Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab, atas penulisan beliau bertajuk “Pemergian Pakar Perubatan Isyarat ‘Apa Lagi Perlu Diperbaiki’” yang disiarkan oleh Berita Harian pada 9 Jun 2026.
Kami menyambut baik pendekatan beliau yang mengajak semua pihak melihat isu peletakan jawatan pakar perubatan secara lebih menyeluruh, matang dan konstruktif. Fenomena ini tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai keputusan individu atau isu sumber manusia, tetapi sebagai petunjuk kepada cabaran yang sedang dihadapi oleh sistem kesihatan negara secara keseluruhannya.
IKRAM Health bersetuju bahawa setiap pakar perubatan merupakan aset strategik negara yang dibangunkan melalui pelaburan besar dalam pendidikan, latihan, pengalaman klinikal dan pembangunan kepimpinan. Kehilangan seorang pakar bukan sahaja memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, malah turut menjejaskan proses latihan generasi baharu doktor, pembangunan subkepakaran serta kesinambungan kepimpinan klinikal negara.
Kami turut mengiktiraf bahawa ramai pakar hari ini memikul tanggungjawab yang semakin kompleks. Selain merawat pesakit, mereka juga terlibat dalam pengajaran, penyelidikan, audit, pembangunan kualiti, pengurusan risiko, pentadbiran, latihan kakitangan dan pelbagai fungsi lain yang penting untuk memastikan sistem kesihatan terus beroperasi dengan selamat, berkesan dan mampan.
Fenomena penghijrahan pakar serta cabaran pengekalan tenaga kerja kesihatan menunjukkan bahawa reformasi sumber manusia kesihatan perlu dipercepatkan dan dilaksanakan secara lebih menyeluruh. Dalam usaha memperkukuh sistem kesihatan negara, perhatian perlu diberikan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur dan teknologi, tetapi juga kepada kebajikan, pembangunan kerjaya dan kesejahteraan petugas kesihatan yang menjadi tunjang utama perkhidmatan kesihatan negara.
Sehubungan itu, IKRAM Health ingin mengemukakan beberapa cadangan untuk pertimbangan bersama:
1. Meningkatkan ketelusan data perjawatan dan perancangan tenaga kerja kesihatan melalui pembangunan papan pemuka (dashboard) nasional yang memaparkan data perjawatan semasa, kadar kekosongan, agihan pakar mengikut disiplin dan negeri, serta unjuran keperluan tenaga kerja bagi tempoh 5 hingga 10 tahun. Pendekatan ini dapat membantu memperkukuh perancangan sumber manusia kesihatan secara bersepadu antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi latihan dan pihak berkepentingan yang lain.
2. Memperkukuhkan perancangan tenaga kerja kesihatan berasaskan data dan keperluan perkhidmatan sebenar agar kapasiti latihan, pewujudan jawatan, penempatan serta pembangunan kepakaran dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, mampan dan selaras dengan keperluan kesihatan negara pada masa hadapan.
3. Memperkukuhkan skop dan deskripsi tugas pakar perubatan supaya selaras dengan peranan serta kompetensi profesional mereka, dengan memastikan pakar dapat menumpukan lebih banyak masa kepada penyampaian perkhidmatan klinikal, latihan, penyelidikan dan pembangunan sistem kesihatan.
4. Mengoptimumkan perjawatan kumpulan sokongan serta memperkukuhkan sistem sokongan pentadbiran dan teknikal bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta mengurangkan beban kerja bukan klinikal yang ditanggung oleh pakar perubatan dan petugas kesihatan lain.
5. Memperkukuhkan laluan pembangunan kerjaya yang lebih jelas dan meluas termasuk peluang subkepakaran, penyelidikan, kepimpinan klinikal dan pembangunan profesional berterusan.
6. Memperkasa budaya penghargaan, pengiktirafan dan keterlibatan petugas dalam proses membuat keputusan yang memberi kesan kepada amalan klinikal dan persekitaran kerja mereka.
7. Memperluaskan pendekatan “whole-of-society” dalam kesihatan dengan melibatkan NGO, komuniti dan sektor swasta bagi membantu program pencegahan penyakit, pendidikan kesihatan dan pemerkasaan komuniti agar beban terhadap fasiliti kesihatan dapat dikurangkan.
8. Mempercepatkan reformasi sumber manusia kesihatan yang telah digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan termasuk meneliti mekanisme tadbir urus yang lebih responsif dan berkesan, termasuk cadangan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan, bagi memastikan keperluan sebenar sistem kesihatan negara dapat ditangani secara lebih mampan dan berorientasikan masa hadapan.
IKRAM Health percaya bahawa kesihatan negara bukan tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia semata-mata, tetapi merupakan amanah bersama yang perlu dipikul oleh kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, badan profesional, NGO dan masyarakat keseluruhannya.
Kami juga berharap perbincangan yang dicetuskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha pembaharuan yang lebih berani, berasaskan bukti dan berorientasikan masa hadapan demi memastikan sektor kesihatan awam terus menjadi tempat yang mampu menarik, membangunkan dan mengekalkan bakat-bakat terbaik negara.
Sistem kesihatan yang kukuh bukan hanya diukur melalui bangunan, peralatan atau teknologi yang dimiliki, tetapi melalui keupayaan kita menghargai, menyokong dan memperkasakan insan yang menggerakkannya.
Dengan dialog yang terbuka, dasar yang berpaksikan bukti serta komitmen berterusan daripada semua pihak berkepentingan, IKRAM Health yakin sistem kesihatan Malaysia akan terus kekal kukuh, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan rakyat untuk generasi yang akan datang.
‘Membina Negara yang Sihat dengan Rahmah’
IKRAM Health Malaysia
11 JUN 2026