Tips Membaca bersama Anak-anak

Photo by Lina Kivaka on Pexels.com

Sejak mengetahui kebaikan membaca bersama anak-anak (rujuk artikel ini), kita cuba mendisplinkan diri untuk membaca bersama mereka dengan kerap, sekurang-kurangnya sekali sehari.

Dulu saya selalu tertidur sambil membaca buku bersama mereka, mungkin kerana keletihan bekerja, juga kerana saya pun membaca dengan kaku! Sebenarnya, ada beberapa tips untuk menjadikan sesi membaca itu menyeronokkan, interaktif, dan mengeratkan hubungan dengan anak-anak.

  1. Biarkan mereka memilih buku untuk dibaca

Walaupun anda telah membacanya sebanyak seratus kali, atau buku tersebut dirasakan kurang sesuai untuk umurnya, tak apa.. Orang kata, layan! Jangan matikan semangat membaca mereka.

  1. Mulakan dengan buku yang mudah

Bayi dan anak kecil selalunya mempunyai daya tumpu yang lebih pendek. Tidak mengapa, mulakan budaya ini dengan ‘board book’ atau ‘cloth book’ yang ringkas. Boleh tunjuk-tunjuk gambar dan buat-buat bunyi. Itu pun dah cukup 🙂

Anda akan dapati, anak-anak yang biasa membaca buku bersama sejak bayi, mampu untuk fokus lebih lama apabila usia mereka menginjak 3-4 tahun.

  1. Jika ada masa, baca dulu buku tersebut

Ini supaya kita dapat bimbing anak untuk perhatikan perkara-perkara tersirat pada permulaan cerita. Contohnya kisah arnab dan kura-kura.. Bolehlah kita tunjukkan “Eh, kenapa arnab tu nampak macam lain je?”

  1. Bacakan buku yang sama berulang kali

Setiap cerita mempunyai banyak sisi yang boleh diulang-ulang dan diberi fokus berbeza. Pelbagaikan gaya dan bincangkan perkara yang berbeza. Contoh mudah, buku mengenai zoo. Hari ini boleh baca mengikut buku, esok boleh tunjukkan binatang-binatang yang ada dan imbas kembali mengenai lawatan keluarga ke zoo. Ini semua mengukuhkan pemahaman dan perbendaharaan kata anak-anak, dan juga membuka ruang komunikasi anak-anak dengan kita sebagai ibubapa.

Ada kajian dari Sussex University yang membandingkan sekumpulan kanak-kanak berumur 3 tahun. Untuk tempoh yang sama dihabiskan untuk membaca, mereka yang membaca buku yang sama berulang-ulang kali, berbanding mereka yang membaca pelbagai buku berbeza, mempunyai perbendaharaan kata yang lebih luas dan kompleks.

  1. Ajak anak-anak untuk menyelami watak dan jalan cerita

Tanyakan kepada mereka “Eh, agaknya Abu rasa apa ya, makan arnab tu?”, “Hm, takut tak kalau kita pindah sekolah?” “Eh, basah kuyupla baju dia, hujan lebat kan!”

Setakat 5 tips ni dulu ya, boleh cuba dan perhatikan hasilnya.. Semoga anak-anak kita menjadi generasi membaca!

Dr Aliyyah Mohammad Khuzaini

MBChB (Bristol) MRCPCH (UK) IBCLC

(Dr Aliyyah merupakan ibu kepada tiga orang anak, dan dalam latihan kepakaran untuk menjadi pakar kanak-kanak. Beliau kini merupakan suri rumah sementara kerana mengikuti suami bertugas di Boston, USA, dan gemar menulis isu-isu anak-anak dan keibubapaan).

 

Sharing is caring!

About admin 83 Articles
IKRAM Health Malaysia merupakan sebuah NGO dibawah Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang ahlinya terdiri daripada mereka yang terlibat dalam industri kesihatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.