FOKUS UTAMA ISU KESIHATAN UNTUK KERAJAAN PERPADUAN

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) merakamkan ucapan  tahniah kepada YB Dr. Zaliha Mustafa atas pelantikan beliau sebagai Menteri  Kesihatan yang baharu dalam pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan.  

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan antara kementerian yang  terbesar dalam kerajaan kerana menggalas skop, peranan dan  tanggungjawab yang berat, merangkumi sebahagian besar kehidupan setiap  insan yang berada di dalam negara ini, daripada seseorang itu dilahirkan  sehinggalah akhir hayatnya, dalam aspek fizikal dan juga mental.  

Kesempatan ini, IKRAM Health ingin menyarankan agar Kerajaan Perpaduan  dapat menitikberatkan lima perkara utama ini sebagai langkah  mereformasikan bidang kesihatan secara berperingkat.  

1) Mengusahakan pembentangan Kertas Putih KKM di Parlimen sebagai  usaha mereformasikan sistem kesihatan negara agar lebih mampan  dan berdaya tahan merentas jangka masa yang panjang meskipun  bertukar kerajaan. Sistem kesihatan negara mestilah mula  beransur-ansur keluar daripada terbeban dengan ‘Penjagaan Penyakit’  kepada ‘Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan’ secara keseluruhan.  

2) Meningkatkan peruntukan perbelanjaan kesihatan awam kepada lima  peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi  memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam yang  bertaraf dunia pada masa hadapan, selaras dengan negara-negara  berpendapatan sederhana tinggi di seluruh dunia yang mempunyai  peruntukan yang sedemikian.  

3) Merealisasikan segera penggubalan akta Kawalan Tembakau dan  Produk Merokok serta Generasi Penamat (GEG) sepertimana yang  telah dibentangkan oleh menteri sebelum ini. Dengan demikian,  berbillion ringgit beban kewangan negara dalam merawat komplikasi  penyakit-penyakit hasil penggunaan produk ini akan dapat dikurangkan  tahun demi tahun apabila akta ini berjaya dilaksanakan. 

4) Menyelesaikan isu kebajikan yang kritikal seperti masalah staf kontrak  terutamanya jawatan-jawatan yang penting seperti doktor, jururawat,  dan lain-lain. Kekurangan tenaga kerja adalah kerana permintaan yang  tinggi ke atas sesuatu perkhidmatan kesihatan. Hal ini boleh diatasi  dengan penambahan staf di sektor-sektor yang penting, dan pengisian  tenaga kerja di setiap jabatan, hospital serta institusi tersebut boleh  dipenuhi mengikut keperluan dan dipantau secara dinamik melalui  sistem berpusat.  

5) Menggerakkan semula usaha mewujudkan Skim Insurans Kesihatan  Negara (National Health Insurance Scheme), yang merupakan salah  satu kaedah membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan  cara yang lebih cekap. Hal demikian untuk memastikan kelestarian  kewangan kesihatan negara kerana penerusan kebergantungan rakyat  terhadap subsidi kerajaan semata-mata boleh merencatkan keperluan  pembangunan negara disebabkan kos perawatan yang semakin  meningkat saban tahun.  

Sehubungan dengan itu, IKRAM Health Malaysia komited dalam memberi  sokongan kepada Kerajaan Perpaduan khususnya KKM dalam usaha  merealisasikan reformasi negara dalam bidang ini sejajar dengan visi kami  iaitu, Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah.  

Akhir sekali, kami mendoakan agar YB Menteri Kesihatan di bawah  kepimpinan YAB Perdana Menteri yang baharu ini, akan mampu untuk  menjalankan tugas dan amanah yang besar ini dengan penuh dedikasi dan  jayanya.  

DR. MOHD AFIQ MOHD NOR  

Yang Dipertua  

IKRAM Health Malaysia  

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.