TANGGUH SEHINGGA RANG UNDANG-UNDANG KAWALAN PRODUK MEROKOK DAN GENERASI PENAMAT DILULUSKAN

3 APRIL 2023 / 12 Ramadan 1444

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) menggesa agar kerajaan DENGAN SEGERA MENANGGUHKAN implementasi pengenaan cukai terhadap nikotin pada produk rokok elektronik dan vape yang telah mula dikuatkuasakan sejak Sabtu, 1 April 2023 lepas.

Kami mengambil maklum perwartaan duti eksais terhadap produk ini oleh kerajaan adalah selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 yang lepas, bertujuan untuk mengurangkan penggunaan vape dalam masyarakat.

Susulan itu, langkah tersebut telah mengakibatkan nikotin yang dikategorikan sebagai bahan racun Kumpulan C dalam Akta Racun 1952 terpaksa dikecualikan, melalui warta yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan pada hari Jumaat yang lepas.

Pengecualian ini seterusnya menjadikan sebarang persediaan cecair atau gel nikotin untuk merokok kini tidak dikawal oleh mana-mana peruntukan undang-undang. Tiada peraturan terhadap kawalan tentang penyediaan, penjualan, penggunaan, promosi dan pengiklanan produk ini dimana ia membolehkan produk ini selepas dicukai dapat dijual bebas oleh sesiapa dan di mana-mana termasuk jualan kepada golongan bawah umur dan yang tidak pernah merokok.

Justeru, langkah terbaik yang mesti diambil kerajaan adalah menangguhkan dahulu pengenaan cukai vape ini bagi membolehkan penarikan semula keputusan pengecualian nikotin vape daripada akta racun sementara menunggu rang undang-undang baharu generasi penamat dibentang dan diluluskan dalam sidang parlimen pada bulan Mei 2023 ini.

Melangkah ke hadapan ini, IKRAM Health bersama-sama rakan strategik kesihatan lain akan terus menggiatkan usaha menjalankan advokasi, menyampaikan kesedaran serta pengetahuan berkaitan gaya hidup sihat yang bebas daripada tabiat merokok dan vaping, isu kawalan produk merokok dan pelan generasi penamat kepada masyarakat.

Sokongan ahli masyarakat termasuk seluruh warga kesihatan, ibu bapa serta guru-guru sangat penting dalam merealisasikan penggubalan akta dan pelan generasi penamat ini demi mewujudkan sebuah generasi Malaysia Madani yang sihat dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.

“Bersama Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah”

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.