Segera Kuatkuasakan Akta 852, Elak Tragedi Gangguan Industri Berulang

15 September 2024

Kami, Persatuan-persatuan Profesional Perubatan dan Kesihatan di Malaysia mengambil maklum bahawa akhirnya Peraturan-peraturan yang merujuk kepada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah pun siap untuk dilaksanakan setelah diluluskan oleh Kabinet Malaysia pada April lepas, dan akan mula dikuatkuasakan sepenuhnya pada Oktober nanti.

Kami, di sini mendesak agar pihak kerajaan tidak mendengar apa-apa lagi bantahan daripada pihak tertentu untuk menangguhkan lagi perlaksanaan peraturan tersebut. Peraturan itu sudah pun diubah-suai beberapa kali sebelum ini demi memenuhi beberapa tuntutan syarikat industri rokok, vape dan pengeluar produk merokok.

Bahkan sejak penguatkuasaan akta ini ditangguhkan, pelbagai tragedi yang melibatkan cara promosi, penjualan dan penajaan produk merokok terutamanya yang melibatkan industri vape terus berlaku secara terbuka dan besar-besaran di seluruh negara termasuklah di pentas utama, pintu gerbang, papan iklan, gegantung rentang dan pakaian.

Jika akta ini ditangguhkan lagi, kita akan mengulangi sejarah malang negara akibat terpaksa mendengar saranan daripada industri berbanding dengan tuntutan majoriti rakyat dan kumpulan profesional perubatan yang menentang tabiat penggunaan vape dan rokok di negara kita.

Kami juga ingin menzahirkan rasa kekecewaan terhadap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hanya mendengar saranan pihak industri dan sehingga saat ini, tiada libat urus atau taklimat kepada pihak NGO diberikan berkaitan peraturan-peraturan di bawah Akta 852 ini sebelum akhirnya dilaksanakan dalam waktu yang terdekat.

Kami juga mengutuk sekeras-kerasnya usaha terbaru daripada pihak tertentu yang ingin sekali lagi mengganggu-gugat pelaksanaan peraturan-peraturan di bawah Akta 852 tersebut termasuk penentangan terhadap peraturan berkaitan Larangan Pameran Produk Merokok di Kaunter Penjualan (Point-of-Sale Display Ban) yang tujuannya untuk mengurangkan pendedahan serta penggunaan rokok dan vape dalam kalangan remaja dan Orang Belum Dewasa (OBD).

Semakin lama akta ini tertangguh, semakin ramai kanak-kanak dan remaja akan terdedah kepada produk merokok ini terutamanya vape melalui cara pemasaran dan promosi yang dilakukan secara tidak bertanggungjawab oleh pihak industri. Industri sedang mengambil kesempatan atas kelompongan ini untuk merekrut golongan muda ke arah gaya hidup yang tidak sihat dan ketagihan.

Berikut adalah beberapa hujah sokongan kami:

Peraturan berkaitan Point of Sale Display Ban.

Peraturan ini bertujuan untuk mengurangkan pendedahan dan pembelian impulsif terhadap produk merokok. Kajian menunjukkan bahawa pendedahan kepada produk merokok yang dipamerkan secara terbuka boleh meningkatkan keinginan untuk mencuba dan membeli produk tersebut, terutamanya dalam kalangan remaja.

    Peraturan berkaitan larangan penjualan melalui mesin vending dan atas talian:

      Peraturan ini bertujuan untuk mengurangkan akses mudah kepada produk tembakau dan vape oleh OBD tanpa pengawasan. Berbanding penjualan produk merokok yang dijalankan di premis, ia memerlukan interaksi dengan penjual seterusnya membolehkan kawalan umur yang lebih ketat serta mengurangkan risiko pembelian oleh individu di bawah umur.

      Peraturan pembungkusan produk merokok yang mengandungi amaran kesihatan bergambar dan maklumat kesihatan:

        Peraturan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya tabiat merokok termasuklah penggunaan vape yang boleh merosakkan paru-paru dan ketagihan nikotin. Begitu juga pembungkusan dan paparan produk yang menarik boleh meningkatkan daya tarikan produk merokok kepada pengguna OBD.

        Oleh hal yang demikian, demi mengelakkan tragedi gangguan industri tembakau dan vape dalam kawalan produk merokok berulang, kami mendesak kerajaan agar tidak lagi menangguhkan penguatkuasaan peraturan bagi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mulai Oktober ini.

        Senarai Persatuan-persatuan Professional Perubatan dan Kesihatan yang menyokong:

        1. Medical Mythbusters Malaysia (M3)
        2. IKRAM Health Malaysia (IH)
        3. Malaysian Green Lung Association
        4. Peratuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)
        5. Pertubuhan Ibu Bapa Mencegah Rokok dan Vape (PAVAC)
        6. Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA)
        7. Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH)
        8. Akademi Farmasi Malaysia (MAP)
        9. Family Medicine Specialists Association of Malaysia (FMSA)
        10. Persatuan Farmasi Malaysia (MPS)
        11. Malaysian Women’s Action for Tobacco Control and Health (MyWATCH)
        12. Persatuan Pasca Siswazah Fakulti Perubatan Universiti Malaya
        13. Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (Medical Tweet Malaysia)
        14. Malaysian Association of Dental Public Health Specialists (MADPHS)
        15. ⁠Persatuan Perubatan Keluarga USM, Malaysia (FAMOUS)

        Kongsikan

        Bincang dan komen

        Leave a Reply

        Your email address will not be published. Required fields are marked *

        This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.