Bersama Mencegah Penularan Virus Zika

Rakyat Malaysia disaran supaya bersama-sama mengambil langkah pencegahan dalam menghadapi penularan wabak virus Zika, menurut Pemangku Yang DiPertua Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Prof Madya Dr Oteh Maskon.

Penularan jangkitan virus Zika telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Public Health Emergency Of International Concern (PHEIC) pada 1 Februari 2016 lalu.

“Penularan virus Zika ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia disebarkan kepada manusia oleh jenis nyamuk pembawa jangkitan yang sama bagi demam denggi iaitu nyamuk Aedes,” demikian ujar beliau.

Sehingga kini, sebanyak 24 negara di rantau Amerika telah melaporkan jangkitan kes ini.

“Peningkatan kadar wabak demam denggi di negara ini buat masa ini juga adalah pada tahap yang membimbangkan.”

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, beliau berkata, IKRAM Health menyokong dan mendokong segala usaha yang telah dimulakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melaksanakan langkah-langkah awal dalam memantau dan mencegah penularan virus Zika ini serta memberi kesedaran dan nasihat yang meluas kepada rakyat.

“Gejala dan tanda-tanda penyakit ini menyerupai jangkitan demam denggi seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala, sakit di belakang mata, konjunktivitis dan ruam,” tambah Dr Oteh.

Perkara yang lebih merisaukan jelas beliau adalah peningkatan kelahiran bayi yang mengalami sindrom mikrosefali atau otak kecil yang dikaitkan dengan jangkitan virus Zika sepertimana yang dilaporkan di negara Brazil baru-baru ini.

“Masyarakat perlu maklum bahawa tiada vaksin mahupun ubat khusus untuk merawat penyakit Zika pada masa ini.”

Beliau berkata, rawatan yang diberikan adalah hanya untuk mengurangkan gejala yang dihidapi oleh pesakit.

IKRAM Health turut menyarankan agar rakyat Malaysia supaya mengambil langkah-langkah berjaga berikut dalam menghadapi penularan wabak ini pada masa kini dan akan datang:

  • Bagi mereka yang baru pulang dari negara-negara yang telah dilaporkan dengan kes jangkitan ini dan mempunyai gejala-gajala seperti demam dan bintik-bintik di badan untuk melakukan pemeriksaan awal segera di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berhampiran.
  • Rakyat Malaysia disaran untuk menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terlibat atau perlu mengambil langkah-langkah pencegahan daripada digigit oleh nyamuk seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repellent) secara tetap.
  • Tingkatkan aktiviti ‘cari dan musnah’ bagi mengurangkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan rumah masing-masing dan persekitarannya.

Sehubungan dengan itu, IKRAM Health mengajak semua rakyat Malaysia agar mengambil berat dan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menghadapi risiko penularan wabak virus Zika di negara ini.

Sharing is caring!

About admin 51 Articles
IKRAM Health merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*