“Pharmacists: Your Medicines Experts”

Senario 1

Kaunter dispens Hospital X

Pesakit: Tidak perlu terangkan pada saya tentang ubatan ini.. Sudah hamir 30 tahun saya mengambil ubat yang sama

Pegawai Farmasi: oo.. Boleh tuan ceritakan bagaimana tuan mengambil ubat ini (sambil menghulurkan sepeket ubat darah tinggi tertera arahan ‘dimakan 1 biji sekali makan, 3 kali sehari’)

Pesakit: Ubat ini saya makan sekali sehari di sebelum tidur.

Pegawai Farmasi: (Terdiam sebentar sambil berfikir bagaimana mahu memberi nasihat)

 

Senario 2

Kaunter Farmasi di Klinik Kesihatan B

Diwaktu puncak dan jumlah pesakit yang menunggu giliran melebihi jumlah kerusi yang terdapat di fasiliti..

Pegawai Farmasi: (Sambil menyemak silang senarai ubat yang telah di isi), Puan datang dengan siapa ya? Mungkin Puan perlukan bantuan dari sesiapa untuk mendengar penerangan saya.

Pesakit Wanita: (berumur 70 tahun dan tidak pandai membaca), saya datang seorang sahaja nanti anak saya datang jemput selepas selesai urusan.

Pegawai Farmasi: (Menerangkan arahan setiap ubat dengan berhati-hati untuk 10 jenis ubat yang perlu diambil oleh pesakit tersebut)

Pesakit Wanita: Terima kasih “doktor”… (dan berlalu pergi)

Selepas 30 minit, dtg seorang lelaki menyerbu Pegawai Farmasi yang sama.

Lelaki tidak dikenali: Awak bagi ubat macam mana eh?

Pegawai Farmasi: Ya, ada apa-apa saya boleh bantu Encik?

Lelaki tidak dikenali: Tengok ni bagi ubat tiada label. (sambil mengeluarkan sebotol ubat yang memang tiada label arahan pengambilan).

Pegawai Farmasi: (Sambil berfikir siapalah lelaki ini) Bertenang Encik

Lelaki tidak dikenali: (Memotong percakapan pegawai farmasi) Tahu ke salah beri ubat yang tiada label kepada pesakit?

Pegawai Farmasi: Ya, sila bertenang.. Boleh

Lelaki tidak dikenali: (sekali lagi memotong ayat Pegawai Farmasi) Bagaimana mahu bertenang jika ubat yang diberi tiada label..? Sudahlah orang tuanya susah nak faham.

Pegawai Farmasi: (Tiba-tiba sudah ingat..) boleh keluarkan semua botol ubat yang saya berikan tadi?

Lelaki yang tidak dikenali: (Mengeluarkan semua botol dari plastik), Nah ini dia.

Pegawai Farmasi: (Marah tapi berjaya mengawal nada suara dan air muka). Jika Tuan dapat lihat, 6 botol ubat ini adalah botol ubat yang sama. Dan label telah diletakkan pada salah satu botol sahaja untuk mengelakkan kekeliruan. Saya juga telah menerangkan kepadanya supaya menggunakan satu persatu botol mengikut sukatan dos dan kekerapan yang telah diarahkan oleh doktor.

Lelaki yang tidak dikenali: oooo (sambil menahan malu dan cepat-cepat mengutip semula botol-botol ubat ibunya)

 

Senario 3

Kaunter Farmasi Hospital M

Seorang pesakit asma telah hadir ke kaunter farmasi sebanyak 3 kali seminggu untuk mengambil bekalan ubat lelah (MDI Salbutamol) beliau.

Perkara ini berlaku selama 2 bulan dan akhirnya disedari oleh salah seorang pegawai farmasi yang bertugas di kaunter.

Pegawai Farmasi: Tuan, bukankah Tuan telah mengambil bekalan ubat ini dua hari lepas?

Pesakit: Ya betul tu. Tapi bekalan saya betul-betul telah habis.

Pegawai Farmasi: Adakah Tuan mengalami serangan asma yang terlalu kerap?

Pesakit: Tidaklah terlalu kerap, sehari mungkin sekali atau dua kali sehaja.

Pegawai Farmasi: Oh tidak mungkin bekalan ubat Tuan habis dalam masa 2 hari jika hanya terkena 1 atau 2 serangan sehari.

Pesakit: Tetapi cuba Encik Farmasi tengok pam saya?.. Ia benar-benar telah kosong.

Pegawai Farmasi: (menggoncang berkali-kali MDI Salbutamol yg diberikan oleh pesakit) hmm, iya lah, MDI ini telah ringan dan kosong. Boleh saya tahu bagaimana cara Tuan gunakan ubat ini?

Pesakit: Oh senang sahaja, setiap kali saya terkena serangan asma, saya akan masuk bilik tidur sambil menutup pintu dan semua tingkap. Kemudian saya goncangkan ubat pam saya dan terus menyembur ke sekeliling bilik sambil bernafas.

Pegawai Farmasi: (Menyembunyikan rasa terkejut) oh begitu. Jom ikut saya ke bilik kaunseling, saya akan ajarkan Tuan cara yang betul menggunakan MDI Salbutamol.

Kepada semua Pegawai Farmasi:

“Jangan menghukum pesakit dan pegawai kesihatan lain. Teruskan usaha mendidik dan memberi maklumat yang betul kepada semua pesakit dan pegawai kesihatan yang memerlukan.”

Kepada semua pesakit:

“Luangkanlah sedikit masa dan peluang agar pegawai farmasi anda dapat memberikan maklumat secukupnya untuk ubat yang akan anda gunakan.”

Selamat menyambut Hari Farmasi Sedunia.

“Pharmacists: Your Medicines experts”

 

Mutiara Bd,

Bachelor of Pharmacy (Honours) 2012

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.