Membantah Cadangan Mengembalikan Penjualan Rokok ‘Kiddie Pack’ Ke Malaysia

Kenyataan Media

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia

Membantah Cadangan Mengembalikan Penjualan Rokok ‘Kiddie Pack’ Ke Malaysia

27 Ogos 2017 / 5 Zulhijjah 1438H

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) membantah sekeras-kerasnya terhadap cadangan-cadangan pihak tertentu untuk mengembalikan semula kebenaran penjualan rokok yang kurang daripada 20 batang rokok sekotak di Malaysia.

Selain daripada ia tidak selari dengan Artikel 16 WHO Framework Convention On Tobacco Control (WHO FCTC) yang ditandatangani oleh Malaysia, ia juga bertentangan dengan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang telah diluluskan oleh kerajaan. Akta ini kemudiannya pun hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan pada tahun 2006 apabila berjaya menguatkuasakan larangan penjualan 14 batang rokok per kotak setelah bertarung dengan bantahan-bantahan pihak tertentu.

Usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama agensi-agensi di bawahnya dan dibantu oleh pelbagai NGO berkaitan untuk mematuhi saranan WHO FCTC dalam menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang bebas daripada asap rokok selama ini akan menjadi gagal jika langkah membenarkan penjualan ‘kiddie pack’ ini dikembalikan.

Kami juga ingin menyatakan kerisauan terhadap nama negara Malaysia yang akan terjejas pada pandangan negara-negara Asia Tenggara yang lain dan dunia secara umumnya kerana mengambil langkah ke belakang semula dalam inisiatif kawalan tembakau dan bebas asap rokok ini.

Bukti Kajian

Kajian menunjukkan bahawa penjualan rokok jenis ‘kiddie pack’ ini akan lebih menarik golongan belia dan remaja untuk merokok kerana faktor harganya yang lebih murah, pakej bungkusan yang lebih menarik dan unik serta ia lebih mudah untuk dibawa. Malah, kajian juga menunjukkan ia merupakan strategi syarikat tembakau itu sendiri untuk menawan hati golongan muda yang kini semakin tawar hati kerana harga rokok yang semakin mahal.

Selain daripada itu, satu kajian yang dijalankan oleh Malaysia’s Tobacco and E-cigarette Survey among Malaysia Adolescents (TECMA) 2016 pula membuktikan bahawa di kalangan remaja yang membeli rokok, 71.6% daripadanya akan membeli pada harga RM9.00 sahaja. Dengan ini, kita sudah dapat membayangkan betapa gembiranya mereka jika harga rokok bertaraf premium RM 17.00 untuk 20 batang rokok itu dikurangkan kepada 10 batang (dengan anggaran hanya RM8.50 sekotak).

Bukan Alasan

Peningkatan jualan rokok ‘haram’ atau seludup di pasaran bukanlah alasan besar untuk mengurangkan bilangan batang rokok per kotak tetapi sepatutnya banyak langkah lain yang mesti diperkasakan dan diperkenalkan untuk mengatasi masalah ini.

Malah langkah pengenalan penjualan rokok ‘kiddie pack’ oleh mereka ini hanya lebih ke arah untuk membanteras pembelian rokok haram semata-mata dan bukannya kepada tabiat merokok itu sendiri.

Cadangan

Kami ingin mencadangkan agar kerajaan mengetatkan undang-undang dan meningkatkan hukuman serta memperkasakan lagi penguatkuasaan dalam usaha membanteras penyeludupan rokok haram ini. Usaha ini mestilah dijalankan bersama-sama secara bersepadu oleh beberapa kementerian dan agensi yang terlibat.

Kami juga mencadangkan agar kerajaan memberikan kuasa (empower) kepada komuniti setempat untuk melaporkan terus secara atas talian jika mengesyaki aktiviti-aktiviti penjualan rokok haram ini. Pada masa yang sama juga kerajaan mestilah meningkatkan lagi integriti dan keberkesanan para penguatkuasa.

Sudah tiba masanya kerajaan tegas dengan langkah memperkenalkan lesen penjualan rokok kepada para peniaga di premis restoran dan kedai kopi. Langkah ini sepatutnya disokong seratus peratus oleh semua pihak kerana cara ini bukan sahaja dapat mengawal penjualan dengan lebih bersistem malah membantu dalam membanteras penjualan rokok-rokok seludup ini dengan lebih berkesan.

Hanya mereka yang berlesen sahaja sepatutnya boleh menjual rokok dengan syarat-syarat tertentu yang dipatuhi seperti tidak menjual secara terbuka di kaunter dan mengasingkan meja makan untuk perokok ke satu sudut lain.

Jika ia tidak dapat patuh, dicadangkan agar rokok ini hanya boleh dijual di ‘Kedai Rokok’ sahaja, bukan lagi di restoran-restoran dan kedai kopi. Premis-premis ini sepatutnya menjadi tempat untuk makan yang selesa seisi sekeluarga bukannya terancam kesihatan kerana menyedut asap rokok.

Ketika negara kita semakin menuju ke arah sebuah negara yang bebas asap rokok, terdapat pihak yang ingin menjadi penghalang untuk menjayakannya. Apakah sebabnya? Kami muyskil jika pihak ini sebenarnya didalangi oleh syarikat tembakau itu sendiri di belakangnya atau mereka juga mempunyai kepentingan tertentu dalam syarikat tembakau tersebut.

Akhir sekali, IKRAM Health menggesa kerajaan agar bersikap tegas dan tetap dengan akta kawalan tembakau yang sedia ada, serta tidak mudah termakan dengan lobi pihak-pihak tertentu untuk memperkenalkan semula ‘kiddie pack’ ini.

IKRAM Health juga menyeru agar semua pihak supaya turut sama-sama membantah penjualan semula ‘kiddie pack’ ini ke dalam pasaran Malaysia. Bantahan ini penting untuk kita menyelamatkan generasi anak-anak muda kita daripada sekali lagi mudah terjajah dengan tabiat merokok.

Negaraku Sehati Sejiwa, Bangkit Bersama, Bebas Daripada Asap Rokok.

Dr Mohd Afiq Mohd Nor

Setiausaha Kehormat IKRAM Health,

Merangkap Pengarah Operasi,

Kempen Selangor Bebas Asap Rokok – SELBAR

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.