Kebimbangan yang Melumpuhkan

*(Sumber gambar - carian Google)

Di dalam masyarakat kita, kesedaran tentang “kebimbangan yang teruk” atau anxiety disorders adalah kurang berbanding kemurungan (depression). Terdapat banyak promosi kesihatan mental yang dilakukan berkenaan dengan masalah kemurungan tetapi amat sedikit orang bercerita tentang kebimbangan.

Ini mungkin ada kena mengena dengan perkataan itu sendiri. Memandangkan perkataan “murung” atau “depressed” itu kedengaran agak berat dan serius, perkataan bimbang adalah lebih selalu kedengaran dan sudah sebati dianggap sebagai pengalaman hidup manusia yang normal sahaja.

Anxiety memang adalah suatu perkara yang normal. Biasanya kita akan bimbang, cemas dan risau bila berlaku keadaan di mana kita perlu lari atau lawan. (flight or fight response). Contohnya kalau kita berjalan seorang diri pada waktu malam di sebuah lorong yang gelap, lalu tiba-tiba kita ternampak ada sekumpulan orang mencurigakan membawa senjata seperti parang, sudah tentu kita akan berasa cemas dan bimbang.

Dalam situasi begini, badan kita akan mengaktifkan hormone stress serta autonomic nervous system untuk menyediakan kita untuk lawan atau lari. Di sini jantung akan dipam dengan laju untuk menyiapkan otot otot kita, mata akan jadi semakin terang, saluran paru paru akan kembang untuk menyedut lebih banyak oksigen. Dari segi mental kita akan jadi lebih terangsang (hyperarousal), lebih peka (hypervigilant) dan otak akan berkerja dengan lebih keras untuk menumpukan perhatian terhadap ancaman.

Perasaan anxiety dan sistem-sistem tindak balas badan yang berkaitan dengannya ini adalah satu ciptaan Tuhan untuk manusia survive sejak zaman purba sehingga sekarang. Kalau dulu nenek moyang kita memerlukan sistem ini untuk lari dari binatang-binatang buas, kita sekarang memerlukan sistem ini untuk survive dengan cabaran-cabaran hidup zaman moden.

Sebagai contoh, anxiety adalah normal bila kita nak study last minute untuk exam. Pada satu hari sebelum exam, biasanya kita akan berpeluh, otot belakang terasa tegang, jantung berdegup kencang dan perut terasa ada rama-rama di dalamnya. Istilah glamour dalam bahasa Melayu adalah “cuak”. Ini kerana sama ada kita lulus atau tidak dalam exam, ada kena mengena dengan survival kita sebagai seorang manusia. Sebagai contoh kalau tak pass exam, maka akan kena marah dengan ibu bapa, tak dapat naik pangkat atau akan mengalami perasaan malu yang teruk.

Begitu juga dengan perasaan “butterfly in the stomach” bila berjumpa dengan gadis idaman kita. Kita akan berasa anxious kalau kena reject. Sebab rejection itu ada kena mengena dengan survival kita—perasaan malu sebab kena reject, peluang untuk berkahwin dan seterusnya kemandirian spesis sebagai manusia untuk beranak pinak dan sebagainya.

Walaupun anxiety dicipta oleh Tuhan dengan faedah dan fungsi-fungsinya dalam kehidupan seharian kita, anxiety yang berlebihan akan membawa masalah.

Orang yang mengalami anxiety disorder akan mengalami keadaan-keadaan di atas sepanjang masa- dari bangun tidur sehinggalah mereka berpeluang melelapkan mata. Itu pun kalau boleh melelapkan mata.

Keadaan jantung berdebar-debar, tegang otot, rasa senak dalam perut dan dada ketat ini berlaku pada sepanjang masa. Ini akan mengakibatkan seseorang itu berasa sentiasa penat, tidak boleh focus terhadap sesuatu perkerjaan, otot sentiasa tegang, cepat marah, selalu berasa ada yang tak kena dan akan ada perkara buruk yang akan berlaku. Fikiran mereka selalu berada di tempat lain dan memikirkan masalah yang tak ada kena mengena dengan apa yang mereka sedang lakukan pada sesuatu ketika itu.

Mereka berperasaan ada benda yang tak kena tetapi mereka tidak faham dan tidak tahu dari mana datangnya perasaan ini. Keadaan ini jika dibiarkan berterusan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah di tempat kerja atau masalah relationship dengan keluarga.

Anxiety yang berterusan akan menyebabkan seseorang itu senang mendapat penyakit-penyakit yang lain juga. Sebagai contoh akibat jantung sangat kerap berkerja dengan kuat, seseorang itu terdedah dengan risiko mendapat sakit jantung. Sistem immunity badan akan menjadi rendah dan kerap terkena serangan penyakit berjangkit. (sebab itu orang yang tidak sihat mindanya selalu ambil cuti sakit). Masalah kulit seperti jerawat akan berlaku kerana ketidak stabilan hormone dalam badan. Bila jerawat naik, ia akan menerukkan lagi stress. Maka berlakulah vicious cycle.

Penjelasan-penjelasan di atas secara umumnya menerangkan tentang anxiety sebagai satu keluarga masalah yang besar. Di bawahnya terdapat masalah-masalah dalam kategori anxiety yang lain seperti panic disorder, social phobia, specific phobia, dan mungkin towards a certain extent obsessive compulsive disorder (OCD).

Di dalam zaman moden di mana kita bersendirian di sebalik keterhubungan yang hebat (alone despite the high interconnectedness) melalui media sosial, adalah sangat senang untuk mendapat anxiety. Ia ada kena mengena dengan budaya narcissism yang disuburkan oleh media sosial itu sendiri, tetapi panjang pula kalau saya nak cerita pasal bab ini.

Adalah sangat penting untuk kita bercakap dengan orang yang rapat dan kita percaya tentang masalah-masalah dan kebimbangan kita. Kita juga perlu belajar untuk menjadi pendengar yang baik, kerana bila orang mendengar masalah kita, dengan sendirinya ia menjadi sesuatu yang boleh merawat.

Bila rakan kita bercerita tentang masalah dan kebimbangan yang dihadapinya, kalau boleh cuba elakkan daripada mencadangkan berlebih-lebihan (a generic piece of advice). Sebab macamlah dia tak tahu. Apa yang dia perlukan adalah teman untuk mendengar.

Seterusnya, kalau anxiety yang dihadapi itu dikhuatiri telah menjejaskan fungsi harian dalam hidup, adalah dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor atau penyedia perkhidmatan kesihatan mental yang berdekatan untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

Tulisan oleh:
Dr Hazreen Abdul Rashid​
Pegawai Perubatan Sarjana
Perubatan Psikiatri

 

Sharing is caring!

About admin 51 Articles
IKRAM Health merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*