Penyediaan DOSA boleh menggagalkan denormalisasi amalan Merokok

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) terpanggil untuk merespon kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ingin meneliti permintaan pihak pengusaha premis makan agar disediakan ruangan merokok atau Designated Outdoor Smoking Area (DOSA) terutamanya di kawasan yang sesak.

Permintaan ini difahami telah dibangkitkan oleh para pengusaha premis makan semasa sesi Walkabout Premis Bersih dan Bebas Asap Rokok (BeBAS) yang diketuai oleh YB Menteri Kesihatan bersama-sama NGO di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada hujung minggu lepas.

Untuk rekod, KKM telah mewartakan larangan merokok di premis makanan bermula 1 Januari 2019 di bawah Peraturan 11(1)(d), Peraturan- Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Makanan 1983 [Akta 281]. Larangan ini termasuklah penggunaan rokok elektronik atau vape dan juga shisha.

Pewartaan undang-undang tersebut adalah bertujuan untuk melindungi golongan majoriti di Malaysia iaitu golongan bukan perokok terutamanya warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan golongan berisiko tinggi daripada terdedah kepada bahaya asap atau wap produk merokok, selari dengan Artikel 8 World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC).

Berbanding negara maju lain di mana keseluruhan tempat awam merupakan tempat dilarang merokok, Malaysia mengambil pendekatan dengan menetapkan hanya 23 tempat sahaja setakat ini sebagai zon larangan merokok. Perokok pula masih mempunyai 1001 lagi kawasan yang masih tidak dilarang untuk merokok.

Penyediaan DOSA sebenarnya akan membebankan kewangan negara kerana kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menampung kos pembinaan dan penyelenggaraannya. Bahkan pembinaan DOSA ini juga boleh menggagalkan usaha untuk denormalisasi amalan merokok dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan orang belum dewasa.

Bagi sesebuah kawasan yang sangat sesak di mana jarak 3 meter daripada premis makan itu termasuk premis makan yang lain atau kawasan larangan yang lain, kami mencadangkan agar keseluruhan kawasan tersebut dijadikan zon larangan merokok yang besar, contohnya di seluruh Bukit Bintang. Penyediaan DOSA pula boleh diletakkan di beberapa sudut sempadan zon larangan tersebut.

Langkah ini akan lebih memudahkan penguatkuasaan dijalankan kerana seluruh kawasan telah diwartakan sebagai zon larangan merokok melainkan di DOSA sahaja. Oleh itu, bagi sesiapa yang merokok atau vaping di luar DOSA, penguatkuasa boleh terus mengenakan kompaun atau denda.

IKRAM Health Malaysia yakin KKM akan lebih mengutamakan golongan majoriti bukan perokok yang kini sentiasa terdedah kepada bahaya asap rokok sebagai perokok pasif di mana-mana. Kesihatan awam serta kebersihan persekitaran udara yang segar tanpa asap rokok serta wap vape mestilah menjadi prioriti Kerajaan MADANI hari ini.

IKRAM HEALTH MALAYSIA
19 FEBRUARI 2024

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.