Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) merakamkan ucapan tahniah kepada YB Dr. Zaliha Mustafa atas pelantikan beliau sebagai Menteri Kesihatan yang baharu dalam pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan antara kementerian yang terbesar dalam kerajaan kerana menggalas skop, peranan dan tanggungjawab yang berat, merangkumi sebahagian besar kehidupan setiap insan yang berada di dalam negara ini, daripada seseorang itu dilahirkan sehinggalah akhir hayatnya, dalam aspek fizikal dan juga mental.
Kesempatan ini, IKRAM Health ingin menyarankan agar Kerajaan Perpaduan dapat menitikberatkan lima perkara utama ini sebagai langkah mereformasikan bidang kesihatan secara berperingkat.
1) Mengusahakan pembentangan Kertas Putih KKM di Parlimen sebagai usaha mereformasikan sistem kesihatan negara agar lebih mampan dan berdaya tahan merentas jangka masa yang panjang meskipun bertukar kerajaan. Sistem kesihatan negara mestilah mula beransur-ansur keluar daripada terbeban dengan ‘Penjagaan Penyakit’ kepada ‘Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan’ secara keseluruhan.
2) Meningkatkan peruntukan perbelanjaan kesihatan awam kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi memastikan Malaysia mempunyai sistem kesihatan awam yang bertaraf dunia pada masa hadapan, selaras dengan negara-negara berpendapatan sederhana tinggi di seluruh dunia yang mempunyai peruntukan yang sedemikian.
3) Merealisasikan segera penggubalan akta Kawalan Tembakau dan Produk Merokok serta Generasi Penamat (GEG) sepertimana yang telah dibentangkan oleh menteri sebelum ini. Dengan demikian, berbillion ringgit beban kewangan negara dalam merawat komplikasi penyakit-penyakit hasil penggunaan produk ini akan dapat dikurangkan tahun demi tahun apabila akta ini berjaya dilaksanakan.
4) Menyelesaikan isu kebajikan yang kritikal seperti masalah staf kontrak terutamanya jawatan-jawatan yang penting seperti doktor, jururawat, dan lain-lain. Kekurangan tenaga kerja adalah kerana permintaan yang tinggi ke atas sesuatu perkhidmatan kesihatan. Hal ini boleh diatasi dengan penambahan staf di sektor-sektor yang penting, dan pengisian tenaga kerja di setiap jabatan, hospital serta institusi tersebut boleh dipenuhi mengikut keperluan dan dipantau secara dinamik melalui sistem berpusat.
5) Menggerakkan semula usaha mewujudkan Skim Insurans Kesihatan Negara (National Health Insurance Scheme), yang merupakan salah satu kaedah membiayai perkhidmatan penjagaan kesihatan dengan cara yang lebih cekap. Hal demikian untuk memastikan kelestarian kewangan kesihatan negara kerana penerusan kebergantungan rakyat terhadap subsidi kerajaan semata-mata boleh merencatkan keperluan pembangunan negara disebabkan kos perawatan yang semakin meningkat saban tahun.
Sehubungan dengan itu, IKRAM Health Malaysia komited dalam memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan khususnya KKM dalam usaha merealisasikan reformasi negara dalam bidang ini sejajar dengan visi kami iaitu, Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah.
Akhir sekali, kami mendoakan agar YB Menteri Kesihatan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri yang baharu ini, akan mampu untuk menjalankan tugas dan amanah yang besar ini dengan penuh dedikasi dan jayanya.
DR. MOHD AFIQ MOHD NOR
Yang Dipertua
IKRAM Health Malaysia