NGO Sekali Lagi Mendesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk Menyatakan Pendirian Berkaitan Cukai Eksais Terhadap Vape Bernikotin

Kenyataan Media: NGO Sekali Lagi Mendesak Kerajaan Perikatan Nasional untuk Menyatakan Pendirian Berkaitan Cukai Eksais Terhadap Vape Bernikotin

SABTU 14 OGOS 2021

Susulan kenyataan daripada Pertubuhan Green Lung Malaysia bersama Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Remaja Malaysia (MAAH), Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (OCC) serta IKRAM Health Malaysia yang dikeluarkan di media tempatan pada 30 Mei 2021 dan 24 Julai 2021, kami sekali lagi mendesak kerajaan untuk menyatakan pendirian berkaitan cukai eksais terhadap vape dan kawal selia yang akan dilaksanakan.

Setakat ini, pihak kami tidak mendapat sebarang maklum balas daripada pihak Kementerian Kewangan Malaysia mahupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pihak kami menggesa kerajaan Malaysia untuk menyatakan pendirian berkaitan dengan cukai eksais terhadap vape bernikotin kerana isu ini berkaitan bukan sahaja dengan kesihatan seluruh rakyat Malaysia, tetapi juga produktiviti negara pada masa hadapan, terutamanya ketika negara kita masih berdepan dengan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat serta jumlah kematian yang saban hari menunjukkan kenaikan yang ketara.

Pihak industri vape dan tembakau baru-baru ini giat memberi cadangan kepada kerajaan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin dan mengatakan hasil cukai menyumbang kepada ekonomi negara. Cadangan sebegini dengan ketaranya membawa manfaat kepada industri sahaja. Padahal, cadangan ini bukan sahaja mempercepatkan peningkatan penagih nikotin di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda, bahkan juga akan meningkatkan kos perubatan bagi merawat penyakit akibat penggunaan vape, melumpuhkan sistem kesihatan dan seterusnya membebankan ekonomi negara, terutamanya pada waktu pandemik COVID-19 ketika ini.

Pandemik COVID-19 telah memberi satu pengajaran yang sangat besar kepada kita semua. Oleh hal yang demikian, sebarang keputusan pihak kerajaan mestilah berlandaskan bukti sains kerana implikasinya besar terhadap sistem kesihatan, yang kini semakin lumpuh akibat pandemik COVID-19.

Hampir setiap hari kita boleh lihat terdapat cadangan daripada industri di media cetak atau media baru bagi melobi pihak kerajaan agar rokok eletronik atau vape dikawal selia dan mereka sangat mengalu-alukan pengenaan cukai eksais terhadap vape bernikotin ini.

Sebenarnya tiada keperluan bagi vape bernikotin dikawal selia kerana vape bernikotin sudah pun dikawal di bawah Akta Racun 1952. Namun penguatkuasaan dan pengawalannya sangat longgar. Dewan Perniagaan Vape Malaysia mengakui melalui kenyataan akhbarnya bahawa 97 peratus penjualan cecair vape di pasaran adalah mengandungi nikotin. Ini bermaksud semua jualan vape bernikotin oleh pihak tidak berlesen di pasaran ketika ini adalah menyalahi undang-undang.

Oleh itu, kerajaan Malaysia mesti membanteras penjualan vape bernikotin ini dan dengan segera memperkasakan penguatkuasaan di bawah Akta Racun 1952 untuk menunjukkan
bahawa kerajaan tidak berat sebelah dan mempunyai piawaan berdua-duaan dalam penguatkuasaan undang-undang.

Cadangan untuk mengenakan cukai eksais terhadap vape bernikotin hanya satu helahan untuk mengecualikan vape bernikotin daripada Akta Racun supaya sesiapa sahaja boleh menjual vape bernikotin di pasaran secara terbuka seperti rokok dan penjualan haram sekarang boleh dihalalkan. Inilah keputusan akhir yang industri vape mahu.

Implikasi gejala merokok ke atas kesihatan dan beban ekonomi sudah boleh kita semua lihat. Pengenaan cukai ke atas vape bernikotin seumpama mengulangi sejarah dan kesilapan ini mesti tidak boleh dilakukan sama sekali lagi.

KKM adalah pelindung bagi kesihatan semua rakyat Malaysia. Selama ini keputusan KKM sentiasa berlandaskan bukti sains, tetapi dalam isu rokok elektronik dan vape, KKM telah memilih untuk berdiam sahaja.

Melalui laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bertajuk “Epidemik Tembakau Global 2021”, WHO memberi amaran bahawa rokok elektronik dan alat seumpamanya membahayakan kesihatan. Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus mengatakan bahawa “nikotin sangat menyebabkan ketagihan. Sistem penghantaran nikotin elektronik (ENDS) berbahaya, dan mesti dikawal dengan lebih baik.”

Tindakan yang tegas dan pantas seharusnya diambil oleh KKM ke atas isu vape bernikotin ini seperti mana mereka menangani isu kesihatan lain, tetapi kali ini KKM seolah-olah tidak mengambil pendirian yang tegas dan telah mengabaikan pelbagai bukti hasil penyelidikan termasuk daripada WHO. Justeru, pihak kami menggesa agar segala keputusan KKM harus mementingkan kesihatan rakyat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Kami sekali lagi mendesak pihak kerajaan terutamanya KKM untuk mengambil dan menyatakan pendirian dalam masa yang tersingkat dalam isu pengenaan cukai eksais terhadap vape bernikotin dan memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita masih boleh bergantung kepada KKM untuk terus melindungi kesihatan kita. Kami juga berharap perbincangan dapat diadakan bersama-sama antara badan professional perubatan dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam usaha kawalan masalah merokok dengan segera, bukan industri vape atau tembakau di mana niat mereka sudah jelas dilihat.

Kita berharap para pemimpin dapat membuka mata dan memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia. Cukup-cukuplah rakyat dibebani dengan pandemik COVID-19 yang tiada penghujungnya. Jangan menambah lagi penderitaan rakyat dengan menghalalkan racun yang akan memburukkan lagi keadaan.

Kenyataan bersama daripada

  1. Pertubuhan Green Lung Malaysia
  2. Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH)
  3. Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH)
  4. Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (OCC)
  5. Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)
  6. IKRAM Health Malaysia

Dengan sokongan daripada:

  1. Akademi Farmasi Malaysia (MAP)
  2. Asthma Malaysia
  3. Badan Sokongan Pesakit Kanser Seberang Perai
  4. Baitul Latif Social Service
  5. Consumer Voice Association of Sarawak (COVAS)
  6. Consumers Association of Penang (CAP)
  7. Delegation of Nurses
  8. Family Medicine Association of USM (FAMOUS)
  9. Gabungan NGO Melaka Bebas Asap Rokok (GaNMBAR)
  10. Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)
  11. Gerentological Association Malaysia (GEM)
  12. Health Equity Initiative
  13. Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
  14. International Relief and Humanitarian Outreach
  15. Islamic Medical Association Malaysia(IMAM)
  16. Jaringan Muafakat NGO Islam Perak
  17. Kelab PM PINTAR Pahang
  18. Klang Consumer Association
  19. Koperasi Sahabat Silaturahim Kinta Bhd.
  20. Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM)
  21. Majlis Muafakat Muslimah Masjid
  22. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia
  23. Malaysia Health and Humanity Organisation
  24. Malaysia Laryngectomee Association (MLA)
  25. Malaysian Association of Maternal and Neonatal Health (MAMANEH)
  26. Malaysian Association on Environmental Health (MAEH)
  27. Malaysian Consumers Movement
  28. Medical Mythbusters Malaysia (M3)
  29. National Alliance for Justice Malaysia
  30. Penang Adventist Hospital
  31. Persatuan Farmasi Malaysia
  32. Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)
  33. Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA)
  34. Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (PELINDUNG)
  35. Persatuan Pelindung Pengguna Negeri Sembilan (PPPNS)
  36. Persatuan Pemuafakatan Pendidikan Pencegahan Dadah
  37. Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah
  38. Persatuan Pendidikan Dan Penyelidikan Untuk Pengguna-Pengguna Pahang
  39. Persatuan Pengguna Perak (PCA)
  40. Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWPCA)
  41. Persatuan Penguna Pengangkutan Awam Malaysia (4PAM)
  42. Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia
  43. Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA)
  44. Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPKAM)
  45. Persatuan Pesara LPPKN Malaysia (Wanita)
  46. Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS MALAYSIA)
  47. Pertubuhan CSR BRAND ANGEL
  48. Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS)
  49. Pertubuhan Kebajikan Kota Iskandar
  50. Pertubuhan TELANG Malaysia
  51. Public Health Malaysia
  52. Pusat Tasawwur Islam Perak
  53. Sahabat Alam Malaysia
  54. Teras Pengupayaan Melayu
  55. Third World Network (TWN)
  56. Ummah Care
  57. Yayasan Ipoh

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.