Kenapa Kita Patut Berhenti Memberi Bukti Saintifik (Evidence-Based Medicine) Kepada Golongan Anti-vaksin?

Baru-baru ini tular di media sosial apabila surat yang dikarang oleh seorang ayah anti-vaksin kepada pihak hospital mendapat perhatian ramai.

Si ayah ini telah memanggil para petugas kesihatan yang merawat anaknya itu sebagai “makhluk-makhluk yang zalim lagi jahil”. Konflik seperti ini di antara golongan anti-vaksin dan petugas kesihatan bukanlah sesuatu perkara yang baru atau asing lagi di negara kita.

Penolakan vaksin di negara kita telah menyebabkan kemunculan kembali beberapa penyakit seperti cacar air dan difteria yang kini sudah dianggap tidak lagi menjadi ancaman dan mungkin boleh membawa maut di kalangan kanak-kanak yang belum divaksin dan orang yang mempunyai daya tahan badan yang rendah.

Di negara kita, penyokong-penyokong gerakan anti-vaksin menolak vaksin di atas pelbagai sebab. Ada yang masih mempercayai pendapat seorang doktor pengkaji British bernama Andrew Wakefield tentang kaitan vaksin dan autisme. Andrew Wakefield menerbitkan dapatan kajiannya mengenai kaitan antara autisme dan vaksin MMR pada tahun 1998 di dalam jurnal perubatan The Lancet iaitu sebuah jurnal antarabangsa yang berpengaruh. Wakefield kemudiannya telah didapati bersalah memanipulasi data di atas kepentingan peribadi.

Bukan sahaja jurnal yang diterbitkannya dibatalkan, malah lesen perubatannya juga telah ditarik balik. Selain itu golongan anti-vaksin juga ragu-ragu terhadap bahan yang digunakan di dalam vaksin itu seperti kewujudan unsur merkuri atau unsur tidak halal seperti babi. Ada juga ibu bapa yang risau terhadap kejadian buruk berikutan imunisasi (AEFI- Adverse Event Following Immunisation) yang mungkin menimpa anak mereka setelah divaksinkan.

Sumber-sumber saintifik dari jurnal perubatan antarabangsa yang sahih dengan bukti statistik yang kukuh telah digunakan untuk menangkis salah faham berkenaan AEFI serta hujah Andrew Wakefield berkenaan autisme namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi sahaja.

Begitu juga dengan sumber-sumber dari pihak autoriti agama seperti para mufti dan alim ulama’ yang digunakan untuk membalas hujah berunsur keagaaman turut sia-sia dan tidak diendahkan oleh mereka.

Herd Immunity

Ini telah menimbulkan kekecewaan dan kemarahan yang bukan sedikit di kalangan ahli warga kesihatan dan masyarakat umum secara amnya yang cuba mempertahankan faedah vaksin dan cuba mengekalkan herd immunity. Istilah herd immunity merujuk kepada kerintangan terhadap sesuatu penyakit berjangkit yang dicapai secara bersama oleh masyarakat apabila sebahagian besar populasi telah imun terhadap penyakit itu.

Ia memastikan golongan yang kurang daya tahan penyakit dan tidak berpeluang menerima vaksin atas sebab-sebab tertentu turut menerima faedah imuniti terhadap penyakit itu. Kekecewaan ini dizahirkan menerusi medium media sosial dalam ruangan-ruangan komen dan perkongsian status.

Antara Dua Golongan

Golongan anti-vaksin dipanggil dengan gelaran-gelaran seperti berpemikiran delusional, sempit, jumud, tertutup, kolot, dan mundur manakala golongan yang menyokong vaksin dituduh sebagai penyokong agenda Yahudi dan Barat serta melawan fitrah yang sudah ditetapkan Tuhan terhadap tubuh badan manusia.

Setakat ini antara cara yang paling kerap digunakan oleh pejuang-pejuang pro-vaksin adalah dengan membawa hujah bukti saintifik (evidence based medicine).

Walau bagaimanapun cara ini terbukti sia-sia kerana kita sudah sedia maklum bahawa manusia mempunyai bias kognitif (cognitive bias) semasa memproses maklumat untuk membuat keputusan.

Proses membuat keputusan seseorang manusia itu sebenarnya sangat dipengaruhi oleh emosi dan juga pengalaman masa lampau walaupun dia dihidangkan dengan bukti-bukti yang sahih dan tidak dapat disangkal.

Terdapat kemungkinan bahawa penolakan vaksin sebenarnya tidak ada kena mengena langsung dengan kesahihah bukti-bukti saintifik tersebut, tetapi lebih dipengaruhi oleh sebab-sebab yang lain.

Antara contoh-contoh yang mendorong seseorang itu untuk lebih cenderung menolak vaksin adalah kerana aspek spiritual atau keagamaan, cara berfikir yang lebih intuitif (mengikut naluri) berbanding analitikal (bersandarkan logik dan rasional) serta faktor personaliti seseorang itu seperti keterbukaan terhadap pengalaman baru (openness to experience).

Terdapat kajian yang membuktikan bahawa golongan anti vaksin lebih cenderung untuk mengutamakan perubatan tradisional dan alternatif seperti rawatan herba dan homeopati.

Ciri-ciri yang menarik mereka kepada rawatan alternative dan tradisional ini jugalah merupakan ciri-ciri yang sama yang membuatkan mereka menolak vaksin.

Sebagai contoh, rawatan alternative dan tradisional menekankan unsur-unsur spiritual, kesucian jiwa, hubungan terus badan manusia dengan alam semulajadi dan juga falsafah “vitalism” yang menekankan bahawa badan manusia merupakan benda hidup yang tidak wajar dicemari dengan bahan-bahan kimia.

Mereka yang memilih rawatan alternatif dan tradisional juga biasanya lebih cenderung untuk memiliki pandangan hidup pasca-moden (post-modern worldview) dan mengutamakan pendekatan holistic penyatuan jiwa dan fizikal dalam kaedah perawatan.

Mereka sangat mengutamakan kebebasan untuk membuat pilihan dalam hidup serta kebebasan untuk ekspresi jiwa.

Sudah tentu suntikan vaksin adalah bertentangan dengan nilai-nilai yang disebutkan di atas.

Vaksin dianggap sebagai suatu produk perkilangan industri biomedikal yang mencemarkan badan mereka yang suci dengan bahan kimia yang asing (sebagai contoh unsur merkuri) dan juga kotor (mengandungi kuman virus yang sudah dilemahkan atau unsur yang dianggap tidak halal).

Persepsi “tidak suci” vaksin ini diperkuatkan lagi dengan gambaran mental seorang bayi baru lahir yang suci murni dicucuk dan disakiti dengan suntikan jarum yang mengandungi bahan kimia yang diproses di kilang.

Penolakan vaksin juga dikaitkan dengan sikap paranoid atau curiga terhadap pihak berkuasa atau kerajaan. Mereka yang mempunyai pandangan politik yang konservatif adalah lebih mudah untuk menerima suntikan vaksin.

Golongan anti-vaksin dikaitkan dengan kecenderungan untuk menolak status-quo pendapat saintis moden, para doktor dan juga industri farmasi. Dalam kes yang lebih ekstrim, mereka menggunakan teori konspirasi untuk membuat kesimpulan mudah yang palsu terhadap badan-badan ini.

Mengikut teori personaliti pula, golongan berpendidikan tinggi yang memilih untuk menolak vaksin didapati mempunyai personaliti keterbukaan terhadap pengalaman baru (openness to experience).

Jenis personaliti ini adalah salah satu jenis personaliti daripada The Five-Factor Model di mana mereka yang bersikap terbuka, kreatif dan mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi adalah berlawanan dengan mereka yang lebih konsisten, berhati-hati dan ingin patuh kepada undang-undang dan autoriti (mereka yang cenderung untuk ambil vaksin).

Mereka inilah yang cenderung untuk memiliki sudut pandangan pasca-moden (post-modern worldview) yang menolak monopoli ilmu pengetahuan oleh badan berautoriti dan lebih suka mengutamakan faktor peribadi, emosi dan spiritual dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan.

Penolakan vaksin seterusnya mungkin boleh diterangkan oleh faktor bias kognitif (cognitive bias) semasa membuat keputusan.

Bias kognitif merujuk kepada kesilapan secara sistematik seseorang manusia membuat keputusan yang tidak rasional berdasarkan pengalaman atau kecenderungan sendiri walaupun terdapat bukti yang sahih. Umum sudah sedia maklum tentang kejayaan vaksin untuk menghapuskan penyakit-penyakit tertentu seperti cacar air, polio dan batuk kokol.

Penyakit seperti ini hampir sudah tidak kedengaran lagi pada hari ini, dianggap sudah tidak wujud dan membuatkan golongan anti-vaksin menganggap golongan pro-vaksin sebagai paranoid dan takut yang berlebih-lebihan terhadap penyakit yang dianggap sangat kecil kemungkinan ia berlaku.

Sementara itu kesan-kesan sampingan yang lebih biasa daripada suntikan vaksin seperti demam, kesakitan di tempat suntikan serta lenguh-lenguh otot menguatkan lagi bukti bagi mereka tentang kesan tidak baik vaksin.

Kesan tidak baik begini walaupuan agak ringan sebenarnya adalah lebih dirisaukan dan dianggap lebih sahih kerana ia berlaku dengan kerap dan kita biasa mendengarnya dari saudara-mara atau mengalaminya sendiri.

Terdapat juga bias di mana penyakit berjangkit yang datang dari alam sekitar (fitrah atau takdir Allah) dianggap lebih mudah diterima berbanding penyakit yang datang dari buatan manusia (kesan sampingan vaksin atau AEFI).

Secara umumnya, kajian-kajian yang dilakukan mendapati bahawa penolakan vaksin bukanlah disebabkan oleh masalah kewujudan bukti-bukti saintifik untuk menyokong vaksin.

Penolakan vaksin lebih disebabkan oleh faktor-faktor peribadi, personaliti, cognitive bias dan juga penekanan keterlaluan terhadap aspek keagamaan yang kita boleh saksikan menjadi semakin popular di kalangan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang beragama Islam.

Usaha-usaha untuk meyakinkan ibu-bapa untuk memvaksinkan anak-anak mereka mungkin boleh lebih ditumpukan kearah mengintegrasikan vaksin ke dalam sistem nilai yang disebutkan di atas berbanding hanya menumpukan terhadap pembentangan bukti saintifik semata-mata.

Usaha untuk terus menyuap golongan anti-vaksin dengan bukti saintifik sedangkan mereka sendiri sudah sedia paranoid dengan ilmu sains moden mungkin akan terus menemui jalan buntu.

Mungkin apa yang diperlukan adalah untuk membetulkan salah faham mereka terhadap bagaimana sesuatu ilmu atau fakta sains itu ditemukan terlebih dahulu berbanding membetulkan salah faham spesifik berkaitan isu vaksin.

 

Tulisan Oleh : Dr Mohd Hazreen
Pegawai Perubatan Sarjana
Perubatan Psikiatri
EXCO IKRAM Health Malaysia

Sumber gambar : carian google

Kongsikan

Bincang dan komen

2 responses to “Kenapa Kita Patut Berhenti Memberi Bukti Saintifik (Evidence-Based Medicine) Kepada Golongan Anti-vaksin?”

  1. Salam, Tuan Dr Mohd Hazreen yang mulia. Saya rasa berlaku salah faham disini.Bapa bayi yang tidak ambil vaksin untuk bayinya itu tidak pernah memanggil petugas kesihatan sebagai makhluk yang zalim lagi jahil seperti yang tuan nyatakan dalam artikel ini. Sebaliknya kata2 tersebut ditujukan kepada orang2 yang mencipta/membuat vaksin. Sila baca balik surat tersebut betul2.Harap dapat perbetulkan kesilapan ini.

    • Penulis memberi pandangan yg bernas tentang punva wujudnya golongan antivaksin tetapi tidak mengemukakan kaedah alternatif yg jelas dan terperinci bagaimana menangani golongan ini. Saya rasa penerangan menggunakan evidence based medicinie masih relevan utk golongan2 yg kurang menerima maklumat. Manakala kpd golongan2 yg tegar dan rigid memang tidak ada apa yg dpt dilakukan melainkan dgn mengwujudkan akta yg dpt menekan mereka supaya membenarkan anak2 divaksinkan seperti yg diamalkan oleh negara Australia contohnya iaitu “no jab no pay”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.