Dr Fauziah Dinobat Tokoh NGO Islam

Sharing is caring!

PUTRAJAYA – Anggota misi Women’s Boat to Gaza (WBG), Dr. Hajah Fauziah Mohd. Hasan hari ini telah dinobatkan sebagai Tokoh NGO Islam bagi kategori wanita.

Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis Perdana Ulama-Umara’ dan NGO Islam Bersama YAB Perdana Menteri 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan Penasihat Rose2Rose adalah antara 13 aktivis misi WBG anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang ditahan Israel semasa mengikuti pelayaran kapal Zaytouna-Oliva pada awal Oktober tahun lalu.

Menerima Anugerah Tokoh Serikandi Khaulah al-Azwar daripada kerajaan Terengganu atas keberaniannya, Dr. Fauziah juga pernah dinobatkan sebagai Tokoh Aktivis Palestin Antarabangsa pada 2014 di Istanbul oleh Iā€™tilaf, sebuah gabungan NGO-NGO cakna Palestin di seluruh dunia.

Beliau menyifatkan Anugerah Tokoh NGO Islam itu bukan untuknya, tetapi hanya mewakili para aktivis wanita yang turut memperjuang aktiviti kemanusiaan.

“Anugerah ini bukan untuk saya, saya hanya mewakili para wanita yang turut bersama-sama memperjuangkan isu kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria pula dinobatkan sebagai Tokoh Ulama Sepanjang Zaman dan Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), ustaz Ismail Mina Ahmad diumumkan sebagai Tokoh NGO Islam bagi kategori lelaki.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa pula diumumkan Tokoh NGO Belia. Kesemua tokoh terbabit menerima piala, sijil dan tajaan menunaikan umrah.

Sempena majlis itu juga, Datuk Seri Najib turut membentangkan Laporan Kajian Indeks Syariah Malaysia 2017 bagi mengukur kedudukan kerajaan dalam menjalankan pentadbiran negara berdasarkan lima prinsip asas Maqasid Syariah.

Turut hadir dalam majlis Naib Presiden IKRAM, Haji Shahrul Aman Mohd Saari.

Tahniah Dr. Fauziah! Semoga anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk terus berbakti dan mencetuskan inspirasi kemanusiaan kepada yang lain.

Sumber : Website IKRAM Malaysia

Sharing is caring!

About admin 44 Articles
IKRAM Health merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*