Sijil halal jamin makanan bersih, selamat

SHAH ALAM – Pemilikan sijil halal sangat penting dan perlu diperluaskan di seluruh negara bagi memastikan masyarakat, khususnya umat Islam mendapat akses kepada makanan yang sihat, selamat dan halal.

Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr Mohd Afiq Mohd Nor berkata, aspek halal bukan sahaja berkaitan dengan keperluan agama tetapi juga kesihatan.

“Sijil halal di kedai makan adalah penting, bukan sahaja untuk memastikan pematuhan kepada syariat tetapi juga untuk menjaga standard kebersihan dan kualiti makanan yang disajikan kepada masyarakat. Jadi, pemilik restoran perlu dapatkan sijil berkenaan.

“Makanan halal merangkumi prinsip-prinsip kebersihan, keselamatan dan kesucian dalam proses penyediaan dan penyimpanan makanan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pemilikan sijil halal bakal memberi keyakinan kepada semua pengguna bahawa makanan yang dijual memenuhi standard tinggi yang ditetapkan pihak berkuasa.

Ujarnya, ia juga akan mewujudkan budaya premis makanan yang bersih dan bebas kekotoran termasuklah asap rokok.

“Inisiatif ini boleh dilalkukan oleh pihak autoriti halal dengan mengelaskan kategori premis makan tertentu untuk sijil halal tanpa kompromi standard halal yang ditetapkan.

“Bagi proses pemilikan sijil, saya tidak pernah lalui dan fahami bagaimana prosedur itu dijalankan tetapi jika benar ia perlu melalui banyak proses serta memakan masa yang lama… satu tindakan tambah baik perlu diambil.

“Pihak autoriti halal perlu memanfaatkan perkembangan teknologi terkini untuk melancarkan dan mempercepat durasi proses permohonan dokumen berkenaan,” tambah beliau.

Sumber: Sinar Harian

Kongsikan

Bincang dan komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.