Malaysia Perlu Undang-Undang Vape Sebelum Mengenakan Cukai

4 April 2023

Gabungan Kesihatan Malaysia amat prihatin dan kecewa dengan keputusan untuk mengutip cukai eksais atas cecair nikotin dan gel yang digunakan dalam e-rokok dan peranti vape mulai 1 April 2023. Keputusan ini diumumkan pada 31 Mac 2023 dalam Warta Persekutuan.

Kami maklum bahawa undang-undang sedia ada di Malaysia tidak membenarkan atau mengharamkan e-rokok atau peranti vape dengan jelas. Oleh itu, status e-rokok dan peranti vape adalah tidak tertulis dan tidak jelas, tanpa sebarang peraturan untuk mengawal penggunaan peranti vape atau mengurangkan bahaya peranti vape kepada populasi yang terdedah seperti kanak-kanak atau remaja.

Bagi membolehkan cukai eksais ini dilaksanakan secara sah, Menteri Kesihatan terpaksa mengecualikan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 (juga diumumkan pada 31 Mac 2023). Kami kesal kerana pengecualian ini diperlukan sebagai langkah pentadbiran kerana Malaysia masih belum membuat keputusan untuk membenarkan atau mengharamkan peranti vape.

Kami amat mengambil berat tentang implikasi kesihatan awam akibat penggunaan vape dan tembakau, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Kami menyokong Generasi Penamat (GEG) dan kami menyokong larangan langsung terhadap vape. Peraturan yang ketat akan membawa Malaysia sejajar dengan norma antarabangsa yang semakin berleluasa. Negara yang sebahagian atau sepenuhnya mengharamkan vape termasuk Australia, Argentina, Brazil, Kanada, Hong Kong, Indonesia, Qatar, Singapura, Thailand dan banyak negeri di Amerika Syarikat.

Kami menggesa Kerajaan menangguhkan pelaksanaan kutipan cukai eksais dan pengecualian nikotin daripada Senarai Racun sehingga Rang Undang-undang Peraturan & Kawalan Tembakau diluluskan. Kami juga menggesa Kerajaan untuk membahaskan dan membuat keputusan mengenai status undang-undang vape di Malaysia sebagai sebahagian daripada Rang Undang-undang tersebut. Kami seterusnya menggesa Kerajaan untuk mengenakan peraturan yang lebih ketat secara beransur-ansur ke atas tembakau secara keseluruhan, dengan cita-cita untuk mencapai Negara Sifar Merokok. Tiada jumlah cukai yang dikutip akan lebih bernilai daripada kesihatan rakyat Malaysia, kesihatan anak-anak kita, dan kesihatan sistem kesihatan kita.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA.

Gabungan Kesihatan Malaysia (Senarai tandatangan penuh di myhealthcoalition.org)

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.