Usaha Kolektif Melawan Pengantunan Seksual

Seminggu lepas, seorang pemandu bas didakwa atas dakwaan melakukan kesalahan amang seksual fizikal dan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak. Dalam beberapa hari ini pula, negara digemparkan berkenaan modus operandi ‘Global Ikhwan Service and Bussiness Holding’ (GISBH) yang menggemparkan. Ada di kalangan mangsa yang terdiri dari kanak-kanak diajar dan dididik cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. Mereka juga digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan dengan menggunakan sentimen agama. Malah pemangsa menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa di atas kesilapan yang dilakukan. Bukan itu sahaja, pemangsa juga menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan perubatan Islam.

Kanak-kanak dan remaja yang terlibat hatta SATU kes sewajarnya perlu menyedarkan setiap dari kita yang terleka bahawa ini bukanlah perkara kecil. Mereka adalah kelompok masyarakat yang sewajarnya dilindungi oleh setiap dari kita. Tidak kita sangka peristiwa sedahsyat itu berlaku di Malaysia.

Dan minggu ini juga kita dikejutkan dengan aksi seorang ibu yang melakonkan beberapa video dengan anak terunanya yang digambarkan sebagai suami. Dan lebih menggusarkan apabila semua ini menjadi sesuatu yang diterima oleh masyarakat. Kekeliruan untuk tidak mampu membezakan sesuatu yang jelas salah ini benar-benar menggusarkan.

Pelajaran dari filem Bhakshak

Ada banyak pengajaran yang boleh kita pelajari dari filem hindi bertajuk Bhakshak yang diolah dari kisah benar di India. Bhakshak yang bermaksud pemangsa sangat mengganggu emosi penonton berkisar berkenaan penderaan seksual kanak-kanak perempuan yatim piatu. Ia bermula dengan cara yang sangat mengerikan menggambarkan cara yang benar-benar tidak wajar bagaimana gadis di pusat perlindungan kerajaan tertentu, di tempat yang dipanggil Munnawwarpur di India dilayan. Mereka digunakan untuk pelayanan seks seperti produk pakai buang. Mangsa terdiri dari kanak-kanak dan gadis yang sangat muda. Menonton kisah tersebut mengingatkan kita pada wartawan wanita Vaishali Singh yang membongkar kekejaman yang berlaku. Perjuangannya merisikokan diri dan keluarganya namun diam bukan pilihan. Dan kita juga meraikan pembongkaran modus operandi GISBH di Malaysia yang dilakukan oleh hero-hero tidak bernama dan sungguh mereka memiliki keberanian yang tinggi. Moga Tuhan merahmati mereka yang bersuara membongkar kezaliman yang berlaku pada golongan yang sewajarnya dilindungi.

Dalam filem Bhakshak tersebut juga Vaishali cuba meyakinkan Sudha untuk bersuara menentang pendera dan pemangsa yang zalim ini. Sudha ialah seorang wanita muda yang diupah sebagai tukang masak di rumah anak yatim Munnawwarpur dan menyaksikan banyak penderaan yang berlaku. Sudha pada mulanya enggan bersuara dan sangat takut untuk terlibat. Vaishali meyedarkan dengan panggilan hati nurani, bertanya kepada Sudha jika dia boleh tidur pada waktu malam mengetahui apa yang berlaku pada gadis-gadis kecil yang sedang menderita dan akan terus menderita. Ketika Vaishali dan jurukameranya Bhaskar Sinha berpaling untuk pergi, Sudha mengejar mereka dan bersetuju untuk bersuara. Dia akhirnya keluar ke media dengan sebahagian mukanya ditutup untuk melindungi identiti diri dan tindakannya itu telah mendorong siasatan polis dan akhirnya berlaku penahanan pemangsa dan mangsa-mangsa berjaya diselamatkan.

Dari filem tersebut juga, kita belajar untuk tidak membiarkan media sosial menghilangkan kepekaan kita. Dalam babak penutup, Vaishali bersiaran dan memberitahu penonton bahawa kes Munnawwarpur hanyalah satu kes dan akan ada kes lain tegasnya. Media sosial boleh menjadikan kita pemerhati pasif yang hanya menggunakan emoji untuk merespons. Vaishali menggesa dengan nada sinis untuk melihat sama ada kita mampu untuk benar-benar menghadapi kekejaman di sekeliling kita dan bertindak untuk menamatkannya. Pelajaran keadilan sosial di sini adalah untuk mengingatkan kita agar tidak hilang kepekaan daripada tujuan kehidupan kita, dan untuk mencari keseimbangan yang tepat untuk menghadapi realiti, kekal hadir menjadi ahli masyarakat yang berperanan. Filem ini adalah mengenai kegigihan insan seperti yang ditunjukkan oleh watak Vaishali dan lainnya, dan insan-insan sepertinya boleh membuat perubahan yang penting dalam masyarakat. Ia ditunjukkan dengan keputusan Vaishali untuk meneruskan penyiasatannya, walaupun berlaku rasuah politik dan kepincangan penguatkuasaan undang-undang, yang akhirnya membawa kepada kebebasan gadis-gadis yang menjadi mangsa dan penangkapan pemangsa (Bhakshak).

Memperkasa masyarakat dalam menangani pengantunan seksual: peranan ibu bapa, komuniti, pendidik, agama, dan agensi kerajaan

Berita mutakhir ini mengingatkan setiap dari kita bahawa pengantunan seksual kini menjadi isu global yang semakin serius, merentasi sempadan geografi dan budaya, termasuk di Malaysia. Jenayah ini melibatkan penderaan seksual dan eksploitasi emosi, yang meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan. Pengantunan seksual menuntut pendekatan yang menyeluruh, melibatkan setiap anggota masyarakat dari ibu bapa, komuniti, pendidik, pemimpin agama, hingga agensi kerajaan. Penglibatan kolektif dalam mencegah, mendidik, dan menyokong mangsa adalah keutamaan demi masa depan yang lebih selamat dan beretika.

Pendidikan seksual komprehensif dan kesedaran sentuhan selamat

Pendidikan seksual komprehensif adalah kunci utama dalam memerangi pengantunan seksual. Kanak-kanak perlu diperkenalkan dengan konsep ‘sentuhan selamat’ sejak awal usia, bagi membina kesedaran tentang hak tubuh mereka dan membezakan sentuhan yang sesuai serta tidak sesuai. Pendidikan ini tidak hanya berlaku di sekolah tetapi harus bermula di rumah, di mana ibu bapa memainkan peranan penting sebagai pendidik pertama anak-anak.

Dalam konteks akademik, program pendidikan seksual perlu menggabungkan aspek kesedaran diri, etika hubungan, batas agama dan pemahaman undang-undang berkenaan gangguan seksual. Melalui kurikulum yang progresif dan praktikal, generasi muda akan lebih berdaya untuk mengenali ancaman, serta berani melaporkan sebarang bentuk gangguan atau penderaan seksual.

Ibu bapa sebagai pelindung utama

Ibu bapa adalah benteng pertama dalam memastikan keselamatan anak-anak. Peranan mereka bukan hanya sekadar menyediakan keperluan fizikal tetapi juga memberi perhatian terhadap kesejahteraan emosi dan psikologi anak-anak. Dalam menangani pengantunan seksual, ibu bapa perlu menggalakkan komunikasi terbuka di rumah serta peka terhadap sebarang perubahan tingkah laku anak yang mencurigakan.

Sebagai pelindung utama, ibu bapa harus peka terhadap ancaman moden seperti pengantunan digital, yang semakin berleluasa melalui platform media sosial. Memberi pendidikan mengenai keselamatan siber adalah langkah penting dalam mengurangkan risiko eksploitasi secara dalam talian.

Masyarakat sebagai komuniti bertanggungjawab

Kesedaran kolektif adalah komponen penting dalam membanteras pengantunan seksual. Masyarakat harus menyedari tanggungjawab mereka sebagai pemerhati dan pelapor dalam menjaga keselamatan kanak-kanak. Setiap anggota komuniti, dari jiran hingga pemimpin tempatan, perlu berperanan aktif dalam memantau dan melaporkan sebarang bentuk gangguan atau penderaan.

Di sinilah pentingnya penubuhan rangkaian sokongan komuniti, termasuk kerjasama dengan pusat perlindungan, institusi kebajikan, dan NGO yang memperjuangkan hak kanak-kanak. Masyarakat yang peka akan memupuk budaya yang proaktif dalam menangani pengantunan seksual, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi akan datang.

Guru sebagai barisan hadapan pendidikan

Guru berperanan sebagai pembimbing utama dalam proses pembelajaran formal, dan mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran khusus untuk mengenal pasti tanda-tanda awal pengantunan seksual dalam kalangan pelajar. Latihan dan kesedaran tentang isu ini perlu diperhebatkan dalam kalangan pendidik, terutamanya dalam membantu pelajar yang mungkin terdedah kepada gangguan seksual.

Selain itu, sekolah perlu mewujudkan prosedur yang jelas untuk menangani kes-kes berkaitan pengantunan seksual dan menyediakan pelan sokongan emosi kepada mangsa. Penglibatan kaunselor sekolah juga harus diperluas untuk menyokong pelajar dalam mengatasi trauma dan menjalani pemulihan.

Pemimpin agama sebagai suara moral

Pemimpin agama, termasuk mufti dan ustaz, perlu memainkan peranan utama dalam menentang penyalahgunaan agama untuk tujuan eksploitasi seksual. Dalam masyarakat yang berpegang kepada ajaran agama, khutbah, ceramah, dan fatwa perlu secara konsisten menyentuh isu pengantunan seksual sebagai satu jenayah yang bertentangan dengan nilai-nilai agama.

Kewibawaan agama harus digunakan untuk menyebarkan kesedaran bahawa penderaan dan eksploitasi seksual adalah haram dan mencabuli maruah kemanusiaan. Pemimpin agama harus memperkasa umat untuk melindungi golongan lemah, serta menghapuskan segala bentuk salah guna agama untuk tujuan jenayah.

Kerjasama agensi kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang

Agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu memperkukuh kerjasama untuk menangani pengantunan seksual melalui penggubalan dasar dan pelaksanaan program berterusan. Undang-undang sedia ada perlu dikaji semula dan diperketatkan agar pelaku pengantunan seksual dikenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Kerajaan juga perlu menambah baik infrastruktur sokongan untuk mangsa, termasuk pusat perlindungan, perkhidmatan kaunseling, dan bantuan perubatan. Sokongan jangka panjang harus diberikan kepada mangsa bagi membantu mereka pulih secara holistik, termasuk aspek emosi dan sosial.

Kesimpulan

Pengantunan seksual adalah masalah sistemik yang memerlukan tindakan kolektif dan kerjasama daripada setiap anggota masyarakat. Ibu bapa, guru, pemimpin agama, masyarakat, dan agensi kerajaan harus berganding bahu dalam usaha membanteras pengantunan seksual. Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh dan kolaboratif, kita dapat melindungi kanak-kanak daripada ancaman ini dan membina masyarakat yang lebih selamat, bermoral, dan bertanggungjawab.

Dr. Ummu Afeera Zainulabid (Pakar Perubatan & Felo Penyakit Berjangkit, aktivis Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia)
Dr. Bisha Fathamah Uzir (Pensyarah, aktivis Malaysian Against Pornography)

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.