MERS-CoV : Peringatan Penting Dalam Meraikan Kepulangan Saudara Mara Dari Tanah Suci

Batuk dan demam nenek Salmah semakin menjadi-jadi. Sakit dada dibuatnya setiap kali batuk.

Nenek Salmah baru seminggu pulang mengerjakan umrah bersama keluarga. Bersama suami dan anak-anak. Pengalaman yang mengujakan di mana inilah kali pertama Nenek Salmah menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah. Tercapai cita-citanya. Jarang sekali Nenek Salmah sakit.

Kalau ada demam, sakit-sakit tekak, biasanya setelah ditelan Paracetamol 2 biji kebahlah. Namun kali ini berbeza. Sudah dua klinik swasta dilawati.Ubat demam, batuk dan antibiotik silih berganti. Tidak menampakkan petanda sakitnya akan kebah.

“ Allah..Allah..Susah nak nafas!” Sayu rintihan Nenek Salmah.Payah benar dia untuk bernafas. Setiap hirupan oksigen itu sangat sukar buatnya.

“ Mak..Mak..Bangun mak!” Raungan anak Nenek Salmah mengejutkan seisi keluarga. Nenek Salmah sudah terjelepuk di birai katil. Tidak sedarkan diri.

Segera Nenek Salmah dikejarkan ke hospital berdekatan. Ternyata Tuhan amat menyanyangi dia. Sesungguhnya kita milik Tuhan, dan kepadaNyalah kita akan kembali.

Kata doktor, nenek Salmah meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru dan positif Middle East Respiratory Syndrome Coronarvirus (MERS-CoV).

Begitulah cerita Nenek Salmah. Cerita rekaan, tiada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Apa itu Middle East Respiratory Syndrome Coronarvirus (MERS-CoV)?

MERS-CoV merupakan jangkitan pernafasan yang berlaku secara akut dan serius. Ada orang awam yang memanggilnya penyakit unta. Antara gejalanya adalah demam, batuk dan kesukaran untuk bernafas. Kebanyakan kes mendapat radang paru-paru dan terdapat segelintir yang mengalami gejala gastrointestinal seperti cirit birit.

Punca jangkitan utama adalah daripada unta dan hasil unta seperti produk tenusu, daging dan air kencing. Jangkitan manusia kepada manusia juga boleh berlaku jika seseorang merupakan kontak dekat dengan pesakit MERS-CoV dan petugas perubatan yang secara langsung berdepan dengan pesakit MERS-CoV.

MERS-CoV pertama kali dikesan pada tahun 2012 di Arab Saudi. Sehingga kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat sebanyak 2067 kes yang positif di seluruh dunia, dengan kematian sebanyak 720 kes. Ini menunjukkan 1 daripada 3 kes akan meninggal dunia apabila didapati positif MERS-CoV. Satu kadar yang cukup tinggi.

Di seluruh dunia, ada 27 buah negara yang telah mengesan kehadiran penyakit MERS-CoV di tempat masing-masing. Termasuklah negara kita yang tercinta, Malaysia. Sehingga 2017, Malaysia melaporkan satu-satunya kes positif MERS-CoV pada tahun 2014. Kes tersebut dikesan setelah sekitar 3 hari pulang dari umrah dan didapati ada sejarah meminum susu unta yang tidak dipasteur.

Justeru, orang ramai dinasihatkan mengenai perkara-perkara berikut:


– Selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitiser), terutamanya selepas batuk, bersin atau selepas bersalaman;

– Semasa dalam tempoh lawatan, sentiasa membawa bersama penutup mulut dan hidung (mask) serta bahan pencuci tangan (hand sanitiser) untuk digunakan apabila perlu;

– Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan dari mengunjungi kediaman atau institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kejadian jangkitan wabak MERS-CoV di negara tersebut;

– Khusus bagi para pelawat ke negara di Semenanjung Arab, semasa dalam tempoh lawatan:

• Elakkan dari melawat ke ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta.

• Elakkan dari minum susu unta mentah atau air kencing unta.

• Elakkan dari makan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna, terutama sekali daging unta.

– Mereka yang pulang dari lawatan ke negara-negara yang terlibat khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba di Malaysia, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera serta memaklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada doktor yang merawat sekiranya mengalami gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti batuk dan kesukaran bernafas).

– Sebaik mengalami gejala tersebut, hadkan pergaulan dengan individu sihat di sekeliling dan pakai penutup mulut dan hidung (face mask) apabila terpaksa berhubung / berurusan dengan orang lain.

“Ah mengarut sahaja cerita sebegini!”

“ Berlambak orang pergi umrah balik umrah, semua sihat sahaja!”

“Kita pergi sana buat ibadah, Tuhan akan menjaga kita!”

Mungkin ada pandangan sinis atau tidak percaya dengan kewujudan MERS-CoV. Penyakit yang tiada pada waktu dahulu, dengan mudah dapat dikesan dengan teknologi semasa. Dahulu mungkin sudah wujud, namun tidak mampu dikesan. Seribu satu kemungkinan boleh berlaku.

Kejadian di Korea Selatan wajar dijadikan iktibar buat kita di Malaysia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan bahawa Korea Selatan tidak bersedia untuk menghadapi kedatangan MERS-CoV. Penularan penyakit yang sangat cepat , aktiviti kawalan yang longgar, tiada kesiapsiagaan fasiliti kesihatan semuanya menjurus kepada wabak MERS-CoV di Korea Selatan pada tahun 2015.

Pada tahun ini, sumber Tabung Haji menyatakan jemaah haji Malaysia mencecah angka 42,000 orang. Dengan jumlah seramai itu, langkah-langkah pencegahan seperti dinyatakan di atas hendaklah dititik beratkan oleh semua pihak. Rombongan pertama pulang haji dijangka mendarat di KLIA pada 8 September 2017.

“ Siapkan payung sebelum hujan, siapkan perahu sebelum bah!” Bentak Megat Alang Sengketa.

“ Payung sudah kusiapkan, perahu juga sudah kusiapkan. Hanya menunggu hujan di langit!”

Kata-kata Tun Nila Utama di dalam filem Musang Berjanggut ini wajar dijadikan landasan fikir kita. Kuncinya, sentiasa siapsiaga.

Dr Ahmad Zulfahmi Bin Mohd Kamaruzaman

Medical Mythbusters Malaysia (M3)

Ikram Health

Rujukan :

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 15 Jun 2015

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 2 Julai 2015

Laboratory-confirmed case of Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV) infection in Malaysia: preparedness and response, April 2014

WHO MERS-CoV Fact Sheet

WHO- Update on Middle East respiratory syndrome coronavirus (MERS-CoV)