Usah Kelirukan Pembuat Polisi GEG Mesti Diluluskan Segera

1. Kenyataan yang dibuat oleh Azrul Mohd Khalib, Ketua Eksekutif Pusat Kesihatan dan Dasar Sosial Galen, yang mencadangkan supaya peruntukan Generational End Game (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok bagi membolehkan ia dapat diluluskan dengan segera sangat mengelirukan.

2. Pada 2 Ogos 2022 yang lepas, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok di Dewan Parlimen, yang merangkumi kawalan terhadap semua jenis produk merokok termasuklah rokok elektronik atau vape. Di bawah RUU ini, peruntukan GEG telah dimasukkan, sebagai usaha kerajaan untuk melindungi generasi muda yang baru agar bebas daripada amalan merokok. Namun, RUU ini telah dibawa ke pemerhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Menimbang RUU Kawalan Produk Tembakau 2022 setelah bacaan kali kedua di dewan.

3. IKRAM Health Malaysia telah meneliti Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tersebut yang telah disiarkan pada 5 Oktober 2022, yang menyarankan beberapa pembaikan perlu diperbuat. Dalam penyata itu juga, didapati semua Ahli Jawatankuasa telah bersetuju bahawa peruntukan GEG ini mesti dikekalkan memandangkan Malaysia berdepan dengan masalah berganda rokok konvensional bersama rokok elektronik.

4. Sudah tentunya Azrul Khalib tahu bahawa GEG merupakan satu pendekatan yang terbaik pernah dicadangkan selepas kerajaan terdahulu gagal membuat larangan penuh kepada penjualan rokok elektronik atau vape di negara kita, yang telah mengakibatkan industri tersebut berkembang luas tanpa kawalan sehinggakan golongan bawah umur kini mula menggunakannya.

5. Tanpa GEG, usaha untuk menurunkan prevalen perokok di negara kita kurang daripada 5% tidak akan menjadi kenyataan sampai bila-bila, kerana setiap tahun golongan muda akan sentiasa direkrut oleh industri untuk menjadi penagih baharu nikotin melalui produk merokok seperti vape. Kita dapat lihat bagaimana industri dan pengusaha vape sentiasa mensasarkan golongan muda ini dalam strategi pemasaran produk mereka. Pelbagai bentuk vape yang menarik perhatian memenuhi cita rasa golongan ini akan direka untuk memperdaya mereka.

6. Kajian Adolescent Health Survey yang dijalankan oleh pihak KKM pada tahun 2017 dan 2022 telah menunjukkan berlakunya peningkatan peratusan penggunaan rokok elektronik yang semakin kritikal, di mana keseluruhan pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun meningkat daripada 9.8% pada tahun 2017 kepada 14.9 % pada tahun 2022.

7. Bayangkan sekiranya peruntukan GEG digugurkan dan hanya mengekalkan status quo iaitu larangan merokok terhadap golongan umur bawah 18 tahun, maka selepas mereka berumur 18 tahun tidak ada lagi perlindungan yang kerajaan berikan kepada mereka. Tidak mungkin kita sanggup membiarkan golongan yang berumur selepas 18 tahun ini terpedaya dan terjerumus dengan masalah penggunaan rokok dan rokok elektronik ini.

8. Oleh itu, sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, GEG ini sangat penting dan mesti disokong demi masa depan anak-anak Malaysia. Rakyat pula secara majoritinya telah memberi sokongan besar dalam mewujudkan akta baru dan GEG ini, bahkan kajian menunjukkan bahawa golongan pengguna vape itu sendiri juga menyokong GEG ini untuk diperkenalkan.

9. GEG adalah jalan keluar kepada pemasalahan komplikasi penyakit daripada tabiat merokok dan ketagihan nikotin yang telah lama membunuh puluhan ribu nyawa dan membebankan kewangan negara. Dianggarkan sebanyak RM8.77 billion diperlukan bagi merawat penyakit akibat tabiat merokok dan produk tembakau, dan RM370 juta diperlukan untuk merawat penyakit akibat kecederaan paru-paru disebabkan penggunaan rokok elektronik atau dinamakan Penyakit EVALI (Electronic Cigarette and Vape Product-use Associated Lung Injury) menjelang tahun 2030.

10. Statistik tahun 2020 telah menunjukkan jumlah kutipan cukai yang dikutip sebanyak RM2.67 bilion sedangkan jumlah kos yang telah dianggarkan untuk merawat tiga daripada pelbagai penyakit akibat rokok pada tahun 2020 adalah sebanyak RM6.21 billion. Kerugian kos yang dinyatakan ini akan ditambahkan pula dengan kehilangan kepada produktiviti negara.

11. GEG tidak menindas atau mendiskriminasikan perokok dan pengguna vape yang sedia ada, kerana mereka akan masih boleh merokok sehingga akhir hayat hidup mereka. Namun, usaha kerajaan dan pelbagai pihak untuk menggalakkan mereka berhenti akan terus dijalankan demi menyelamatkan nyawa mereka.

12. GEG akan melindungi golongan muda yang akan menjadi sasaran baru industri tembakau dan rokok elektronik atau vape untuk membeli produk mereka seterusnya menjadi penagih nikotin selama-lamanya. Mereka yang lahir selepas tahun 2007 akan dilindungi dengan undang-undang daripada terdedah kepada tabiat buruk ini kerana wujudnya larangan merokok, membeli dan dijual kepada mereka.

13. Ramai tertanya-tanya, apakah yang membuatkan Azrul Khalib membuat ‘pusingan-U’ pada saat ini sedangkan kenyataan beliau selama ini memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada penggubalan akta dan pengenalan GEG?

14. Dalam kenyataan yang telah dikeluarkan, Azrul juga merujuk kepada berleluasanya penjualan rokok elektronik dan vape di dalam negara akibat tiadanya regulasi terhadapnya selama ini sehinggakan kanak-kanak serendah usia 10 tahun mula menjadi penagih nikotin. Bahkan katanya, kandungan nikotin yang dijual di pasaran Malaysia adalah lebih tinggi berbanding dengan kandungan nikotin di negara-negara lain iaitu sebanyak 5% atau 50mg berbanding dengan 2% atau 20 mg di Indonesia dan di UK. Hal demikian jelas menunjukkan terdapat kelompongan ketara dalam undang-undang sedia ada yang sedang diambil peluang oleh industri dan pengusaha vape.

15. Nikotin di Malaysia adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Pada masa yang sama pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan sebagai ubat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, Akta Jualan Dadah 1952.

16. YB Menteri Kesihatan pada 25 Januari 2023 pula telah mengingatkan bahawa sebarang persediaan yang mengandungi nikotin termasuk cecair rokok elektronik atau vape adalah dilarang penjualannya kecuali oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan berhenti merokok. Namun malangnya, akta ini sedang dilanggar oleh industri serta para penjual vape sejak tahun 2015 kerana tinjaun mendapati lebih daripada 90% cecair rokok elektronik atau vape mengandungi nikotin.

17. Jesteru itu, kami merasakan kenyataan Azrul Khalib itu adalah sangat mengelirukan. Beliau sedar akan kepentingan GEG, beliau sedar yang berbilion ringgit dapat dijimatkan dalam perbelanjaan kesihatan untuk rawatan penyakit berkaitan merokok, beliau sedar GEG akan membantu menyelamatkan nyawa ribuan rakyat setiap tahun dan beliau sedar kanak-kanak kini sedang direkrut menjadi penagih baru, namun beliau masih ingin membuang GEG daripada akta baharu nanti.

18. Oleh yang demikian, IKRAM Health membantah sekeras-kerasnya usaha untuk menggugurkan peruntukan GEG daripada akta baharu Kawalan produk tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan dalam persidangan dewan rakyat akan datang. Tatkala majoriti rakyat sedang memberi sokongan terhadap GEG ini, maka inilah masanya untuk kita merealisasikannya.

“Bersama Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah”

DR MOHD AFIQ BIN MOHD NOR
Yang Di-Pertua
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.