GEG MEWAJARKAN PENDEKATAN HOLISTIK KERAJAAN

Tahniah dan selamat bertugas buat jemaah menteri yang baru dilantik untuk menerajui cabang
eksekutif negara. Moga pembaharuan dan reformasi dapat dijalankan demi kebaikan kita
bersama.

Sebelum pilihanraya ke-15 kerajaan telah memulakan langkah untuk meluluskan Rang
Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok sebagai sebahagian daripada usaha untuk
mewujudkan generasi penamat untuk produk tembakau, atau lebih dikenali sebagai
“generational endgame” (GEG).

Ringkasnya, GEG ini merupakan pengharaman merokok secara berperingkat, bermula dengan
mereka yang lahir pada tahun 2007. Maksudnya, semua yang lahir selepas tahun 2007 tidak
boleh mendapat akses kepada produk tembakau walaupun mereka sudah mencapai umur 18
tahun. Hasilnya, sedikit demi sedikit kita akan naikkan had umur pembelian produk tembakau
sehingga akhirnya kita mengharamkan secara total penjualan produk tembakau.

Hal ini lebih baik berbanding pengharaman secara mendadak kerana ia memberi masa untuk
peniaga produk tembakau beradaptasi dengan kekurangan permintaan serta tidak perlu
memaksa penagih produk tembakau sedia ada berhenti secara mendadak.

Di samping itu, perincian RUU ini juga telah diperhalusi oleh Jawatankuasa Khas Parlimen yang
dianggotai oleh ahli-ahli parlimen daripada pelbagai parti politik.

Namun, usaha murni ini telah terhenti akibat pembubaran parlimen. Diharapkan agar Menteri
Kesihatan baharu, YB Dr Zaliha Mustafa, dapat meneruskan usaha untuk menyahkan tabiat
penggunaan produk tembakau masyarakat Malaysia buat selama-lamanya.

GEG ini merupakan perkara yang amat mendesak serta mewajarkan sokongan yang padu
daripada seluruh anggota kabinet kerajaan kerana produk tembakau bukan sahaja memberi
ancaman kepada kesihatan, tetapi juga kepada banyak aspek lain dalam kehidupan rakyat.

Ancaman produk tembakau terhadap kesihatan

Seperti yang majoriti kita sedia maklum, produk-produk tembakau termasuklah rokok dan
e-rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan yang amat dahsyat.
Semua produk tembakau berbahaya – tidak ada jumlah tembakau yang boleh dikira selamat.

Hal ini diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 24 Mei 2022. Produk tembakau membunuh sekitar separuh penggunanya2. Ia juga merupakan penyebab utama kematian di Malaysia sejak tahun 1980-an3.

Lebih teruk lagi, produk tembakau boleh menjejaskan kesihatan orang sekeliling samada
dengan menghidu udara yang dicemari produk tembakau mahupun dengan menyentuh
permukaan-permukaan yang dicemari sisa asap daripada produk tembakau.
Di seluruh dunia, lebih 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat sisa asap tembakau
basi4. Lebih menyayat hati lagi, 31% daripada kematian akibat sisa asap tembakau basi ini
berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Bayangkan, orang yang berpindah masuk ke rumah yang sebelum itu dihuni oleh perokok pun
boleh terkesan akibat sisa asap tembakau basi yang terenap dan terserap ke dalam dinding,
lantai, siling, serta perabot5. Bahkan, sisa nikotin masih boleh wujud meskipun perokok itu
sudah tinggalkan rumah tersebut selama 2 bulan dan rumah tersebut sudahpun dibersihkan.
Atas sebab itulah, penggunaan rokok tidak boleh dikira sebagai hak individu. Kesihatan mereka
yang tidak mahu terlibat dengan produk tembakau juga boleh terjejas akibat pengguna-pengguna produk tembakau.

Ancaman produk tembakau terhadap alam sekitar

Produk tembakau juga merupakan salah satu penyumbang besar perubahan iklim dan
pencemaran6.

Penghasilan dan penggunaan produk tembakau membebaskan sekitar 80 juta tan karbon
dioksida setiap tahun, bersamaan dengan 17 juta kenderaan yang menggunakan bahan api
fosil. Penanaman tembakau juga mewakili 5% penebangan hutan dunia.
Penghasilan, penggunaan, dan perlupusan setiap kilogram produk tembakau juga
menggunakan air bersih sama banyak dengan keperluan air untuk seorang insan selama
setahun. Belum dicampur lagi dengan sisa-sisa elektronik yang dihasilkan daripada penghasilan
dan penggunaan e-rokok.

Oleh itu, YB Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad
juga wajar menyokong usaha GEG demi alam sekitar dan mengekang impak perubahan iklim.
Ancaman produk tembakau terhadap pendidikan Nikotin yang terkandung dalam produk-produk tembakau juga boleh menjejaskan pendidikan7.

Penggunaan produk tembakau dalam kalangan mereka yang berumur bawah 25 tahun khasnya
boleh menjejaskan otak mereka. Hal ini kerana dalam umur ini, bahagian otak yang terlibat
dalam membuat keputusan dan mengawal impuls belum terbentuk sepenuhnya.

Doktor Bedah Am Amerika Syarikat (US Surgeon General) telah menyeluarkan kenyataan
bahawa nikotin boleh mengubah cara sinaps terbentuk, seterusnya menjejaskan kemampuan
untuk memberi tumpuan dan menyerap pembelajaran.

Dalam keadaan semasa, penjualan rokok elektronik berperisa yang amat meluas di negara kita
ini seolah-olah mensasarkan golongan remaja dan anak muda. Perisa-perisa buah-buahan dan
sebagalinya ini mengeluarkan bau yang manis dan menarik berbanding bau asap rokok ini
menjadikan produk tembakau menarik untuk dicuba.

Akhirnya, rokok elektronik yang acap kali dipromosikan kononnya untuk membantu perokok
berhenti merokok, akhirnya mengakibatkan ramai golongan remaja yang tidak pernah merokok
mula terdedah dan ketagih dengan nikotin.

Oleh itu, YB Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, YB Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Haji
Mohamed Khaled Nordin, serta YB Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh juga wajar
menyokong GEG demi pendidikan para pelajar dan golongan belia negara.

Ancaman produk tembakau terhadap golongan berpendapatan rendah dan sederhana
Penggunaan tembakau juga dikaitkan dengan kemiskinan. Menurut kaji selidik peringkat
nasional pada tahun 2015 dan 2019 di Malaysia, kelompok yang paling banyak merokok ialah kelompok B40 dan M408. Di samping itu, lebih ramai yang perokok tinggal di luar bandar berbanding di bandar, serta mempunyai tahap pendidikan yang lebih rendah9.

Oleh kerana produk tembakau bersifat ketagih, ia menyebabkan beban kewangan kepada
golongan berpendapatan rendah. Duit yang sepatutnya digunakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti memberikan pendidikan yang berkualiti dan makanan yang bernutrisi kepada anak-anak digunakan untuk membeli produk tembakau.

Contohnya, sekiranya seseorang itu mendapat gaji minimum RM1,500, tetapi merokok sekotak
sehari dengan rokok yang paling murah di pasaran, RM12, maka sebulan sebanyak RM360
sudah dihabiskan untuk rokok, mewakili 24% daripada pendapatannya.

Oleh itu, YB Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dato’
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seharusnya menyokong usaha menghapuskan tabiat penggunaan produk tembakau demi mengurangkan bebanan kos sara hidup golongan B40 dan M40 serta
warga luar bandar.

Ancaman produk tembakau terhadap kedaulatan negara

Seterusnya, oleh kerana produk tembakau bersifat ketagih, apabila kerajaan memperkenalkan
cukai produk tembakau yang tinggi, permintaan terhadap produk tembakau di pasaran gelap
semakin meningkat.

Lalu, syarikat tembakau menjadikan produk tembakau seludup sebagai alasan untuk menghalang kerajaan melakukan kawalan terhadap produk tembakau yang lebih ketat, meskipun kerajaan maklum akan ancaman merokok. “Ugutan” begini jelas mengancam kedaulatan negara dan merendah-rendahkan kemampuan pihak penguatkuasaan kita.

Kita selaku negara yang berdaulat tidak seharusnya tunduk kepada ancaman begini. Sebaliknya, kita sepatutnya berganding bahu menyiasat dan menumpaskan sindiket-sindiket penyeludupan produk tembakau daripada terus bermaharajalela mencemarkan kedaulatan negara.

Oleh itu, YB Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga harus menyokong
usaha ini untuk memastikan kedaulatan negara kita tidak dicemari oleh kartel-kartel
penyeludupan produk tembakau.

Ancaman-ancaman lain produk tembakau

Banyak lagi ancaman lain produk tembakau. Contohnya, anak-anak dan isteri terdedah kepada asap rokok kerana ayah merokok dalam rumah ialah perbuatan meracun dan menganiayakeluarga, justeru memerlukan perhatian YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Dato’ Seri Nancy Shukri.

Produktiviti pekerja juga terjejas akibat penggunaan produk tembakau. Di Amerika Syarikat, penggunaan produk tembakau menyebabkan anggaran kerugian sebanyak $151 billion dolar AS setiap tahun akibat produktiviti pekerja yang terjejas10. Hal ini memohon perhatian YB Menteri Sumber Manusia Sivakumar.

Pendekatan seluruh kerajaan (whole-of-government)

Oleh kerana produk tembakau memberikan kesan buruk secara pukal dalam segenap aspek kehidupan rakyat, tanggungjawab untuk memastikan GEG ini terlaksana serta penggunaan produk tembakau dapat diharamkan secara berperingkat sehingga ia dibasmi secara menyeluruh ialah tanggungjawab setiap ahli kerajaan, bukan sahaja Menteri Kesihatan.

Jika terdapat mana-mana produk yang membunuh separuh penggunanya, menjejaskan kesihatan orang sekeliling, merosakkan alam sekitar, mengancam pertumbuhan otak remaja, seharusnya kerajaan mengambil langkah untuk mengharamkan produk tersebut tanpa berfikir panjang. Kita tidak boleh beralasan dan berlengah, kerana setiap hari yang berlalu tanpa kawalan tembakau yang lebih ketat, semakin teruk kesejahteraan rakyat terjejas.

Diharapkan, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim memimpin pendekatan seluruh kerajaan atau “whole-of-government approach” untuk menangani penggunaan produk tembakau serta menjadikan GEG sebagai salah satu prioriti dalam reformasi negara, khasnya kerana “pengurangan tabiat yang membahayakan kesihatan termasuk merokok” ialah salah satu janji dalam Tawaran Harapan di bawah tajuk Reformasi Kesihatan – Mengekang Peningkatan NCD (Penyakit Tidak Berjangkit)11.

AZHARI BIN AZIZI
Mahasiswa Sarjana Amalan Farmasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Jawatankuasa Smokefree IKRAM,
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia.

1 https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/tobacco

2Ibid

3https://internalmedicine.imedpub.com/smoking-and-burden-of-ill-health-a-review-of-themalaysian-context. php?aid=6423 

4 http://myquit.usm.my/index.php/ms/ketahui-fakta/ketahui-bahaya-asap-rokok-basi 5 https://www.center4research.org/third-hand-smoke/ 

6 https://apps.who.int/iris/rest/bitstreams/1425871/retrieve 

7 https://e-cigarettes.surgeongeneral.gov/knowtherisks.html

8 https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC9521184/#!po=31.2500 

9Ibid 

10 https://pivot.co/blog/smoking-and-workplace-productivity

11 https://kitaboleh.my/tawaran-kita-boleh/reformasi-kesihatan/

Kongsikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on linkedin
Share on whatsapp
Share on telegram

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.