Hospital Medan Rohingya – Beza Pemikiran Pemerintah & Rakyat

Field hospital, hospital medan

Apabila TPM mengumumkan Kerajaan Malaysia akan membelanjakan RM3.5 juta untuk membuka hospital medan di Bangladesh buat pelarian Rohingya, tidak sedikit dari kalangan rakyat yang mengkritik hal ini. Termasuk yang sinis juga adalah golongan professional perubatan.

Kata mereka, lebih baik RM 3.5 juta itu disalur untuk menambahbaik infrastruktur kesihatan di pedalaman Malaysia, menanggung lantikan HO, subsidi ubat dan 1001 lagi alasan atau cadangan bernas.

Tiada halangan untuk mereka menyuarakan pendapat setuju atau tidak, itu hak mereka. Namun disinilah terdapatnya perbezaan antara cara fikir dan tindakan rakyat dan pemerintah.

Seorang rakyat kebanyakannya fokus memikirkan kemandirian hidup sehariannya contohnya aspek pendapatan, harga makan minum dan kemampuan perubatan. Bagi pemerintah pula mereka harus memikirkan perihal rakyat tersebut disamping tindakan mereka sebagai kerajaan dari sudut kesan jangka pendek dan panjang kepada politik & ekonomi negara, soal dasar hubungan luar, isu diplomasi dan pelbagai lagi polisi yang lebih bersifat makro.

Dalam kes Rohingya ini, sudah hampir sejuta pelarian menyeberangi sempadan Myanmar untuk berlindung di wilayah Cox’s Bazaar. Ini adalah krisis pelarian terbesar di rantau Asia Tenggara dan di dunia buat masa ini. Walaupun krisis ini setakat ini melibatkan Myanmar-Bangladesh, namun di masa depan pastinya seluruh negara rantau ini akan terjejas.

Sebahagian dari hampir sejuta pelarian yang terdesak ini kelak akan mengintai peluang ke Malaysia & Indonesia kerana faktor kesamaan agama & kestabilan politik berbanding Bangladesh atau Thailand yang berdekatan. Bayangkan implikasi dari segi kewangan dan sosial apabila migrasi ini berlaku?

Kita akan melihat pelarian Rohingya mendarat di Langkawi atau merentasi Wang Kelian. Kita terpaksa tempatkan mereka dan memberi pelbagai bantuan asas, makanan & perubatan. Boleh fikir sendiri berapa banyak duit cukai kita yang terpaksa dibelanjakan jika hal sebegitu berlaku. RM 3.5 juta tidak cukup untuk menampung mereka, mungkin kita perlu peruntukkan RM 350 juta.

Maka inisiatif yang dilakukan pemerintah & NGO Malaysia untuk membantu pelarian Rohingya di Cox’s Bazaar adalah suatu yang proaktif dan terpuji. Ia demi membendung implikasi yang lebih besar di masa depan kepada negara.

Pemerintah dan rakyat Malaysia perlu membantu apabila negara serantau mengalami masalah ekonomi, politik atau peperangan. Walaupun kita negara berkecuali, namun mahu tak mahu kita harus terlibat membantu terutamanya sebagai pengaman (peacekeeper), orang tengah (mediator) atau bantuan kemanusiaan (humanitarian aid) di negara-negara yang melibatkan kepentingan strategik kita.

Kerana itu contohnya kita terlibat beri bantuan & jadi pengaman di Somalia. Jika negara tersebut huru hara dan miskin, maka rakyatnya akan jadi lanun merompak kapal dagang kita yang melalui Teluk Aden.

Contoh lain ialah apabila negara Greece, Spain, Portugal dan Ireland hampir bankrup, negara Eropah serantau tolong beri pinjaman & bail out berbillion Euro menggunakan duit cukai rakyat mereka. Mereka tidak sanggup biarkan negara jiran mereka muflis sehingga rakyat yang muflis juga terdesak berhijrah ke negara mereka. Itu lebih mendatangkan masalah buat jangka panjang.

Justeru saya selaku pembayar cukai tidak kisah jika hasil negara disalurkan untuk hospital medan yang sementara itu berbanding harus menampung kebanjiran pelarian Rohingya di masa depan. RM 3.5 juta atau USD 1 juta itu sebenarnya amat sedikit berbanding implikasi kewangan yang bakal kita hadapi jika Kerajaan & NGO Malaysia tidak menyokong dan membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.

Pahlawan papan kekunci yang melihat dari mata tempurung selamanya hanya mampu berkokok. Ini berbeza dengan pemerintah dan aktivis NGO yang turun padang, mereka melihat dengan perpektif yang lebih luas & proaktif.

Moga krisis ini selesai dalam masa terdekat dan pelarian Rohingya dapat pulang ke kampung halaman mereka dengan aman.

Penafian: Ini bukan status politik. Komen politik tidak dialu-alukan.

Tulisan oleh: Dr Ahmad Faidhi

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.