Serve and Return: Asas Pengembangan Potensi Anak

“Ummi, ummi! Tengok tu!”, jerit anakku sambil menuding jarinya ke langit. Sebuah pesawat sedang membelah awan, membentuk corak yang menarik minatnya.

“Haahlah Muadh, tu kapal terbang! Dia ‘potong’ awanlah!”

Dia tersenyum simpul, dan menyambung lagi cerita baru tentang kapal terbang…..

Kita selalu mengandaikan, untuk mengembangkan potensi anak kecil kita, kita seharusnya membeli mainan mahal dan teknik yang canggih sebagai stimulasi intelek.

Sebenarnya, kajian dari saintis di Harvard Center on Developing Child telah menjumpai kaedah yang bukan sahaja mudah untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian, malah ia membantu perkembangan mental, emosi dan fizikal anak-anak kita. Kajian mereka telah menunjukkan perbezaan pada ‘brain architecture’ anak-anak apabila ibu bapa mengamalkan interaksi ‘serve and return’ bersama anak-anak sejak mereka bayi lagi.

Apakah itu ‘serve and return?’

Ingatkah kita kepada permainan badminton atau ping pong? Dalam sukan tersebut, pemain pertama akan melakukan ‘serve’ yang akan dibalas atau di’return’ oleh lawannya. Bulu tangkis pun akan berpindah dari gelanggang pemain A ke pemain B dan akan terus pergi dan mari dari gelanggang kedua-dua pemain sehinggalah servis itu mati.

Interaksi dua hala ini, diberi nama ‘serve and return.’

Mengapakah ‘serve and return’ ini penting?

  1. Asas kepada hubungan kekeluargaan yang akrab antara ibubapa dan anak
  2. Memupuk keyakinan diri anak dan membina motivasi dalaman
  3. Mencetus pembentukan ‘neural connection’ baru di dalam otak anak

Jadi, bagaimanakah kita ibu bapa dapat mengaplikasikan konsep ini dalam kehidupan seharian kita?

  1. Perhatikan fokus tumpuan anak dan ‘serve’ mereka

Ambil masa beberapa ketika dalam sehari, untuk perhatikan apa yang anak sedang buat atau lihat. Contohnya, apabila mereka memanggil kita untuk menunjukkan sesuatu yang menarik perhatian mereka.

  1. Beri respon yang positif dan menggalakkan.

“Haahlah, ibu pun nampak!” atau “Oooo tu belalang ye?” merupakan respon balas yang memberi isyarat bahawa kita memberi perhatian, kita juga turut berminat dengan fokus tumpuan mereka, dan kita memberi peluang untuk mereka terus meneroka……….

  1. Berikan nama kepada fokus itu.

“Oooo sayang tunjuk pada kaki lah itu!” apabila anak kecil kita pegang kaki sambil melihat reaksi kita.

“Itu kan rumput, rumput warna hijau, cantik……………….” apabila anak berlari-lari atas rumput dan kagum dengan kelembutannya.

  1. Ambil giliran, dan tunggu

Setelah kita memberi respon, beri mereka peluang untuk membalas pula. Memberi masa untuk mereka respon, adalah penting untuk tidak mematahkan semangat ingin tahu mereka dan memupuk keyakinan diri. Pada masa yang sama, memberi dan mengambil giliran mendidik mereka mengawal diri, kemahiran yang penting apabila mereka dewasa kelak.

  1. Berlatih memulakan dan mengakhirkan

Ibubapa harus peka dengan isyarat anak-anak dalam penerokaan mereka. Perhatikan bagaimana mereka mengakhiri permainan dengan satu barang, dan bagaimana mereka mengalih perhatian kepada benda baru.

Menyedari dan memahami permulaan dan pengakhiran ini, akan menggalakkan interaksi berterusan antara kita dan anak-anak, dan memanjangkan proses ‘serve and return’ tersebut.

Perkara yang paling mustahak untuk kita ibu bapa, adalah memberi perhatian kepada anak-anak kita. Ada beberapa perkara saja dalam hidup ini yang tidak boleh dibeli- kasih sayang dan masa adalah antaranya!

Rujukan: https://developingchild.harvard.edu/resources/5-steps-for-brain-building-serve-and-return/

 

Dr. Aliyyah Mohammad Khuzaini,
MBChB (Bristol), MRCPCH

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.