak karies gigi dan diabetes.
- DENTIST/DOCTOR:
Hadirlah ke Klinik Gigi untuk pemeriksaan pergigian berkala dan rawatan segera. Periksa kesihatan sekiranya terdapat gejala penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan lain-lain. Pastikan mendapat rawatan yang teliti jika dikenalpasti menghidap sebarang penyakit.
RAWATAN PENYAKIT PERIODONTIUM (GUSI)
- Penjagaan kebersihan mulut dan kawalan plak di rumah:
- memberus gigi dengan cara yang berkesan, sekurang-kurangnya dua kali sehari.
- Membersih celahan gigi dengan alat bantuan seperti flos gigi, atau berus interdental.
Dari Sunnah Rasulullah:
Maksudnya: “Diriwayatkan Abu Hurairah r.a. dia berkata:
Rasulullah saw bersabda: Jika aku tidak menjadikan berat bagi umatku atau manusia sekelian, nescaya aku perintahkan bersiwak (menggosok gigi) setiap hendak solat”. (HR Bukhari)
- Membersih karang gigi (kalkulus) dan membasmi semua penyebab yang membolehkan plak berkumpul. Rawatan penskaleran (scaling and root debridement) dilakukan oleh doktor gigi.
- Jika poket periodontium masih tidak sembuh, rawatan pembedahan gusi disyorkan untuk mengurangkan kesan penyakit dan kesihatan periodontium dapat dikembalikan.
Penyakit Periodontium adalah penyakit kronik yang memerlukan kawalan rapi. Tanpa pemantauan susulan yang berkala, ia boleh mencapai tahap lebih parah, hatta kehilangan gigi.
(Nantikan sambungan artikel ini dalam Bahagian II)
Tulisan oleh,
Pakar Perunding Kanan Periodontik